Wednesday, May 24, 2017

Kubur Digali Semula, Tubuh Tahfiz Muda Masih Utuh Dan Tidak Hancur



Adakah anda masih ingat akan kisah adik Thaqif menjadi tular selepas dia didakwa menjadi mangsa pukulan warden yang bertugas di pusat tahfiz berkenaan. Sehingga kini kes tersebut masih dalam siasatan pihak berkuasa bahkan pembantu warden berkenaan juga telah dibebaskan tanpa dilepaskan kerana kekurangan bukti.

Mohamad Thaqif Amin Mohd Ghaddafi yang meninggal dunia 26 April lalu digali semula pagi ini oleh pihak hospital dengan kebenaran dari mahkamah serta bersaksikan polis bagi mencari punca kematiannya. Apa yang mengejutkan, saat kuburnya digali balik, didapati tubuh arwah masih didalam keadaan baik seperti baru sahaja dikebumikan. Subhanallah! Ternyata terbukti kepada mereka yang mengutamakan al-Quran dalam kehidupannya, dipelihara jenazahnya dari seksaan azab kubur.

Allah SWT menunjukan kebesaranNya apabila kaki yang dipotong dan tubuh pelajar tahfiz berkenaan yang bercita-cita menjadi huffaz ketika memasuki Madrasah Tahfiz Al-Jauhar, Kota Tinggi, Johor ini tidak mereput atau berbau busuk biarpun sudah hampir sebulan jenazahnya dikebumikan saat kuburnya digali semula itu
Menurut bapa saudara arwah, Mas Arip dia bersama bapa mentuanya, Ahmad bin Motai menjadi saksi bagi pihak keluarga menyaksikan kubur anak saudaranya itu digali semula.

“Alhamdulillah keadaan jenazah sempurna dan masih utuh, sama seperti baru ditanam. Pihak forensik yang mengambil sample dari kaki yang dipotong itu turut mengagumi keadaan jenazah yang tidak mereput bahkan cukup istimewa kerana Allah menunjukkan kebesaranNya di hadapan mereka yang masih hidup. Kejadian ini turut disaksikan oleh pihak berkuasa.”

“Allahuakabar!! Kakinya yang ditanam tempoh hari tidak hancur. Bahkan badannya juga tidak hancur, sama seperti baru dikebumikan. Betul-betul menginsafkan saya. Masya-Allah. Allah maha berkuasa,”kongsinya lagi.

Antara kebaikan-kebaikan membaca Al-Quran ialah :
Daripada Abu Umamah r.a berkata : Aku mendengar Rasulullah S.A.W. bersabda:
“Bacalah al-Quran sesungguhnya ia akan datang di hari kiamat sebagai syafaat kepada pembacanya”. (Hadis Riwayat Muslim)
Al-Quran sebagai pembela (mempertahankan) orang yang membacanya dihari akhirat.
Daripada Nawwas Bin Sam’an r.a. telah berkata : Aku mendengar Rasulullah S.A.W. bersabda : “Di hari akhirat kelak akan didatangkan al-Quran dan orang yang membaca dan mengamalkan isi kandungannya, didahului dengan Surah Al Baqarah dan Surah Ali-Imraan, kedua-dua surah ini menghujah ( mempertahankan ) orang yang membaca dan mengamalkannya”. (Hadis Riwayat Muslim)

Sumber: Mingguan Wanita

Tuesday, May 9, 2017

HUTANG DHUHA



Seorang Ustaz dari Indonesia yang bernama Ustaz Yusuf Mansur sangat memperjuangkan dan membudayakan kelebihan dan manfaat melakukan solat dhuha dan sedekah di negaranya.

Didalam bukunya bertajuk “ Undang saja Allah; Belajar Syukur, Belajar Yakin” beliau memperkenalkan konsep “ Hutang 2 Rakaat Dhuha”.

Di dalam buku tersebut beliau membahaskan konsep bahawa *kita sudah terlalu banyak berhutang dengan Allah* sebenarnya.

Kerana kita terlupa untuk “membayar” bayaran kerana kita memakai mata, tangan, kaki, jantung serta organ kita yang lain kepada Allah.

Oleh kerana Allah tahu bahawa kita tidak akan mampu membayar semua nikmat tersebut menggunakan wang, oleh itu Dia dengan kasih sayangnya mensyaratkan bahawa solat sunat dhuha 2 rakaat sebagai bayarannya.

Seperti yang tercatat di satu hadis “
*Pada setiap manusia terdapat tiga ratus empat puluh sendi. Setiap satu sendi harus disedekahi olehnya. Para sahabat bertanya, ‘ siapakah yang sanggup melakukannya wahai Rasulullah? Rasulullah bersabda, jika terdapat kotoran dimasjid, tutuplah dengan tanah ( buang dan bersihkan), dan jika ada sesuatu yang merintangi jalanan, jauhkanlah. Jika engkau tidak sanggup melakukannya maka solat dhuha dua rakaat sebagai gantinya bagimu”*(HR. Imam Ahmad)

Dan menurut riwayat yang lain, “ Setiap pagi semua anggota badan masing-masing dari kalian wajib disedekahi. Setiap kali tasbih adalah sedekah.

Setiap kali tahmid adalah sedekah. Setiap kali tahlil adalah sedekah. Setiap kali takbir adalah sedekah. Amar ma’ruf dan nahi mungkar adalah sedekah. Semuanya terpenuhi dengan dua rakaat solat dhuha.” ( HR. Muslim ).

Melalui hadis diatas, semakin jelas kepada kita bahawa kita sudah banyak berhutang kepada Allah selama ini rupanya. Ada diantara kita yang berumur 20, 30 malah mungkin 50 tahun, akan tetapi baru tahu akan hal ini.
Kita baru tahu yang kita sedang berhutang sebenarnya. Bahkan ini baru hutang dhuha, belum lagi dikira hutang solat wajib, hutang zakat, juga hutang yang lain-lainnya. Pasti sangat banyak kiraannya.

