Tuesday, August 8, 2017

Anak tak sah taraf boleh bin nama bapa - MENYELESAIKAN ATAU MENAMBAH MASALAH

Sekarang ni heboh dibincangkan mengenai keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan anak tak sah taraf yang dibinkan dengan nama bapa.

Keputusan penting itu dicapai oleh panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Tengku Maimun Tuan Mat ketika membenarkan rayuan seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun dan kedua ibu bapanya.
Beliau yang bersidang bersama Datuk Abdul Rahman Sebli dan Puan Sri Zaleha Yusof sebulat suara mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak semakan kehakiman yang difailkan oleh ketiga-tiganya.

Mahkamah berpendirian, Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) selaku responden kedua telah bertindak di luar bidang kuasa ketika mendaftarkan ‘Abdullah’ sebagai nama bapa kepada kanak-kanak itu dalam sijil kelahirannya.
Ibu dan bapa kanak-kanak itu (perayu kedua dan perayu ketiga), kedua-duanya beragama Islam bernikah pada 24 Oktober 2009. Kanak-kanak lelaki itu lahir pada 17 April 2010 iaitu lima bulan dan 24 hari (atau lima bulan dan 27 hari menurut kalendar Qamariah Islam).

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia memutuskan anak tidak sah taraf tidak boleh dinasabkan kepada lelaki yang menyebabkan kelahirannya atau kepada sesiapa yang mengaku menjadi bapa kepada anak tersebut.

Muzakarah itu mendefinisikan anak tak sah taraf ialah sebagai:
1. Anak yang dilahirkan di luar nikah sama ada akibat zina atau rogol dan dia bukan daripada persetubuhan syubhah atau bukan daripada anak
perhambaan.
2. Anak dilahirkan kurang dari enam bulan dua lahzah (saat) mengikut Takwim Qamariah daripada tarikh tamkin (setubuh)

Mengikut logik memanglah akan timbul masalah pada si anak  dari segi pandangan masyarakat tapi kita perlu berbalik kepada hukum yang Allah telah tetapkan. Kita cuba menutup masalah yang kecil tapi mengundang masalah yang lebih besar di masa akan datang.  Ia akan melibatkan masalah dari segi pembahagian harta pusaka, masalah wali, aurat antara si anak dan bapa dan berbagai masalah lagi.

Walaupun kita hidup dalam dunia moden yang penuh dengan cabaran  tapi ingatlah hukum Allah masih merangkumi setiap sudut kehidupan kita dari dulu, kini dan selamanya.

No comments: