Wednesday, July 17, 2019

TIADA PANGGILAN SEBAIK PANGGILAN ILLAHI

SEMUA umat Islam tentunya ingin khusyuk dalam solat supaya ibadah yang didirikan itu sempurna. Ketika itu, perhatian dan sepenuh minda hanya tertumpu kepada Allah SWT, bertepatan dengan tujuan kita bersolat iaitu untuk mengingati Allah.

Namun, banyak gangguan luar yang mampu menggugat tumpuan kita ketika menunaikan solat termasuk deringan telefon bimbit. Sedangkan, solat adalah satu ibadah yang memerlukan konsentrasi dan sekiranya penumpuan penuh sewaktu solat itu terganggu, maka ia mampu mengurangkan pahala solat.
Sebab itu, Islam menitikberatkan tentang persediaan sebelum solat antaranya melangkah ke saf dengan tenang, berpakaian bersih dan cantik. 

Bagi masyarakat moden zaman ini, telefon bimbit akan sentiasa dibawa ke mana-mana dan sebaiknya matikan telefon tersebut sebelum mendirikan solat.
Tidak pun, tinggalkan sahaja telefon dalam kereta, jangan dibawa ke dalam masjid atau surau. Ini penting kerana bunyi telefon bimbit itu bukan sahaja mengganggu solat anda, tetapi juga jemaah lain.
Deringan telefon apatah lagi yang terlalu kuat dan mendendangkan lagu-lagu terkini itu mampu menghalang jemaah untuk terus khusyuk ketika solat. 

Solat dalam keadaan yang khusyuk itu penting seperti firman Allah SWT yang bermaksud:
“Sesungguhnya beruntunglah orang yang beriman, iaitu orang yang khusyuk dalam solatnya.” (Al-Mukminun: 1-2)

Rasulullah SAW juga pernah menghalang para sahabat daripada memperdengarkan bacaan ayat suci al-Quran dengan nyaring ketika orang lain sedang solat seperti yang diceritakan oleh Said Al-Khudri yang bermaksud:
“Rasulullah SAW apabila baginda pergi ke masjid untuk beriktikaf, dan baginda mendengar al-Quran dibaca secara kuat, Baginda berkata, “Setiap kamu bercakap secara rahsia dengan Allah, maka janganlah mengganggu yang lain ataupun meninggikan suara melebihi orang lain apabila membaca al-Quran, ataupun Baginda berkata, ‘Apabila bersolat.” - Riwayat Abu Daud

Berdasarkan hadis tersebut, jelas menunjukkan bahawa sekiranya bacaan al-Quran juga dilarang daripada diperdengarkan jika mengganggu solat, apatah lagi bunyi deringan telefon yang sememangnya akan menjejaskan tumpuan kita dalam ibadah solat.

No comments: