Wednesday, June 29, 2016

PECUTAN AKHIR


1. Ramadhan Al Mubarak semakin ke penghujung. Insan beriman pasti mula diterpa rasa sedih dan sayu mengenangkan Ramadhan bakal pergi sedang ia membawa sejuta rahmat.

2. Namun, di penghujung inilah tersimpan sebesar-besar anugerah Allah swt buat ummat Muhammad ini. Manakan tidak, Nabi saw sendiri akan melipatganda amal ibadahnya di sepuluh akhir Ramadhan.
عَنْ عَائِشَةَ رَضِىَ اللهُ عَنْهَا قَالَتْ : كَانَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَ سَلَّمَ يُجَاوِرُ فِي اْلعَشْرِ اْلأَوَاخِرِ مِنْ رَمَضَانَ وَ يَقُوْلُ : تَحَرُّوْا لَيْلَةَ اْلقَدْرِ فِي اْلعَشْرِ اْلأَوَاخِرِ مِنْ رَمَضَانَ .
“Daripada A’isyah Rha berkata : Adalah rasulullah saw. selalu beriktikaf pada sepuluh akhir Ramadhan dan baginda saw. bersabda ; Rebutlah bersungguh-sungguh peluang untuk mendapatkan Lailatul Qadar pada malam-malam sepuluh akhir Ramadhan.” (Riwayat Imam Bukhari)

3. Tapi anehnya situasi di Malaysia ini ialah kebanyakan masjid surau mengalami susut nilai menjelang akhir Ramadhan. Saf semakin berkurangan. Sedang masa hanya tinggal tidak berapa hari sahaja lagi. Persoalannya, dah puas hati ke pencapaian amal kita di Ramadhan ini?

4. Selayaknya kita membuat 'pecutan akhir' dengan terus memecut kencang bagi menggondol anugerah yang menanti kerana kita telah berada di selekoh akhir sebelum ke garis penamat. Masih lekakah kita?

5. Bagaimana Al Quran kita? Sudah berapa juzuk kita baca? Bukan kah kita target khatam di bulan Ramadhan ini? Bagaimana sedekah kita? Ramai yang memerlukan di luar sana. Bukankah kita tahu bersedekah itu pahala dan Ramadhan ini menggandakan pahala kita? Wirid zikir? Solat qiamulail? Iktikaf? Semoga kita masih berkesempatan memperbaiki kualiti Ramadhan kita dengan hari yang masih berbaki.

Thursday, June 16, 2016

12 Barisan di Akhirat

Suatu ketika, Muaz b. Jabal r.a mengadap Rasulullah
SAW dan bertanya: "Wahai Rasulullah, tolong huraikan
kepadaku mengenai firman Allah SWT: "Pada sangkakala
ditiup,maka kamu sekalian datang berbaris-baris" Surah
An-Naba':18

Mendengar pertanyaan itu, baginda menangis dan basah
pakaian dengan air mata. Lalu menjawab: "Wahai Muaz,
engkau telah bertanyakan kepada aku, perkara yang amat
besar, bahawa umatku akan diiring, dikumpulkan
berbaris-baris menjadi 12 barisan, masing-masing
dengan pembawaan mereka sendiri...." Maka dinyatakan
apakah 12 barisan tersebut :-

Barisan Pertama
Di iring dari kubur dengan tidak bertangan dan
berkaki. Keadaan mereka ini dijelaskan melalui satu
seruan dari sisi Allah Yang Maha Pengasih: "Mereka itu
adalah orang-orang yang sewaktu hidupnya menyakiti
hati jirannya, maka demikianlah balasannya dan tempat
kembali mereka adalah neraka..."

Barisan Kedua
Diiring dari kubur berbentuk babi hutan. Datanglah
suara dari sisi Allah Yang Maha Pengasih: "Mereka itu
adalah orang yang sewaktu hidupnya meringan-ringankan
solat, maka inilah balasannya dan tempat kembali
mereka adalah neraka..."

Barisan Ketiga
Mereka berbentuk keldai, sedangkan perut mereka penuh
dengan ular dan kala jengking. "Mereka itu adalah
orang yang enggan membayar zakat, maka inilah
balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka..."


Barisan Keempat 
Diiring dari kubur dengan keadaan darah seperti air
pancutan keluar dari mulut mereka. "Mereka itu adalah
orang yang berdusta di dalam jualbeli, maka inilah
balasannya dan tempat mereka adalah neraka..."

Barisan Kelima 
Diiring dari kubur dengan bau busuk daripada bangkai.
Ketika itu Allah SWT menurunkan angin sehingga bau
busuk itu mengganggu ketenteraman di Padang Mahsyar.
"Mereka itu adalah orang yang menyembunyikan perlakuan
derhaka takut diketahui oleh manusia tetapi tidak pula
rasa takut kepada Allah SWT, maka inilah balasannya
dan tempat kembali mereka adalah neraka..."

Barisan Keenam
Diiring dari kubur dengan keadaan kepala mereka
terputus dari badan. "Mereka adalah orang yang menjadi
saksi palsu, maka inilah balasannya dan tempat kembali
mereka adalah neraka..."

Barisan Ketujuh 
Diiring dari kubur tanpa mempunyai lidah tetapi dari
mulut mereka mengalir keluar nanah dan darah. "Mereka
itu adalah orang yang enggan memberi kesaksian di atas
kebenaran, maka inilah balasannya dan tempat kembali
mereka adalah neraka..."

Barisan Kelapan
Diiring dari kubur dalam keadaan terbalik dengan
kepala ke bawah dan kaki ke atas. "Mereka adalah orang
yang berbuat zina, maka inilah balasannya dan tempat
kembali mereka adalah neraka..."

Barisan Kesembilan 
Diiring dari kubur dengan berwajah hitam gelap dan
bermata biru sementara dalam diri mereka penuh dengan
api gemuruh. "Mereka itu adalah orang yang makan harta
anak yatim dengan cara yang tidak sebenarnya, maka
inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah
neraka..."

Barisan Kesepuluh
Diiring dari kubur mereka dalam keadaan tubuh mereka
penuh dengan penyakit sopak dan kusta. "Mereka adalah
orang yang derhaka kepada orang tuanya, maka inilah
balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka..."


Barisan Kesebelas 
Diiring dari kubur mereka dengan berkeadaan buta
mata-kepala, gigi mereka memanjang seperti tanduk
lembu jantan, bibir mereka melebar sampai ke dada dan
lidah mereka terjulur memanjang sampai ke perut mereka
dan keluar beraneka kotoran. "Mereka adalah orang yang
minum arak, maka inilah balasannya dan tempat kembali
mereka adalah neraka..."

Barisan keduabelas 
Mereka diiring dari kubur dengan wajah yang
bersinar-sinar laksana bulan purnama. Mereka melalui
titian sirat seperti kilat. Maka,datanglah suara dari
sisi Allah Yang Maha Pengasih memaklumkan: "Mereka
adalah orang yang beramal salih dan banyak berbuat
baik. Mereka menjauhi perbuatan derhaka, mereka
memelihara solat lima waktu, ketika meninggal dunia
keadaan mereka sudah bertaubat, maka inilah balasannya
dan tempat kembali mereka adalah syurga, mendapat
keampunan, kasih sayang dan keredhaan Allah Yang Maha
Pengasih..." Jika engkau mahukan kemesraan dengan
Allah, maka garanglah terhadap dirimu sendiri. Jika
engkau merasakan manisnya berhubung dengan Allah,
tahulah engkau betapa peritnya berpisah
denganNya.....Wallahua'alam.

WASSALAM.

Doa Ramadhan: Demi sebuah harapan.

Menarik tentang Ramadhan, ayat-ayat berkaitan bulan ini dihimpunkan di satu tempat dalam Al-Quran iaitu dalam surah Al-Baqarah. Bermula daripada ayat 183 hingga kepada ayat 187. Semuanya berkisarkan Ramadhan dan puasa.

Walaubagaimanapun terselit satu ayat (186) berkaitan doa. Ini menjadikan Ramadhan turut sinonim dengan doa selain puasa, tarawikh dan qiam. Bahkan ada yang menamakan bulan ini sebagai bulan doa.

Berikut adalah ayat tersebut:-
Perkenan doa adalah tawaran istimewa Allah buat mereka yang berada dalam bulan Ramadhan. Antara isi yang boleh difahami daripada ayat ini ialah seperti berikut:-
1. Allah sentiasa lapang untuk mendengar permintaan hambaNYA. Bahkan Allah tidak menetapkan waktu tertentu untuk berdoa kepadaNYA.
2. Allah menyatakan diriNYA begitu dekat dengan hamba-hambaNYA, sekaligus menjadikan doa kita terus sampai kepadaNYA.
3. Allah berjanji akan terus memperkenankan permintaan hamba-hambaNYA jika mereka berdoa.

