KETERUJAAN
para Mukminin untuk memburu lailatulqadar sudah sampai ke
kemuncaknya. Menjelang 10 malam terakhir Ramadan terdapat satu malam
yang ganjaran beribadah lebih baik daripada 1000 bulan ataupun menyamai
kira-kira 83 tahun umur manusia.
Allah SWT berfirman maksudnya:
“Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al-Quran) ini pada lailatulqadar,
dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran lailatulqadar
itu? Lailatulqadar lebih baik daripada 1000.
Pada malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan
izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan
berlakunya pada tahun berikut). Sejahteralah malam (yang berkat) itu
hingga terbit fajar!” (Terjemahan al-Qadr:1-5).
Sehubungan itu setiap Muslim diajak membuat
persiapan menyambut ketibaan malam penuh kemuliaan tersebut dengan
kesyukuran sambil berharap dianugerahkan segala ganjaran dan kelebihan
yang dijanjikan oleh Allah SWT. Untuk itu juga beberapa perkara boleh
dilakukan untuk pedoman bersama.
* Sucikan jiwa dan raga
daripada dosa
Untuk meraih ganjaran malam al-Qadr seseorang
selayaknya mengikhlaskan niat beribadah kerana Allah SWT, menyucikan
jiwa daripada sifat mazmumah dan menghindari berbuat dosa dan nista.
Para Muslimin diajak bersungguh-sungguh
menyempurnakan kewajipan puasa pada siang hari selain menjaga seluruh
anggota dan pancaindera daripada maksiat. Apa yang menjadi makanan
seharian juga penting untuk dititikberatkan terutama yang berunsur
syubhat apatah lagi yang haram.
Ini kerana tanpa mujahadah dan komitmen bagaimana
mungkin seseorang terpilih beribadah di malam lailatulqadar yang penuh
dengan segala keajaiban.
* Banyak berdoa dan beristighfar
Muslimin yang mendambakan lailatulqadar turut
diajak bermunajat memohon kepada Ilahi agar diberi kesempatan beribadah
pada malam tersebut. Tanpa bantuan dan pertolongan-Nya kemungkinan
tertidur, ditimpa sakit atau musibah. Malah tanpa bantuan dan inayah-Nya
manusia yang lemah, leka dan cenderung melakukan dosa kemungkinan juga
diselubungi sifat malas dan lebih rela tidur sepanjang malam.
Selain itu banyakkan beristighfar memohon
keampunan dan keredaan Allah sehingga menimbulkan keinsafan dalam diri
seraya membangkitkan motivasi untuk bersungguh-sungguh beramal demi
mengingatkan masih sedikit ibadah yang telah dilakukan. Inilah juga
kesempatan terbaik untuk setiap hamba memohon keampunan kepada Allah SWT
daripada dosa silam yang membelenggu diri.
* Tetapkan ibadah tertentu untuk dikerjakan
Memandangkan tidak ada amalan khusus pada malam
al-Qadr, setiap individu Muslim boleh merangka jadual ibadah sepanjang
tempoh tersebut.
Lakukanlah apa sahaja yang termampu mengikut masa
dan keadaan masing-masing. Boleh jadi seseorang menggunakan nikmat
rezeki untuk berinfak selain iktikaf di masjid dengan melakukan solat
sunat, bertadarus al-Quran, qiamullail dan lain-lain. Atau mungkin bagi
yang sibuk bekerja syif malam bolehlah memperbanyakkan berdoa, berzikir
dan beristighfar sambil berharap kurniaan dan pahala berlipat kali
ganda.
* Senaraikan doa/hajat untuk dipohon
Supaya tidak terlepas peluang sekali seumur hidup
seseorang digalakkan untuk menyediakan senarai doa dan hajat yang
dipinta lalu dibaca pada malam-malam yang berkemungkinan besar terjadi
lailatulqadar. Ini seperti saranan Nabi SAW supaya mencari lailatulqadar
pada malam ganjil 10 yang akhir daripada Ramadan. Umat Islam juga
sangat digalakkan memperbanyak berdoa.
Baginda Nabi Muhammad SAW diriwayatkan sangat
bersungguh-sungguh menghidupkan malam tersebut sambil mengejutkan ahli
keluarganya untuk sama-sama beribadah dan mengabdikan diri kepada Ilahi.
Terdapat juga amalan segelintir masyarakat yang beriktikaf di masjid sepanjang tempoh tersebut yang molek dicontohi.
Kesempatan berada di penghujung Ramadan adalah
masa untuk bermuhasabah tentang ibadah puasa serta kebajikan lain yang
telah dilakukan bimbang tidak diterima oleh Allah SWT.
Terdapat peringatan Nabi SAW tentang golongan
yang berpuasa tetapi tidak memperoleh apa-apa daripadanya kecuali rasa
lapar dan dahaga sahaja.
Umat Islam juga diingatkan supaya tidak terkesima
dengan persiapan menyambut hari raya dan kesibukan pulang ke kampung
halaman. Dikhuatiri lailatulqadar yang hanya satu malam dalam setahun
bahkan mungkin peluang sekali seumur hidup berlalu begitu sahaja.
Dari sudut pandang lain, Ramadan kini beransur
melabuhkan tirainya. Ini bermakna segala kemuliaan dan fadilat Ramadan
juga akan mula sirna menjelang ketibaan Syawal yang mulia. Maka
beruntunglah golongan yang benar-benar dapat memanfaatkan Ramadan dengan
kesungguhan yang tidak berbelah-bahagi. Marilah sama-sama kita berdoa
semoga segala amal bakti termasuk puasa kita diterima oleh Allah SWT
dengan sempurna. Ambil jugalah peluang terakhir di penghujung Ramadan
untuk bermunajat dan berdoa moga dipanjangkan umur dalam ibadah dan
terpilih untuk bertemu Ramadan lagi pada tahun-tahun mendatang.
Bagi yang belum menunaikan zakat fitrah, eloklah
bersegera menunaikan kewajipan sebelum tamat tempoh ditetapkan. Ini
kerana kedudukan zakat dan puasa sama dari segi kewajipan untuk
melaksanakannya.
Adalah tidak adil setelah ribuan ringgit
dibelanjakan untuk membuat persiapan hari raya, golongan fakir miskin
yang juga ingin bergembira di Aidilfitri dilupakan. Malah inilah antara
kaedah yang diatur dalam Islam untuk merapatkan jurang miskin kaya
sekali gus beribadah menggunakan nikmat rezeki kurniaan Ilahi.
PENULIS ialah Pensyarah Kanan, Akademi Pengajian Islam Kontemporari, UiTM Kampus Pasir Gudang Johor Darul Takzim.