Tidak berapa hari
lagi kita akan melangkah masuk ke bulan Zulhijjah, insya-Allah. Bulan
yang juga dikenali sebagai bulan haji dan sinonim dengan ibadat korban.
Bagi jemaah haji, apabila tiba bulan ini semakin hampir mereka dengan
kemuncak ibadat itu iaitu wukuf di Arafah.
Bagi kita yang tidak berkesempatan menjadi
tetamu Allah kali ini, mari kita rebut peluang 10 hari pertama Zulhijjah
dengan melakukan pelbagai ibadat sunat.
Ada beberapa dalil al-Quran dan hadis yang menyebut tentang kelebihannya. Antaranya, firman Allah SWT yang bermaksud: (Demi fajar dan malam yang sepuluh). (al-Fajr: 1-2)
Menurut Ibnu Kathir: Yang dimaksudkan di sini
ialah 10 malam yang pertama bulan Zulhijjah. Demikian juga tafsiran
Ibnu Abbas, Ibnu Az-Zubair, Mujahid dan lainnya. (Hadis riwayat Bukhari)
Daripada Ibnu Umar r.a, Rasulullah SAW
bersabda yang bermaksud: “Tidak ada hari yang lebih besar di sisi Allah
SWT dan beramal padanya lebih dikasihi oleh Allah dari hari-hari yang 10
ini. Maka perbanyakkanlah padanya bertahlil, bertakbir dan bertahmid”.
(Riwayat Ahmad)
Sementara itu, menurut al-Hafiz Ibnu Hajar:
Yang jelasnya, di antara sebab keistimewaan 10 hari Zulhijjah ialah
terhimpun di dalamnya beberapa ibadat yang besar iaitu solat, puasa,
sedekah dan haji. Pada waktu lain, ibadat-ibadat ini tidak pernah
terhimpun sebegitu.
Oleh itu, marilah kita melipat-gandakan
amalan pada bulan ini terutamanya solat. Disunatkan kita keluar awal ke
tempat solat fardu (berjemaah) dan memperbanyakkan solat sunat kerana ia
sebaik-baik amalan.
Thauban r.a berkata: Aku mendengar
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Hendaklah kamu memperbanyakkan
sujud kepada Allah, kerana setiap kali kamu sujud kepada-Nya, Allah akan
angkatkan darjatmu kepada-Nya dan dihapuskan kesalahanmu. (Riwayat Muslim). Ini umum untuk semua waktu.
• Puasa. Daripada Hunaidah bin Khalid,
daripada isterinya, daripada sebilangan isteri-isteri Rasulullah SAW
berkata: “Rasulullah SAW berpuasa pada hari sembilan Zulhijjah, pada
hari Asyura (10 Muharam) dan tiga hari pada setiap bulan”. (Riwayat
Ahmad dan Abu Daud)
• Takbir, tahlil dan tahmid. Ini berdasarkan hadis Ibnu Umar di atas yang mengatakan: “Maka perbanyakkanlah padanya bertahlil (mengucapkan La-ilaha-illallah), bertakbir (mengucapkan Allahu Akbar) dan bertahmid (mengucapkan Alhamdulillah)”.
Kata Imam Bukhari: “Ibnu Umar dan Abu
Hurairah r.a menuju ke pasar pada hari-hari 10 dan bertakbir. Orang
ramai yang mendengarnya kemudian turut sama bertakbir”.
• Puasa pada hari Arafah. Hendaklah berpuasa
bagi sesiapa yang mampu pada hari Arafah (9 Zulhijjah) kerana amalan ini
sabit dari Rasulullah SAW. Baginda SAW bersabda yang bermaksud: Aku
mengharapkan Allah menghapuskan kesalahan setahun yang lalu dan setahun
yang akan datang. (Riwayat Muslim) Bagaimanapun, amalan ini hanya
disunatkan untuk orang yang tidak menunaikan haji.
• Kelebihan Hari Raya Aidiladha (Yaum an-Nahr) pada 10 Zulhijjah.
Kebanyakan
orang Islam telah lupa akan kelebihan hari ini. Kebesaran dan kelebihan
perhimpunan umat Islam yang begitu ramai dari seluruh pelosok dunia. Sesetengah ulama berpendapat hari ini ialah hari yang paling afdal di dalam setahun sehingga melebihi hari Arafah.