Walaubagaimanapun, ayat ini mensyaratkan sesuatu setelah berdoa iaitu:-
1. Menyahut perintah Allah.
2. Beriman kepada Allah.

Kemuncak ayat ini, kesan daripada doa, ia menjadikan seseorang itu yarshudun iaitu sentiasa dalam kebaikan dan kebenaran. Hakikatnya seorang Muslim itu tidak sentiasa baik atau benar melainkan dengan hidayat Allah. Maka, untuk mencapai kedua-dua perkara ini, mereka perlu sentiasa berdoa.

Secara falsafahnya, doa adalah simbol pengharapan yang tertinggi buat manusia. Bagi mereka yang bergelar muslim atau mukmin, mereka wajib meyakini tiada perkara boleh berlaku tanpa izin Allah. Mereka juga wajib yakin Allah mampu melakukan apa sahaja walaupun kelihatan mustahil di mata manusia. Oleh kerana itu, mereka perlukan doa dalam kehidupan kerana doa itu adalah 'harapan'.

Bertepatan dengan Ramadhan, bulan ini menambahkan lagi keberkatan doa, menjadikannya lebih 'kuat'. Maka tidak hairanlah banyak peristiwa sejarah penting berlangsung dalam bulan ini atau kesan daripada bulan ini. Antaranya perang Badar, persiapan perang Khandak, perang Tabuk, pembukaan Mekah, pembukaan Andalus, kemenangan Salahudin ke atas tentera Salib, perang Ain Jalut dan Perang Ramadhan antara negara Arab dan Israel.

Tuesday, May 31, 2016

7 CIRI YANG ADA PADA MANUSIA SOMBONG.


Tiada Jaminan Syurga.

Dikisahkan daripada Abu Salamah bin Abdur Rahman bin 'Auf r.a menceritakan:

"Pernah Abdullah bin Umar dan Abdullah bin Amr bin 'Ash r.huma bertemu di Bukit Marwah. Lalu mereka berdua bercakap-cakap beberapa saat. Setelah itu Abdullah bin Amr pergi, sedangkan Abdullah bin Umar masih berada di sana sambil menangis, lalu seseorang datang bertanya kepadanya :

"Apa yang menyebabkan engkau menangis, wahai Abu Abdur Rahman?"

Ibnu Umar berkata : "Orang ini, iaitu Abdullah bin 'Amr baru saja mengaku bahawa ia telah mendengar Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda :

"Barangsiapa yang ada kesombongan dalam hatinya walaupun sebesar zarah, maka اللّٰه akan menghunjamkan wajahnya ke dalam Neraka".
(H.R. Ahmad dan Tabrani dalam al-Kabiir dan para perawinya shahih, Majma'uz Zawa 'id 1/282)

Sudah menjadi sunnatullah, bahawa manusia mempunyai sifat khilaf dan lupa.

Walau bagaimanapun kepandaian seseorang, sekali waktu ia pasti berbuat khilaf atau lupa. Kerana itu, sebagai makhluk yang lemah kita harus senantiasa memohon rahmat dan ampunan dari-Nya atas segala kekhilafan dan kesalahan kita, baik yang kita sengaja maupun yang tidak.

Firman اللّٰه سُبْحَانَهُ وَ تَعَالَى bermaksud:

" Dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong, kerana sesungguhnya engkau tidak akan dapat menembusi bumi dan engkau tidak akan dapat menyamai setinggi gunung-ganang.( QS Al Isra': 037 )

Sabda Nabi صلى الله عليه وسلم yang bermaksud:

“Tidak akan masuk syurga orang yang dalam hatinya terdapat kesombongan walau hanya sebesar zarah.” (Hadis riwayat Muslim)

Ibnu Qayyim Al-Jauzi, mejelaskan seseorang yang sombong memiliki sifat-sifat seperti:

1. Sesungguhnya semakin bertambah ilmunya, semakin bertambah pula kesombongan dan kebongkakannya.

Dengan ilmu yang mereka miliki itu akan digunakan untuk menjatuhkan seseorang yang ia benci, menanti sanjungan dan pujian atau merasakan ianya sudah cukup sebagai jaminan syurga untuknya.

2. Setiap bertambah amalnya, semakin bertambah kebanggaannya dan memandang rendah orang lain, serta semakin bertambah prasangka baiknya terhadap diri sendiri.