Jika setahun kita berhutang dhuha 2 rakaat, jika dikira agak –agak berapa rakaat yang perlu kita bayar? Jika setiap tahun mengandungi 365 hari di darab dengan 2 rakaat dhuha yang ditinggalkan, jumlah hutang dhuha kita pada Allah setahun adalah 730 rakaat. Maka jika 10 tahun adalah 7300. Masha Allah.

Bagaimana pula jika 20 atau 30 tahun? Sungguh banyaklah bukan?.
Persoalannya disini, adakah betul kita harus membayar hutang hutang tersebut? Jika ya, bagaimanakah cara mahu membuatnya?.

Untuk menjawab persoalan tersebut, saya ingin berkongsi apa yang diceritakan ustaz Yusuf Mansur didalam buku tersebut tentang hal ini.

Seorang pekerja kerajaan telah datang bertemunya selepas beliau menyampaikan satu ceramah dan pekerja tersebut menceritakan bahawa dia terkena satu musibah.

Wang tabungan yang sudah dikumpul selama setahun telah hilang kerana dicuri. Agak banyak jumlahnya. Dia sangat tertekan dengan hal tersebut dan pergi menemui Ustaz Yusuf Mansur.Ustaz dengan pantas bertanya, “ Ada mengamalkan solat dhuha tak selama ini?” kemudian pekerja itu menjawab bahawa dia tidak atau kalau lakukan pun agak jarang sekali. Kemudian secara langsung ustaz menjawab, “ Patutlah Allah mengambil (melalui pencuri) duit tersebut, diambil Allah wang tersebut untuk “bayar” hutang rupanya”. Begitu juga kalau berbisnes atau berniaga, setelah sekian lama berniaga, namun kita masih tak dapat membuat simpanan, itu mungkin kerana kita tidak berdhuha selama ini.

Berbalik kepada persoalan bagaimanakah kita ingin membayar hutang-hutang dhuha kita itu, adakah kita perlu bersolat sunat dhuha tanpa henti supaya hutang-hutang kita terbayar?

Adakah kita perlu bersedekah supaya hutang kita itu dilunasi?. Anda rasa bagaimana? Mengikut cadangan Ustaz Yusuf Mansur didalam buku tersebut dia ada berkongsi sedikit tips dan cara bagaimana kita boleh membayar hutang-hutang Dhuha kita.

Seseorang bernama Saifullah telah menghantar satu sms
kepada ustaz :

“ Ustaz, saya baru terbaca tentang hutang dhuha di program Dhuha Coffee ustaz. Saya termasuk orang yang mempunyai hutang dhuha dengan Allah. Saya kini berumur 34 tahun 2 bulan. Ertinya jika saya akil baligh umur 10 tahun, saya sudah berhutang 24 tahun. Dalam sekitar 8,760 hari itu saya berhutang 17,520 rakaat. Mungkin ini sebabnya saya merasakan hidup saya kurang diberkati. Sekarang bagaimanakah saya mahu melunasinya? Wassalam”

Antara tips ustaz yang sangat menarik dan relevan untuk diaplikasikan adalah melalui *menyeru orang lain juga untuk berdhuha*. Ya, ceritakan juga akan konsep hutang dhuha ini kepada sebanyak mungkin orang yang anda kenal. Dengan cara ini sahajalah hutang-hutang anda mampu dilunasi kerana setiap kali orang lain berbuat kebaikan yang mereka dapat inspirasi melalui anda, secara langsung anda akan mendapat pahala. Kebaikan dan amalan yang mereka lakukan secara langsung akan menjadi saham pahala anda juga.

Namun, pasti akan ada yang bertanya, “ Tetapi bukan semua pandai untuk menceritakan perkara- perkara sebegini kepada orang lain”. Pasti akan terdetik difikiran, sesetengah antara kalian.

Jika anda tidak mampu menceritakan akan tentang konsep hutang dhuha, apa kata anda mulai dengan mengajak orang berdhuha mengikut keadaan dan tahap yang anda selesa.

Jika anda ada Blog atau Facebook, WhatsApp, Telegram, Wechat dan sebagainya, cuba menggalakkan orang lain supaya berdhuha.

Jika anda sebagai ketua jabatan, sediakan masa 10 minit sebelum memulakan kerja dan mengajak pekerja bawahan anda melakukan solat sunat Dhuha.

Jika anda seorang pengacara Radio atau Televisyen, selitkan manfaat dan kelebihan Dhuha didalam percakapan anda. Jika anda seorang pemimpin, nasihatilah dan berikan motivasi tentang kelebihan berdhuha kepada rakyat anda. Jika anda guru atau pensyarah, sediakan waktu untuk mengajak pelajar–pelajar anda berdhuha disetiap pagi. Namun, jangan hanya menyuruh, ceritakan juga kepada mereka kelebihan melakukan solat dhuha. Supaya mereka lagi bermotivasi.

Setiap di antara anda mampu membayar hutang tersebut jika anda berterusan menyeru dan memotivasikan akan orang disekeliling anda tentang kelebihan solat sunat dhuha.

Oleh kerana penulis juga merasakan bahawa diri penulis juga mempunyai banyak hutang dhuha, maka penulis rasa penting untuk berkongsi akan konsep ini.

Moga moga jika antara kalian mengamalkan juga menyebarkan kepada orang ramai, harapnya akan terlunasi juga hutang dhuha.

Semoga amalan kita diterima sebagai amalan soleh.

Jom kita sebarkan kerana Allah...👍👍👍
In shaa Allah...