Tuesday, September 23, 2014

Kenapa Allah Ciptakan Kaum Hawa Daripada Tulang Rusuk Yang Bengkok

 
Duhai Adam,
Tahukah dirimu, bahawa Allah menciptakanku dari tulang rusukmu, dan tulang rusuk yang dicipta itu adalah yang paling bengkok. Kenapa?

Ini kerana
Supaya aku melengkapi segala kekuranganmu,
Supaya  aku menjadi penutup kelebihanmu,
Supaya aku mendampingi dirimu dengan segala yang menjadi fitrahNya atas ku.
Dan,
Supaya engkau meluruskan aku dengan ilmu dan akhlakmu, memimpinku kepada jalah yang diredhai Yang Maha Esa, dan bukan membiarkan aku semakin bengkok.
Kerana apabila engkau membiarkan aku terus bengkok, maka aku juga mampu menyeretmu ke dalam api neraka.
Ini kerana apabila si suami tidak memperdulikan tindak tanduk isterinya. Bergaul bebas di pejabat, memperhiaskan diri bukan untuk suami tapi untuk pandangan kaum lelaki yang bukan muhrim dan apabila suami mendiam diri walaupun dia seorang alim seperti solat tidak bertangguh, puasa tidak tinggal maka dia akan turut ditarik oleh isterinya ke neraka.

Wahai Adam,  mainkan perananmu dengan hak dan saksama berdasarkan Al-Quran dan As-Sunnah serta berwaspada akan tanggungjawab yang harus dipikul.
Maka LURUS kanlah aku dgn IMAN dan TAQWA mu kepada-NYA. Agar aku jadi pelengkap separuh agama mu

Kata Cinta :
Rasulullah s.a.w. membuat perumpamaan wanita seperti tulang rusuk bukan bermaksud untuk merendahkan kedudukan mereka tetapi sebagai peringatan kepada kaum lelaki supaya memberi perhatian kepada mereka, melayani mereka dengan baik, mendidik dan menjaga hati mereka. Sama seperti lelaki, wanita sama-sama berperanan untuk menegakkan agama dan menguruskan hal ehwal kehidupan.


Kisah Sedih Seorang Ibu

 
Assalamualaikum semua…post ni merupakan satu cerita yang agak sedih..ya..kasih ibu amat besar..lebih besar daripada segalanya, lebih berharga daripada nilai gaji yang kita perolehi..tetapi mengapa kita perlu jadi sedemikian rupa…bacalah dengan teliti cerita ini…hergailah mereka selagi kita masih punyai…

Pada suatu hari, seorang pemuda yang bernama Faizal terlibat dalam kemalangan. Dia dilanggar oleh sebuah teksi di sebatang jalan raya.
Akibat daripada kemalangan itu dia cedera parah. Kepalanya luka, tangannya patah dan perutnya terburai. Setelah dibawa ke hospital, doktor mendapati keadaannya terlalu teruk dan menjangkakan dia tidak ada harapan lagi untuk hidup. Ibunya, Jamilah segera dihubungi dan diberitahu tentang kemalangan yang menimpa anaknya.
Hampir pengsan Jamilah mendengar berita tentang anaknya itu. Dia segera bergegas ke hospital tempat anaknya dimasukkan.Berlinang air mata ibu melihat keadaan anaknya. Walaupun telah diberitahu bahawa anaknya sudah tiada harapan lagi untuk diselamatkan, Jamilah tetap tidak henti-henti berdoa dan bermohon kepada Allah agar anaknya itu selamat.
Hari berganti minggu, minggu berganti bulan, keadaan Faizal tidak banyak berubah. Saban hari Jamilah akan datang menjenguk anaknya itu tanpa jemu. Saban malam pula Jamilah bangun untuk menunaikan solat malam bertahajjud kepada Allah memohon keselamatan anaknya. Dalam keheningan malam, sambil berlinangan air mata, Jamilah merintih meminta agar anaknya disembuhkan oleh Allah.
Ini adalah antara doa Jamilah untuk anaknya itu ;
”Ya Allah ya Tuhanku, kasihanilah aku dan kasihanilah anak aku. Susah payah aku membesarkannya, dengan susu aku yang Engkau kurniakan kepadaku, aku suapkan ke dalam mulutnya. Ya Allah, aku pasrah dengan apa jua keputusan-Mu! Aku redho dengan qada’ dan qadar Mu yaa Allah.”
”Yaa Allah, dengan air mataku ini, aku bermohon kepadaMu, Engkau sembuhkanlah anakku dan janganlah Engkau cabut nyawanya. Aku sangat sayang kepadanya. Aku sangat rindu kepadanya. Susah rasanya bagiku untuk hidup tanpa anakku ini. Terngiang-ngiang suaranya kedengaran di telingaku memanggil-manggil aku ibunya.”
“Ya Allah, tidak ada Tuhan melainkan hanya Engkau saja. Tunjukkanlah kuasa Mu ya Allah. Aku reda kalau anggota badanku dapat didermakan kepadanya agar dengannya dia dapat hidup sempurna kembali.”
“Ya Allah, aku redho nyawaku Engkau ambil sebagai ganti asalkan Engkau hidupkan anak kesayanganku. Engkaulah yang Maha segala hal, berkat kebesaran Mu ya Allah, terimalah doaku ini….aamiin”.
Keyakinan Jamilah terhadap kuasa Ilahi sangat kuat walaupun tubuh badan anaknya hancur cedera dan dikatakan sudah tiada ada harapan lagi untuk hidup. Namun, Allah benar-benar mahu menunjukkan kebesaran dan kekuasaanNya.
Setelah 5 bulan terlantar, akhirnya Faizal menampakkan tanda-tanda kesembuhan dan akhirnya dia sembuh sepenuhnya. Berkat doa seorang ibu yang ikhlas.
Faizal dapat meneruskan hidupnya hingga berumahtangga dan beranak-pinak. Ibunya, Jamilah semakin hari semakin tua dan uzur.