3. Semakin bertambah usianya, semakin bertambah rakus dan serakahnya kepada dunia.

Dengan pengalamannya, kelebihan ini digunakan untuk meraih gelaran dan juga pujian. Namun ia tidak sedari bahawa ia semakin menghampiri kematian.

4. Semakin menumpuk harta dan kekayaannya, semakin bertambah bakhil dan kikirnya.

Segala yang اللّٰه kurniakan kepadanya, dipergunakan untuk mencari nama dalam kumpulan tertentu. Memandang rendah orang-orang yang miskin daripadanya tanpa ia sedari nikmat kekayaan itu adalah fitnah yang besar menimpa dirinya, juga itu hanyanya pinjaman kepadanya.

5. Semakin meningkat darjat dan pangkatnya, semakin meningkat pula kesombongan dan keangkuhannya.

6. Sombong kerana ego memperkasakan keturunan, bangga kita berketurunan mulia lagi bangsawan, suka menyebut nama datuk nenek moyang yang dulunya dikatakan keramat atau hebat.

7. Sombong kerana berasa diri cantik dan sempurna malah memandang orang lain dengan hina, seperti merendah-rendah ciptaan اللّٰه hingga sanggup menyindir atau memberi gelaran tidak baik seperti pendek, berkulit hitam atau gemuk.

— Sesungguhnya seorang yang sombong adalah seperti Qarun, yang berlaku sombong dan zalim terhadap golongannya dengan kekayaan dan kekuasaan yang اللّٰه telah kurniakan padanya.

Nabi صلى الله عليه وسلم bersabda:

“Orang yang sombong, keras kepala dan takbur, akan dikumpulkan pada hari kiamat, dalam bentuk semut yang kecil, yang dipijak mereka oleh manusia, kerana hinanya mereka pada اللّٰه.” (Diriwayatkan oleh Al-Bazzar dari Abu Hurairah)

"Seseorang yang sombong umpama ia melihat kecilnya seseorang di puncak bukit, namun ia tidak sedari, bahawa ia juga kecil dari pandangan di atas bukit."

Thursday, May 12, 2016

AL FATIHAH UNTUK MU






Tarikh 08 Mei 2016, kami kehilangan seorang yang banyak berjasa kepada keluarga kami. Itulah Kak Mah panggilan kami yang baru masuk ke dalam keluarga suamiku, Kak Lin panggilan suami dan ipar-duaiku.  Panggilan Kak Lin sebab matanya “juling” sebelah dan mata sebelah lagi kabur. Dia dijaga oleh mertuaku ketika masih kecil kerana ayahnya berkahwin lain dan mak tiri tak nak menjaganya.  Dialah yang yang menjaga suamiku dan adik beradiknya yang lain semasa kecil kerana jarak umur antara mereka adik beradik cuma 1 tahun.

Dia yang memasak, mengemas untuk mereka. Memang hubungan mereka akrab. Gulai dan sambal yang dimasaknya memang sedap. Kadang-kadang cemburu juga kat suami, gulai dan sambal yang isteri masak tak berapa nak selera makan pun sedangkan gulai dan sambal Kak Mah yang dicari.  Tapi aku faham kerana mereka membesar dengan air tangannya.

Walaupun penglihatan Kak Mah tak begitu baik tapi dia cekap melakukan kerja rumah. Begitu juga dengan memorinya. Dia boleh ingat tarikh lahir sulungku yang dah 21 tahun kerana hari lahirnya sama dengan kematian tok mertuaku. Anak sulung ku juga dijaga oleh dia dan mertua ku bergilir-gilir dengan mak ku, bukan tak nak cari orang jaga tapi anak sulung, mereka yang tawarkan diri nak jaga.

Walaupun kematiannya hanya disebabkan demam  tapi rupanya ada penyakit lain yang ditanggungnya.  Menurut kakak yang memandikan jenazah, kak mah sebenarnya mengidap penyakit barah angin (kerana terdapat tanda-tanda seperti perut meninggi, keluar darah melalui hidung dan mulut) dan  sebelum menghembuskan nafas terakhir, kak mah termuntah darah.  Dari apa yang aku ingat, kak mah tak pernah sakit teruk, kalau ada pun demam biasa dan sakit kepala saja.  Mengikut mak mertua ku, pada hari-hari terakhir hayatnya, mata kak mah dah tak nampak sepenuhnya. Dia pernah kata pada mak mertuaku, kalau boleh biarlah dia yang mati dulu sebab kalau mak mertua ku mati dulu siapa yang akan jaganya.

