
Firman Allah SWT yang bermaksud :
Dan
apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu
kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada
mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa
kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi
perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi
baik serta betul.
(Surah Al-Baqarah: 186 )
Doa ibu bapa kepada anak-anaknya tidak ada hijab di sisi Allah.
Swt kerana redha Allah Swt kepada anak-anak adalah bergantung kepada
redha kedua ibu bapanya. Oleh itu anak0abak tidak boleh sama sekali
menderhaka kepada kedua ibu bapanya.
Daripada Abu Hurairah ra bahawa Rasulullah saw sabda :"Ada tiga doa yang
diterima Allah secara langsung iaitu doa orang yang dianiaya, doa
seorang musafir dan doa orang tua terhadap anaknya."
(Hadis Riwayat Tirmizi, Ahmad dan Daud)
Doa Orang Musafir sampai ia kembali dari perjalanannya.
Seorang musafir dengan tujuan baik semata-mata kerana Allah Swt seperti
menuntut ilmu, menziarahi saudara, atau keluar rumah mencari rezeki
halal adalah perbuatan yang dikasihi Allah, lalu Allah Swt memakbulkan
doanya.
Doa Orang Yang Dianiaya.
Allah Swt amat murka kepada sesiapa dikalangan hambanya yang melakukan
kezaliman kepada hambaNya yang lain. Orang yang berlaku zalim dan suka
menganiaya orang lain akan mendapat balasan daripadaNya. Doa mereka yang
dizalimi dimakbulkan oleh Allah Swt. Daripada Ibnu Umar , Rasulullah
saw bersabda :"Hendaklah kamu waspada terhadap doa orang yang dizalimi.
Sesungguhnya doa itu akan naik ke langit amat pantas seumpama api marak
ke udara."
(Hadis Riwayat Hakim - Sanad Hasan)
Dari Khuzaimah bin Thabit ra Rasulullah saw bersabda :"Hendaklah kamu
waspada terhadap doa orang yang dizalimi. Allah Swt berfirman :"Demi
kemuliaan dan keagunganKu, Aku pasti akan menolongmu walaupun setelah
masa yang lama."
(Hadis Riwayat Tobrani - Sanad Hasan)
Doa Orang Yang Berpuasa Sampai Ia Berbuka Puasa.
Puasa adalah satu amalan yang sangat disukai oleh Allah Swt sehinggakan
pahala orang yang berpuasa hanya Allah Swt sahaja yang memberikan
ganjaran dan malaikat sendiri tidak tahu berapa banyak pahala yang
hendak dicatitkan dalam sebuah hadis qudsi :"
Puasa itu milikKu dan Akulah yang membalasNya."
Doa Seorang Pemimpin Yang Adil.
Seorang pemimpin yang adil tidak akan sesekali membelakang kepentingan
rakyat dan lebih mengutamakan kepentingan rakyat berbanding daripada
kepentingan sendiri.
Maka hal ini tidak hairanlah jika Allah memakbulkan doa seorang pemimpin yang adil ini. Ini kerana segala penat lelahnya berkerja semata-mata untuk rakyat dan agama.
Doa Seorang Sahabat Kepada Saudaranya yang berpisah saling bertemu dan berkasih sayang.
Persahabatan yang terbina berlandaskan islam dan hanya semata-mata
kerana Allah Swt. Persahabatan yang terjalin adalah anugerah yang perlu
kita pelihara sehingga ke syurga. Tidak masuk syurga orang yang
memutuskan silaturrahim sesama islam. Maka marilah bersama-sama kita
membina ukhuwah dan hubungan baik sesama sesama islam. Ini kerana semua
islam itu bersaudara. Daripada Abu Hurairah ra bahawa Rasulullah saw
bersabda :"Doa seorang sahabat kepada sahabatnya yang lain kerana Allah
dalam tempat yang berjauhan di terima Allah Swt ." (Hadis Riwayat
Muslim)
Doa Anak Yang Soleh kepada kedua ibu bapanya.
Daripada Abu Hurairah ra berkata Rasulullah saw bersabda :"Apabila
matinya atau meninggal dunia anak adam akan terputuslah semua amalnya
kecuali tiga perkara itu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat, dan anak
soleh yang selalu mendoakannya." (Hadis Riwayat Muslim)