Suatu hari, Jamilah yang berusia hampir 75 tahun jatuh sakit dan dimasukkan ke hospital. Pada mulanya, Faizal masih melawat dan menjaga ibunya di hospital. Tetapi semakin hari semakin jarang dia datang menjenguk ibunya hinggalah pada suatu hari pihak hospital menghubunginya untuk memberitahu keadaan ibunya yang semakin teruk.
Faizal segera bergegas ke hospital. Di situ, Faizal dapati keadaan ibunya semakin lemah. Nafas ibunya turun naik. Doktor memberitahu bahawa ibunya sudah tidak ada masa yang lama untuk hidup. Ibunya akan menghembuskan nafasnya yang terakhir pada bila-bila masa saja.
Melihat keadaan ibunya yang sedemikian dan kononnya beranggapan ibunya sedang terseksa, lantas Faizal terus menadah tangan dan berdoa seperti ini;
“ Yaa Allah, seandainya mati lebih baik untuk ibu, maka Engkau matikanlah ibuku! Aku tidak sanggup melihat penderitaannya. Yaa Allah, aku akan redho dengan pemergiannya…Aamin.”
Begitulah bezanya doa ibu terhadap anak dan doa anak terhadap orang tuanya. Apabila anak sakit, walau seteruk mana sekalipun, walau badan hancur sekalipun, walau anak tinggal nyawa-nyawa ikan sekalipun, namun ibu bapa akan tetap mendoakan semoga anaknya diselamatkan dan dipanjangkan umur.

Tetapi anak-anak yang dikatakan ‘baik’ pada hari ini akan mendoakan agar ibu atau bapanya yang sakit agar segera diambil oleh ALLAH, padahal ibu bapa itu baru saja sakit. Mereka meminta pada Allah agar segera mematikan ibu atau bapanya kerana kononnya sudah tidak tahan melihat ‘penderitaan’ ibu bapanya.

Apa doa anda untuk ibu bapa anda?

RAHSIA WANITA BERDASARKAN 4 UNSUR


Rahsia wanita tanah, air, api, dan angin
Penentuan unsur seseorang ditentukan melalui anak ke berapa dalam keluarga.

i) Tanah - anak pertama, kelima, kesembilan
ii) Air - kedua, Keenam, kesepuluh
iii) Api - ketiga, ketujuh, kesebelas
iv) Angin - keempat, kelapan, kedua-belas

Wanita berunsur Tanah
Tanah yang subur mempu membuahi tanaman yang hijau dan mekar. Wanita yang bersifat tanah biasanya mempunyai sifat-sifat seperti:

Rendah diri di hadapan suaminya serta hormat dan patuh, setia serta rela berkorban demi kasih sayangnya kepada suami.
Sebahagian sifat tanah, wanita jenis ini tidak cerewet, tidak suka bercakap meninggikan diri, tidak menyombong dan bukan seorang pemarah.
Tenang dan mengamankan jiwa suami, selalu memberi galakan dan sokongan dan tidak suka membantah atau membangkang.
Orang yang berperawakan manis dan lemah lembut, pembersih dan sentiasa menjaga kecantikan untuk suami.