Seminggu sebelum kak mah meninggal, anak sulungku yang balik bercuti kata patutlah perangai mak wa (panggilan anak2 kami) tak seperti selalu. Dia pegang tangan anak ku lama sekali.  Anak ku mengatakan hasrat untuk belajar buat sambal dari kak mah selepas tamat pengajian nanti (seminggu selepas kematian kak mah), rupa-rupanya hasrat dia tak kesampaian. 

Semua adik-beradik suamiku, ipar-duai dan anak-anak ada ketika hari pengebumian kak mah kecuali kak iparku (ada urusan di Bali) dan anak sulung ku (minggu terakhir sebelum tamat pengajian)

Semoga roh kak mah tenang disana. Pesan pada anakku sentiasa sedekahkan Al-fatihah untuk arwah kerana arwah tak ada anak untuk mendoakannnya.

Adab menziarahi kubur.
Terutama kubur ibubapa. Disunatkan menziarah pd hari khamis selepas asar, sepanjang hari jumaat dan hari sabtu sebelum zohor. Waktu ini roh ada diperkuburan dan menunggu anak2 menziarahinya.
Iman al-Bukhari meriwayatkan drpd Abu Hurarah r.a Hadis rasulullah saw :
Seorang anak yg menziarahi kubur ibubapanya pd hari2 tersebut diatas akan dicatatkan kepadanya pahala seperti membuat kebaikan kpd kedua ibubapanya semasa hayat mereka. Dan dosa2 anak tersebut diampunkan oleh Allah SWT.
Jika anak tersebut adalah seorang yg derhaka semasa hayat ibubapanya, dengan menziarahi kubur ibubapa akan dicatatkan sebagai anak yg taat.
Ketika dikubur :
1. Memberi salam kpd simati dgn panggilan yg biasa semasa hayatnya. Seperti " Assalamualaikum mak/bapa". Roh mendengar dan menjawab salam.
2. Hendaklah kita menghadap kearah muka/kepala simati dan kita membelakangkan kiblat.
3. Membaca quran atau doa2 yg baik utk simati

Sunday, April 24, 2016

Selalu Nampak 'Ulat' Ni Terbang Di Mata Anda? Jom Baca Penjelasan Kejadian Ini


Selalu juga mengalami kejadian macam ni, dan sekarang dah terjawab...........

Sudah pasti ramai antara kita selalu melihat objek berbentuk cacing atau ulat "tranparent" seperti ini yang terapung-apung di mata kita terutama apabila melihat kearah langit, adakala ia hilang dan adakala muncul bermain-main di mata kita, apakah sebenarnya objek ini?

Untuk pengetahuan anda, ia adalah  ‘muscae volitantes’ atau 'flying flies' dan ianya bukanlah kerana terdapat ulat atau objek pelik di dalam mata kita atau semata-mata khayalan.

Sebenarnya ia terhasil dari cebisan-cebisan tisu, rumpun-rumpun protein atau sel-sel darah merah dalam mata kita yang bergerak.



Maka terhasillah paparan-paparan seperti 'ulat terbang' yang kita lihat hasil bayang-bayang cebisan-cebisan tisu, rumpun-rumpun protein atau sel-sel darah merah yang bergerak itu.

Jika anda ingin melihat dengan lebih jelas 'ulat terbang' ini, tutup mata anda dengan kedua-dua belah tangan, lalu buka mata ditempat terang seperti lihat ke langit.

Semakin terang cahaya yang masuk ke mata semakin kecil pupil dan semakin banyak "ulat-ulat" itu terhasil di retina.

Monday, April 18, 2016

FENOMENA DR ZAKIR NAIK


 Pemikiran Dr Zakir dan Ahmed Deedat
DR Zakir Abdul Karim Naik ialah seorang pakar dalam bidang perbandingan agama di peringkat antarabangsa. Dr Zakir terkenal dengan teknik pidato dan debatnya yang sangat berkesan, menggunakan dalil-dalil al-Quran dan sunah Nabi SAW serta beberapa kitab agama lain seperti Bible, Veda dan Bhagwad Geeta.

Dilahirkan di Mumbai, India pada 18 Oktober 1965, Dr Zakir terkenal dengan kebolehannya mematahkan hujah pihak lawan dan memberikan jawapan yang meyakinkan terhadap persoalan yang dikemukakan secara spontan.

