SELEPAS
melaksanakan solat, adakah kita menyertakan sekali doa buat orang lain?
Sebenarnya, amalan itu menyebabkan diri kita turut menerima doa
daripada malaikat.
Mendoakan kebaikan
orang lain dalam keadaan dia tidak mengetahuinya, adalah amalan yang
sangat mulia. Islam mendidik umatnya supaya tidak mementingkan diri
sendiri.
Daripada Abu Darda’,
Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Doa seorang Muslim kepada saudara
Muslimnya secara ghaib (tanpa pengetahuan saudaranya) adalah mustajab
(diterima), di sisi kepalanya malaikat yang diutus Allah setiap kali dia
mendoakan saudara Muslimnya dengan doa yang baik dan berkatalah
malaikat itu, amin! engkau juga beroleh manfaat yang sama.” (Riwayat
Muslim)
Dalam
riwayat lain turut menyatakan, doa yang paling cepat dimakbulkan Allah
ialah doa secara ghaib iaitu dilakukan tanpa pengetahuan orang yang
didoakan.
Doa
adalah rayuan dan permintaan khusus setiap umat Islam kepada Allah.
Walau sehebat mana sekalipun seorang itu pada pandangan mata manusia,
dia tetap lemah di sisi Allah.
Setiap
doa yang dititipkan kepada Allah perlu diucapkan dengan penuh
keikhlasan. Ia membawa diri meyakini Allah sentiasa memerhati kita dalam
setiap perkara yang dilakukan.
Alangkah
bahagia jika itu dapat dilakukan dalam kehidupan. Sudah pasti ‘aura’
kebaikan amalan perbuatan itu dapat melahirkan insan yang berjiwa suci
serta terhindar daripada bersifat iri hati dan mementingkan diri
sendiri.
Dalam hadis Rasulullah
menyatakan, doa adalah senjata ampuh buat orang beriman. Allah
menjelaskan dalam al-Quran, keutamaan berdoa dan memohon pertolongan
daripada Allah dalam apa jua keadaan.
Maka,
setiap kali menadah tangan memohon doa, jangan ketinggalan mendoakan
kebaikan buat orang lain. Permintaan kita itu adalah ibadat yang mampu
membina kesejahteraan bagi mewujudkan silaturahim yang lebih kukuh.
Sebagai
anak, jangan sesekali lupa mendoakan kesejahteraan ibu bapa, suami
mendoakan buat isteri dan anak-anaknya, guru mendoakan anak didiknya,
majikan pula mendoakan kesejahteraan buat pekerjanya.
Setiap
doa yang dipanjatkan dapat mengatasi segala permasalahan yang dihadapi
mereka. Dalam masyarakat hari ini, jika tidak mampu memberikan bantuan
berupa wang ringgit, harta atau tenaga kepada golongan yang memerlukan,
jangan lupa berdoa dengan harapan Allah akan menyelesaikan permasalahan
yang dihadapi mereka.
Nabi SAW bersabda
yang bermaksud, “Barang siapa yang tidak mengambil berat permasalahan
orang Islam yang lain, maka dia bukan dari kalangan mereka.”