Wanita berunsurkan Air
Air sifatnya bersih dan suci, sejuk, nyaman serta menghilangkan dahaga. Air juga sifatnya mencambahkan benih, menyuburkan serta menyegarkan. Wanita bersifat air mempunyai ciri-ciri seperti berikut:

Menghidupkan hati suami menjadikan suami sentiasa bersemangat.
Mengambil berat tentang suami dan kebajikan anak-anak serta tidak membiarkan anak-anak hanyut dibawa arus hidup.
Hatinya bersih serta boleh membahagiakan suami dan anak-anak.
Menenangkan hati suami bila si suami menghadapi masalah.

Wanita berunsurkan Api
Api sifatnya panas dan membakar tapi menerangi kegelapan malam. Ia juga menghangatkan kedinginan malam serta digunakan untuk memasak. Wanita bersifat api:

Cintanya sentiasa hangat membara kepada suami serta kuat cemburu.
Cergas dan cepat dalam geraklaku menjadikan dia seorang yang cekap dalam menguruskan hal-hal rumahtangga.
Penasihat yang baik kepada suami.
Pandai dan cekap menguruskan rumahtangga.
Pandai menghias diri agar kelihatan cantik dan menarik di hadapan suami.
Sentiasa waspada dan cepat bertindak bagi menyelamatkan keadaan.

Wanita berunsur Angin
Angin meredakan kehangatan, menjadi sumber tenaga. Wanita yang berunsurkan angin:

Mempunyai sifat lemah lembut dan menyenangkan suami.
Pandai bermain kata dan memujuk rayu.
Sopan santun dan berbudi pekerti mulia.
Bijak mewujudkan suasana selesa.
Hati yang cepat berubah ubah.

Batas pergaulan lelaki, wanita ketika bekerja


ADAKAH wanita berkerjaya memahami batas pergaulan seharian agar kerja mereka mendapat pahala dan rumah tangga kekal terpelihara.

 Memang tidak dapat dinafikan bahawa wanita penyumbang sumber tenaga manusia yang besar dalam pembangunan negara. Wanita memang perlu berganding bahu dalam melaksanakan tugas, di samping tidak mengabaikan tugas asasi di rumah. Oleh itu, wanita berkerjaya harus mengetahui beberapa perkara sebelum ia memegang sebarang jawatan.

Di samping itu, lelaki perlu memahami adab pergaulan kerana menjaga adab pergaulan lelaki dan wanita adalah tanggungjawab bersama. Tetapi sebagai wanita cerdik dan bijaksana, kita perlu melakukannya kerana kalau bukan kita yang mulakannya, siapa lagi. Kita boleh mengawal diri tetapi tidak boleh mengawal apa yang ada dalam diri orang lain. Oleh itu kita mulakan dengan diri kita dulu.

Beberapa panduan berikut harus jelas difahami.

- Niat ikhlas kerana keredaan Allah.

Wanita berkerjaya harus mengikhlaskan niat dan meletakkan tumpuan mengapa dia memegang sesuatu jawatan. Ini kerana ingin mendapat keredaan Allah dengan berhubung terus dengan masyarakat dan melaluinya boleh dijadikan 'role model' seorang Muslimah sejati.

- Isteri dihormati.

Wanita berkerjaya harus sentiasa menjaga akhlaknya sebagai seorang isteri setia dan berperibadi tinggi. Jangan sekali-kali mengkhianati keizinan suami untuk melakukan perkara yang boleh menimbulkan fitnah.

Perlu diingat bahawa bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi. Kuasa untuk mengatakan tidak berada di tangan wanita itu. Jika berlaku gejala gangguan seksual, banyak cara dan saluran yang boleh dilakukan untuk mengatasinya.

- Ibu yang dimuliakan.

Wanita berkerjaya yang mempunyai anak, tentunya tahu apa itu perasaan kasihan belas, sifat timbang rasa, pemaaf dan berhikmah apabila berbicara. Sebaik mungkin sifat keibuan ini jelas terpancar dalam tindak tanduk berurusan sama ada dengan rakan setugas, orang bawahan mahupun orang luar pejabat.

Dengan itu akan timbul rasa hormat dan jika ini berlaku, pekerja bawahan terutamanya akan senang untuk melakukan tugas secara suka dan rela tanpa perlu dipaksa dan diarah-arah. Pendek kata, jadilah ibu yang boleh dijadikan contoh dalam hal pendidikan, pembentukan akhlak dan tempat rujukan dalam hal menangani masalah berkaitan dengan anak-anak.