Pada tahun 2002, beliau memberi lebih dari 1,000 ceramah di peringkat antarabangsa seperti di Amerika Syarikat, Kanada, United Kingdom, Arab Saudi, United Arab Emirates, Kuwait, Qatar, Bahrain, Oman, Afrika Selatan, Itali, Mauritus, Australia, Malaysia, Singapura, Hong Kong, Thailand dan di tempat beliau sendiri, India.

Dr Zakir mendapat pendidikan awal di St Peter’s High School, Mumbai, Topiwala National Medical College, Nair Hospital, Mumbai. Kemudian beliau mendapat ijazah kedoktoran dalam bidang perubatan, Bachelor of Medicine dan Bachelor of Surgery di Universiti of Mumbai, India.

Beliau melibatkan diri dalam aktiviti dialog antara agama, dan antara yang paling berhasil adalah dialog bersama-sama Dr William Campbell (Amerika Syarikat) pada 1 April 2000. Beliau mendapat gelaran dalam dunia perbandingan agama daripada gurunya, Syeikh Ahmed Deedat, sebagai ‘Deedat Plus’; pada 1994.

Pada Mei 2005, Ahmed Deedat memberi anugerah kepada Dr Zakir sebagai: “Son what you have done in 4 years had taken me 40 years to accomplish.” (Wahai anak muda, kamu hanya mengambil masa selama 4 tahun untuk mencapai apa yang saya dapat capai dalam tempoh 40 tahun).

Beliau sering dijemput menyampaikan ceramah di beberapa stesen televisyen dan radio di beberapa negara, dan kini terdapat ratusan video rakaman ceramah beliau boleh didapati dalam bentuk pita video dan cakera padat (CD).

Dr Zakir banyak berceramah mengenai perbandingan agama, seorang wanita beragama Hindu menganut Islam secara LIVE di Peace TV selepas bertanya satu soalan kepada beliau.
Setelah berpuas hati mendengar penjelasan daripada Dr Zakir, tanpa teragak-agak wanita itu mengucap dua kalimah syahadah. Di samping itu juga Dr Zakir sudah banyak mengislamkan penganut agama lain kepada Islam.

Pada 2013 kerajaan Malaysia memberi Anugerah Tokoh Maal Hijrah kepada Dr Zakir Naik sebagai pendakwah bebas. Kerajaan menilai seseorang penerima secara keseluruhan sebelum menyampaikan anugerah tersebut. Sebelum ini banyak kalangan yang mengkritik terhadap Dr Zakir mengenai ceramah dan dakwah disampaikan beliau dalam pemikiran dan fahaman mengenai Islam sebagai kontroversi. Bagaimanapun perkara tersebut telah dijawab dengan puas hati oleh Dr Zakir dan diterima dengan baik pula oleh kalangan yang berkenaan.

Dr Zakir Naik telah mengasaskan Islamic Reseach pada Februari 1991 untuk menyebarkan dakwah dan mesej Islam kepada masyarakat Islam dan bukan Islam.

Dengan itu lahirlah buku-buku, dokumentari dan video-video ceramah, telah sampai kepada berjuta-juta manusia di seluruh dunia melalui siaran TV satelit antarabangsa, internet dan media cetak. Kebanyakan menumpukan kepada memberikan kefahaman terhadap kebenaran dan kesempurnaan agama Islam berdasarkan ayat-ayat al-Quran, hadis sahih dan juga logik akal.

Dr Zakir Naik seorang pendakwah bebas yang mendapat gelaran ‘walking computer’ kerana ingatan beliau yang baik dan sempurna. Justeru, beliau diberi gelaran ‘Deedat Plus’ kerana kebolehan berhujah mengenai Islam dan Kristian sebagaimana Ahmed Deedat, tetapi Dr Zakir Naik memiliki lebih banyak kelebihan lagi. Dalam perdebatan, beliau secara bersahaja memetik kandungan al-Quran, hadis, Bible serta buku dan kajian terkini sains dan teknologi. Semuanya beliau lakukan dalam ingatan luar biasa tanpa merujuk kepada sebarang teks. Semua rujukan beliau itu dihafal secara ayat ke ayat.

Hasil debat antara Dr Zakir Naik dan Dr William Campbell tersebut adalah dilaporkan, ratusan orang telah menganut Islam setelah melihat perdebatan itu. Sesungguhnya kita berasa takjub akan kurniaan ALLAH SWT terhadap Dr Zakir Naik. Wallahualam.