NAMIMAH
atau perihal mengadu domba termasuk dalam kategori dosa besar.
Apabila
adanya individu berperangai ‘batu api’, pastinya ia akan menyebabkan banyak
pihak terluka dan bersengketa.
Allah SWT
berfirman yang bermaksud: “Dan orang-orang yang mengganggu serta menyakiti
orang-orang lelaki yang beriman dan orang-orang perempuan yang beriman dengan
perkataan atau perbuatan yang tidak tepat dengan sesuatu kesalahan yang
dilakukannya, maka sesungguhnya mereka telah memikul kesalahan menuduh secara
dusta dan berbuat dosa yang amat nyata.” (Surah al-Ahzaab, ayat 58)
Pengadu
domba boleh digambarkan sebagai seorang yang menyampaikan sesuatu bicara
daripada seseorang kepada orang lain bertujuan untuk merosakkan hubungan antara
mereka.
Sehubungan
itu, kita perlu sentiasa berdoa supaya tidak tergolong dalam kalangan manusia
berperangai buruk berkenaan.
Apabila
ada dua pihak berkelahi akibat perbuatan mengadu domba, ia amat sukar untuk
berbaik semula.
Ia boleh
terjadi kepada suami isteri, sahabat dengan sahabat serta antara majikan dan
pekerja.
Allah SWT
berfirman yang bermaksud: “Dan janganlah engkau (berkisar daripada pendirianmu
yang benar, dan jangan) menurut kemahuan orang yang selalu bersumpah, lagi yang
hina (pendapatnya dan amalannya). Yang suka mencaci, lagi yang suka menyebarkan
fitnah hasutan (untuk memecah- belahkan orang ramai).” (Surah al-Qalam, ayat
10-11)
Imam
al-Ghazali di dalam kitabnya Ihya’ Ulumiddin menyatakan, membocorkan
rahsia orang lain serta menjejaskan kehormatan diri orang itu dengan cara
membuka rahsianya dianggap perbuatan mengadu domba dan fitnah.
Kita
dilarang membuka rahsia orang lain. Dalam firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan
janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang lain.” (Surah
al-Hujurat, ayat 12)
Imam
al-Ghazali menyenaraikan beberapa adab yang perlu dilakukan ketika menerima
sesuatu berita fitnah.
Antaranya,
tidak mudah percaya dengan fitnah berkenaan, melarang orang yang membawa berita
fitnah itu berhenti memfitnah kerana tidak mahu bersekongkol selain perbuatan
itu turut mengundang dosa besar.
Selain
itu, tidak berprasangka buruk kepada orang yang diberitakan terbabit, tidak
menyebarkan fitnah serta tidak pula menceritakannya.
Ulama
mengatakan, ciri utama golongan pengadu domba adalah mereka gemar bersumpah.
Selain itu, semua orang dilihat tidak kena pada pandangannya.
Apa yang
keluar daripada mulut seseorang sebenarnya menentukan keadaan dan keperibadian
dirinya.
Kita perlu
sentiasa berusaha menghalang diri dengan tidak mengeluarkan perkataan buruk
atau cuba menyakiti hati orang sekeliling.
Jika mulut
tidak dikawal, ia sangat mudah untuk menghamburkan kata-kata buruk dan keji.
Nabi SAW
bersabda yang bermaksud: “Sungguh seorang hamba mengucapkan satu kalimat yang
mendatangkan keredaan Allah, namun dia menganggapnya ringan kerana sebab
perkataan itu Allah meninggikan darjatnya. Dan sungguh seorang hamba
mengucapkan satu kalimat yang mendatangkan kemurkaan Allah, namun dia
menganggapnya ringan dan kerana sebab perkataan itu dia dilemparkan ke dalam
api neraka.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Kita juga
perlu sentiasa beringat dengan ancaman terhadap orang yang akan menyesal pada
hari akhirat kelak apabila pahala kebaikannya boleh ‘berpindah milik’ kepada orang lain gara-gara tidak menjaga lidahnya.
Rasulullah
SAW kerap memohon kepada Allah SWT supaya diperbaiki akhlaknya. Aisyah
meriwayatkan, Rasulullah SAW berdoa: “Ya Allah, sebagaimana Engkau
menciptakanku dengan baik, maka perbaikilah akhlakku.” (Musnad Imam Ahmad)
Rasulullah
SAW juga pernah menasihatkan Muaz bin Jabal supaya menjaga lidah dan tutur
katanya dengan menunjukkan lidah.
Baginda
bersabda yang bermaksud: “Tahanlah (lidah) kamu ini.”
Muaz
bertanya: “Wahai Nabi Allah! (Apakah) sungguh kita akan dipertanggungjawabkan
terhadap apa yang kita katakan?”
Baginda
menjawab: “Moga ibumu kehilanganmu wahai Muaz! Tidaklah manusia itu
disungkurkan ke dalam neraka di atas muka atau hidung mereka melainkan
disebabkan apa yang lidah mereka (ucapkan).” (Sahih Sunan al-Tirmizi)
No comments:
Post a Comment