- Kerjaya bukan jalan keluar mengatasi kebosanan.

Malang jika wanita berkerjaya beranggapan bahawa dia bekerja untuk mengelak atau melarikan diri daripada tugas suri rumah yang dianggapnya membosankan.

- Kedudukan di sesuatu tempat kerja adalah aset.

Wanita yang mempunyai kedudukan dalam organisasinya perlu sedar bahawa dia memang boleh diharap dan mempunyai mutu kerja tinggi. Ini bermakna organisasinya akan kehilangan seseorang yang berharga jika dia tiada.

- Perlu ada suasana nasihat menasihati.

Masyarakat seharusnya memberi perhatian dan perlu memberi kata-kata nasihat. Oleh itu, wanita perlu ada rakan wanita lain yang ikhlas nasihat-menasihati.

- Jagalah sepenuhnya agar tidak berada dalam suasana yang menyebabkan fitnah iaitu menimbulkan curiga.

Kadang kala wanita lain agak cemburu dan selalu suka menjatuhkan di antara satu sama lain. Paling tidak, ada yang suka melihat perkara sumbang ini berlaku dan menjadikan rakan sebagai bahan bualan. Kita harus menjauhi wanita yang tidak boleh dibuat kawan seperti ini.

- Wujudkan persekitaran komunikasi yang baik dalam rumah tangga

Peranan suami juga tidak kurang pentingnya. Suami memang sibuk dengan urusannya. Adakah suami wanita berkerjaya mengambil berat dan suka mendengar luahan rasa hati isteri? Oleh itu, komunikasi rumah tangga menjadi keutamaan. Suami isteri harus dapat menyelami sanubari masing-masing tanpa perlu mencurahkannya kepada orang lain, apatah lagi suami atau isteri orang. Suami isteri kenalah semarakkan semula api cinta yang terbenam dalam sekam dimamah usia perkahwinan. Jadilah teman berbicara dan telinga yang mendengar untuk pasangan masing-masing.

Perkara di atas jika dapat dihayati oleh wanita dwikerjaya, maka Allah akan memberi keredaan kepadanya.

PENULIS adalah pensyarah Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Universiti Sains Malaysia.

