DR Zakir Abdul Karim Naik ialah seorang pakar dalam
bidang perbandingan agama di peringkat antarabangsa. Dr Zakir terkenal
dengan teknik pidato dan debatnya yang sangat berkesan, menggunakan
dalil-dalil al-Quran dan sunah Nabi SAW serta beberapa kitab agama lain
seperti Bible, Veda dan Bhagwad Geeta.
Dilahirkan di Mumbai, India pada 18 Oktober 1965, Dr Zakir terkenal
dengan kebolehannya mematahkan hujah pihak lawan dan memberikan jawapan
yang meyakinkan terhadap persoalan yang dikemukakan secara spontan.
Pada tahun 2002, beliau memberi lebih dari 1,000 ceramah di peringkat
antarabangsa seperti di Amerika Syarikat, Kanada, United Kingdom, Arab
Saudi, United Arab Emirates, Kuwait, Qatar, Bahrain, Oman, Afrika
Selatan, Itali, Mauritus, Australia, Malaysia, Singapura, Hong Kong,
Thailand dan di tempat beliau sendiri, India.
Dr Zakir mendapat pendidikan awal di St Peter’s High School, Mumbai,
Topiwala National Medical College, Nair Hospital, Mumbai. Kemudian
beliau mendapat ijazah kedoktoran dalam bidang perubatan, Bachelor of
Medicine dan Bachelor of Surgery di Universiti of Mumbai, India.
Beliau melibatkan diri dalam aktiviti dialog antara agama, dan antara
yang paling berhasil adalah dialog bersama-sama Dr William Campbell
(Amerika Syarikat) pada 1 April 2000. Beliau mendapat gelaran dalam
dunia perbandingan agama daripada gurunya, Syeikh Ahmed Deedat, sebagai
‘Deedat Plus’; pada 1994.
Pada Mei 2005, Ahmed Deedat memberi anugerah kepada Dr Zakir sebagai:
“Son what you have done in 4 years had taken me 40 years to accomplish.”
(Wahai anak muda, kamu hanya mengambil masa selama 4 tahun untuk
mencapai apa yang saya dapat capai dalam tempoh 40 tahun).
Beliau sering dijemput menyampaikan ceramah di beberapa stesen
televisyen dan radio di beberapa negara, dan kini terdapat ratusan video
rakaman ceramah beliau boleh didapati dalam bentuk pita video dan
cakera padat (CD).
Dr Zakir banyak berceramah mengenai perbandingan agama, seorang wanita
beragama Hindu menganut Islam secara LIVE di Peace TV selepas bertanya
satu soalan kepada beliau.
Setelah berpuas hati mendengar penjelasan daripada Dr Zakir, tanpa
teragak-agak wanita itu mengucap dua kalimah syahadah. Di samping itu
juga Dr Zakir sudah banyak mengislamkan penganut agama lain kepada
Islam.
Pada 2013 kerajaan Malaysia memberi Anugerah Tokoh Maal Hijrah kepada
Dr Zakir Naik sebagai pendakwah bebas. Kerajaan menilai seseorang
penerima secara keseluruhan sebelum menyampaikan anugerah tersebut.
Sebelum ini banyak kalangan yang mengkritik terhadap Dr Zakir mengenai
ceramah dan dakwah disampaikan beliau dalam pemikiran dan fahaman
mengenai Islam sebagai kontroversi. Bagaimanapun perkara tersebut telah
dijawab dengan puas hati oleh Dr Zakir dan diterima dengan baik pula
oleh kalangan yang berkenaan.
Dr Zakir Naik telah mengasaskan Islamic Reseach pada Februari 1991
untuk menyebarkan dakwah dan mesej Islam kepada masyarakat Islam dan
bukan Islam.
Dengan itu lahirlah buku-buku, dokumentari dan video-video ceramah,
telah sampai kepada berjuta-juta manusia di seluruh dunia melalui siaran
TV satelit antarabangsa, internet dan media cetak. Kebanyakan
menumpukan kepada memberikan kefahaman terhadap kebenaran dan
kesempurnaan agama Islam berdasarkan ayat-ayat al-Quran, hadis sahih dan
juga logik akal.
Dr Zakir Naik seorang pendakwah bebas yang mendapat gelaran ‘walking
computer’ kerana ingatan beliau yang baik dan sempurna. Justeru, beliau
diberi gelaran ‘Deedat Plus’ kerana kebolehan berhujah mengenai Islam
dan Kristian sebagaimana Ahmed Deedat, tetapi Dr Zakir Naik memiliki
lebih banyak kelebihan lagi. Dalam perdebatan, beliau secara bersahaja
memetik kandungan al-Quran, hadis, Bible serta buku dan kajian terkini
sains dan teknologi. Semuanya beliau lakukan dalam ingatan luar biasa
tanpa merujuk kepada sebarang teks. Semua rujukan beliau itu dihafal
secara ayat ke ayat.
Hasil debat antara Dr Zakir Naik dan Dr William Campbell tersebut
adalah dilaporkan, ratusan orang telah menganut Islam setelah melihat
perdebatan itu. Sesungguhnya kita berasa takjub akan kurniaan ALLAH SWT
terhadap Dr Zakir Naik. Wallahualam.