HIKMAH DISEBALIK MUSIBAH PENYAKIT


Di sebalik setiap musibah yang menimpa manusia itu sebenarnya mempunyai hikmah yang tertentu. Musibah bukan sahaja datangnya sesuatu penyakit tetapi apa-apa dugaan yang Allah SWT menduga kita seperti masalah rumah tangga, masalah kewangan, masalah di tempat kerja, masalah pembelajaran anak-anak, masalah politik negara, banjir besar, tsunami, gempa bumi, kemarau dan sebagainya. Antara hikmah yang boleh kita ambil dari musibah yang dihadapi antaranya :
  • Mengangkat Darjat
Musibah yang menimpa seseorang merupakan jalan untuk Allah SWT meninggikan darjat seorang hamba-Nya.  Kisah Nabi Ayub merupakan contoh yang terbaik. Nabi Ayub mempunyai kedudukan mulia di sisi Allah SWT, namun masih mampu berbaik sangka kepada-Nya . Sudahlah dirinya ditimpa penyakit.  Isteri-isterinya juga menjauhkan diri. Namun Nabi Ayub tetap bersabar menerimanya sehinggalah Allah SWT mengembalikan semula kesihatan dan ditinggikan pula darjat di sisi-Nya. Sesungguhnya, kesabaran Nabi Ayub dalam melalui ujian Allah berkenaan mempunyai hikmah yang besar. Ujian dari Allah SWT datang kepada manusia-manusia yang Allah pilih sahaja. Kita hendaklah bersyukur sekiranya musibah datang kepada kita sebab kita di antara hamba-hamba Nya yang Allah SAW pilih untuk diduga.
  • Tanda Cinta
Musibah adalah tanda kecintaan Allah SWT kepada hamba-Nya, Rasulullah SAW bersabda:
“Sesungguhnya besarnya pahala yang  kita perolehi bergantung besarnya dugaan, dan Allah SWT apabila mencintai suatu kaum, maka Allah akan menguji mereka. Barang siapa yang redha, maka ia akan mendapatkan keredhaan-Nya dan barang siapa yang kesal terhadapnya, maka ia akan mendapatkan kemurkaan-Nya.” - (HR. Ahmad dan Tirmidzi).
Justeru itu, janganlah disesali akan musibah yang dihadapi, malah seharusnya disyukuri.
  • Belajar Erti Sabar
Yakinlah bahawa Allah tidak membebani seseorang kecuali sesuai dengan kesanggupannya dan kemampuannya. Ketahuilah sesungguhnya Allah SWT mencintai orang-orang yang sabar dan sentiasa bersama-sama mereka, sebagaimana firman-Nya :
“Dan ingatlah Allah sentiasa mengasihi orang-orang yang sabar". - Surah Ali 'Imran : 146
  • Pembersihan Dosa
Sebagai manusia biasa, sudah tentu kita tiada terlepas daripada melakukan kesalahan sama ada secara sengaja atau tidak sengaja. Hakikatnya iblis dan syaitan senantiasa menggoda nafsu kita agar terus menerus melakukan dosa. Sedangkan dosa itu menjauhkan diri kita dengan Allah SWT. Hikmah diturunkan kesakitan itu adalah sebagai cara untuk membersihkan diri kita terhadap dosa-dosa lalu. Ia bersesuaian dengan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud :
"Tidaklah seorang muslim tertimpa suatu penyakit dan sejenisnya melainkan Allah akan menggugurkan bersamanya dosa-dosanya seperti pohon yang menggugurkan daun-daunnya." - (HR. Bukhari dan Muslim)
  • Memberi Keinsafan
Kita mesti bersyukur segala nikmat kesenangan yang diberi oleh Allah SWT. Dengan kehendak-Nya juga, nikmat kesenangan itu boleh hilang dalam sekelip mata. Janganlah dicela andai musibah menimpa. Ketahuilah bila anda sakit atau ditimpa sesuatu musibah, hakikatnya Allah SWT sedang memberikan perhatian kepada anda. Bukankah itu satu kemuliaan?
  • Pengubat Kepada "Ego"
Sakit menjadikan kita beringat akan nikmat sihat yang Allah SWT kurniakan hanyalah pinjaman semata-mata.  Segala yang kita miliki adalah milik mutlak Allah SWT. Sakit adalah petanda bahawa kita adalah makhluk yang lemah. Didatangkan sakit atau apa-apa musibah, adalah untuk kita beringat bahawa kita ini hamba Nya dan kita tidak patut bersifat sombong dan bongkak kepada Allah SWT. Sesungguhnya musibah itu adalah pengubat kepada “ego” kita.
  • Lebih Dekat Dengan Tuhan
Dalam keadaan sakit, kita lebih mudah mengingati Allah. Merasa kelemahan dan ketidakmampuan di hadapan-Nya. Bila kita sakit kita akan bersungguh-sungguh memohon perlindungan kepada Allah SWT. Mungkin selama ini kita lalai. Keadaan ini akan mengingatkan kita kepada nikmat kesihatan yang dikurniakan oleh Allah. Jarang orang merasakan nikmat ketika sakit. Namun, bagi orang yang banyak bersyukur dan bersabar dalam menghadapi kesakitan, ia akan memperoleh nikmat.
  • "Turning Point" dalam Kehidupan
Bila kita terlalu leka dalam hal-hal duniawi, kita selalu lupa kewajipan kita untuk beribadah kepada Allah SWT.  Hal-hal duniawi lebih penting dari hal-hal akhirat. Turunnya penyakit memberi keinsafan dan mula mendekatkan diri dengan Allah SWT. Sakit adalah ‘signal’ yang Allah SWT sangat mengasihi kita agar menjadi hambanya yang bertaqwa dan tidak terus lalai dan leka kerana matlamat sebenar kita adalah kehidupan abadi di akhirat kelak, bukan kehidupan dunia yang bersifat sementara.
  • Membersih Hati
Manusia yang tidak diuji dengan musibah menjadikan ia ujub dan takabbur. Hatinya menjadi kasar dan jiwanya beku. Musibah dalam bentuk apapun adalah rahmat Allah SWT. Ia dapat membersihkan jiwa dan menyucikan iman seseorang. Itulah ubat dan penawar kehidupan yang diberikan Allah SWT kepada setiap orang beriman. Ketika hati menjadi bersih dan suci maka sirnalah penyakitnya, martabatnya diangkat dan jiwanya dimuliakan.

Semoga kita semua tergolong sebagai seorang hamba yang redho dengan setiap ujianNya.  Amin

Trend hijab songsang dibimbangi


KUALA LUMPUR 22 Sept.- Trend fesyen berhijab dan cara menutup aurat yang diikuti dalam kalangan wanita muslim masa kini dibimbangi akan menyebabkan kekeliruan dan salah faham serta boleh menimbulkan budaya songsang sekiranya tidak dibendung segera.
Kebimbangan itu disuarakan oleh Panel Isu-Isu Semasa Wanita Islam (PISWI) di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) serta menyelar trend tersebut yang dicetuskan oleh kumpulan-kumpulan tertentu dalam menggayakan fesyen berhijab untuk muslimah pada masa ini.
Rektor Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) yang juga Pengerusi PISWI, Prof. Datuk Seri Dr. Zaleha Kamaruddin berkata, keghairahan wanita berhijab yang tidak mahu ketinggalan untuk mengikuti gaya dan trend menjadi punca cara pemakaian muslimah gagal menepati syariat Islam sebenar.
"Maka tidak hairan terdapat wanita mengenakan hijab tetapi berpakaian ketat dan tidak menepati panduan yang ditetapkan syariat semata-mata untuk berketrampilan dan mengejar trend," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Zaleha berkata, kesedaran wanita Islam terhadap kewajipan berhijab telah mencetuskan satu fenomena dan ledakan ini sekali gus merupakan satu perkembangan baik kepada Islam secara umumnya.
"Namun transformasi dalam perkembangan fesyen dengan pelbagai rekaan dan modifikasi boleh menghilangkan nilai sebenar yang disyariatkan," katanya.
Menurut beliau, secara umum, hijab itu bermaksud menutup aurat dengan sempurna mengikut batas-batasnya merangkumi jenis pakaian yang tidak menonjolkan bentuk tubuh badan.
"Sejajar dengan fenomena ini, PISWI ingin menegaskan bahawa berhijab itu bukan trend tetapi merupakan satu tuntutan ketaatan kepada syariat yang telah ditetapkan," jelasnya.
Namun beliau berkata, apa yang merisaukan adalah pemahaman terhadap tuntutan syariat yang telah disalahertikan apabila pelaksanaan menutup aurat itu tidak bertepatan dengan konsep menutup aurat sebenar.
"Sehubungan itu PISWI menyeru wanita Islam di Malaysia supaya belajar mengikuti yang benar bukan yang tenar. Tunaikan kewajipan sebagai seorang muslimah berpandukan syariat yang diredai Allah," katanya.

Mengarut ulang UPSR

UPSR Bocor
SHAH ALAM - Mengarut dan tidak munasabah!

Itu pendapat Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan, Hashim Adnan apabila dua lagi kertas peperiksaan UPSR disahkan perlu diulang semula selepas didapati bocor.

Semalam, Lembaga Peperiksaan mengesahkan kertas ujian Matematik dan Bahasa Tamil bocor dan 9 Oktober dipilih sebagai tarikh baharu untuk pelajar menduduki semula kedua-dua mata pelajaran berkenaan.

“Kenapa selepas 10 hari peperiksaan dijalankan, baru hari ini (semalam) Lembaga Peperiksaan umumkan pembatalan kedua-dua ujian berkenaan?

“Apa yang dibuat seolah-olah menganiaya murid-murid termasuk ibu bapa dan guru sekolah,” katanya.

Katanya, pengulangan peperiksaan hanya membebankan dan menambah tekanan kepada murid.

“Mereka (murid dan ibu bapa) baru pulih daripada tekanan kerana perlu mengambil semula kertas Bahasa Inggeris dan Sains. Kini terpaksa mengharungi cerita baru, ulang semula ujian Bahasa Tamil dan Matematik,” katanya.

Walaupun akur dengan keputusan tersebut, Hashim tetap mahu Lembaga Peperiksaan menjelaskan perkara sebenar mengapa kedua-dua mata pelajaran itu perlu diulang apatah lagi selepas 10 hari murid  menduduki ujian itu.

Beliau mempersoalkan sama ada kertas peperiksaan yang bocor itu dapat diakses kebanyakan murid sehingga menyebabkan ia perlu diulang semula.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat, Datuk Mohamed Sabri Mohd Arsad berkata, pengambilan semula dua kertas itu dirasakan perlu kerana ia lebih adil untuk semua murid.

“Bagaimanapun bagi memastikan kebolehan dan kredibiliti murid, semua kertas peperiksaan termasuk Bahasa Melayu (yang tidak dilaporkan bocor) perlu diulang semula.