Tuesday, August 29, 2017

10 NASIHAT APABILA SUDAH MENCAPAI USIA 50 TAHUN

PESANAN UNTUK DIRI INI JUGA

Mencecah usia 50 tahun, anda akan memasuki fasa usia tua atau warga emas. Berada pada separuh abad, mungkin juga tahap saki baki usia maka setiap waktu dalam fasa ini seharusnya digunakan dengan bermanfaat.
Berikut adalah beberapa nasihat berguna daripada Pakar Runding Obstetriks dan Ginekologi (O&G), Profesor Dr. Harlina Siraj untuk yang bakal atau sudah memasuki usia 50 tahun. Bukan tentang kesihatan tapi hidup secara keseluruhannya.

1. Masa mengumpul harta sudah habis.
Fokus sekarang untuk gembirakan orang lain. Sekarang bukan masa untuk cari harta saja.

2. Jangan tinggalkan apa-apa untuk anak-anak.
Mereka perlu usaha dan cari sendiri . Rancang bagaimana belanjakan duit simpanan. Anda patut gembira kan hidup anda dan ganti apa yang tak dapat buat sebelum ini. Kalau mampu pergilah melancong. Jangan tinggalkan apa-apa kepada anak-anak yang boleh buatkan anak-anak bergaduh. Dengan meninggalkan sesuatu akan bawa masalah bila anda sudah tiada nanti.

3. Buat kerja jangan bertangguh
Lakukan pada saat ini dan sekarang, bukan semalam dan esok. Hanya hari ini sahaja yang anda boleh kawal. Semalam telah pergi dan esok mungkin takkan berlaku.

4. Didiklah anak cucu dengan agama
Bergembira dengan cucu-cucu (jika ada) tapi jangan jadi “full time baby sitter”. Itu bukan tanggungjawab anda untuk jaga mereka. Jangan rasa bersalah kerana tidak menjaga anak sesiapapun termasuk cucu sendiri. Tanggung jawab anda adalah terhadap anak-anak anda. Selepas mereka dewasa dan menjadi ibu bapa tugas awak telah tamat. Biarkan anak-anak anda sendiri yang jaga anak-anak mereka.
5. Kalau sakit bersabarlah 
Terimalah sakit dan lain-lain kelemahan fizikal. Ia adalah sebahagian daripada proses meningkatnya umur. Bersyukur dengan keupayaan kesihatan yang anda ada.

6. Dunia bukan tempat kamu dapat apa yang kamu hendak
Kenali siapa diri anda dan apa yang anda ada sekarang. Jika anda tidak mendapat apa yang anda mahu, ketahuilah itu semua sudah terlambat.

7. Bersamalah dengan mereka yang ikhlas menyayangi anda
Berbahagialah dengan pasangan anda, anak-cucu dan sahabat-sahabat anda. Merekalah yang betul-betul sayangkan anda, sayang anda seadanya.

8. Berlapang dada
Memaafkan dan terima kemaafan. Maafkan diri sendiri dan orang lain. Lapangkan minda dan hati.

9. Segeralah membina akhirat anda.
Berkawanlah dengan kematian. Ia kitaran semula jadi dalam kehidupan. Jangan takut akan ia. Kematian ialah permulaan hidup yg lebih baik. Jadi bersedialah! Bukan untuk mati tetapi untuk bertemu Yang Maha Esa Allah Swt.

10. Bayangkanlah kegembiraan hidup di syurga yang kekal.
Hiduplah dengan aman bersama Yang Maha Esa. Untuk Dialah yang anda ada setelah anda meninggalkan dunia ini.

Petikan:
PROFESSOR DR. HARLINA SHIRAJ.

Tuesday, August 8, 2017

Anak tak sah taraf boleh bin nama bapa - MENYELESAIKAN ATAU MENAMBAH MASALAH

Sekarang ni heboh dibincangkan mengenai keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan anak tak sah taraf yang dibinkan dengan nama bapa.

Keputusan penting itu dicapai oleh panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Tengku Maimun Tuan Mat ketika membenarkan rayuan seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun dan kedua ibu bapanya.
Beliau yang bersidang bersama Datuk Abdul Rahman Sebli dan Puan Sri Zaleha Yusof sebulat suara mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak semakan kehakiman yang difailkan oleh ketiga-tiganya.

Mahkamah berpendirian, Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) selaku responden kedua telah bertindak di luar bidang kuasa ketika mendaftarkan ‘Abdullah’ sebagai nama bapa kepada kanak-kanak itu dalam sijil kelahirannya.
Ibu dan bapa kanak-kanak itu (perayu kedua dan perayu ketiga), kedua-duanya beragama Islam bernikah pada 24 Oktober 2009. Kanak-kanak lelaki itu lahir pada 17 April 2010 iaitu lima bulan dan 24 hari (atau lima bulan dan 27 hari menurut kalendar Qamariah Islam).

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia memutuskan anak tidak sah taraf tidak boleh dinasabkan kepada lelaki yang menyebabkan kelahirannya atau kepada sesiapa yang mengaku menjadi bapa kepada anak tersebut.

Muzakarah itu mendefinisikan anak tak sah taraf ialah sebagai:
1. Anak yang dilahirkan di luar nikah sama ada akibat zina atau rogol dan dia bukan daripada persetubuhan syubhah atau bukan daripada anak
perhambaan.
2. Anak dilahirkan kurang dari enam bulan dua lahzah (saat) mengikut Takwim Qamariah daripada tarikh tamkin (setubuh)

Mengikut logik memanglah akan timbul masalah pada si anak  dari segi pandangan masyarakat tapi kita perlu berbalik kepada hukum yang Allah telah tetapkan. Kita cuba menutup masalah yang kecil tapi mengundang masalah yang lebih besar di masa akan datang.  Ia akan melibatkan masalah dari segi pembahagian harta pusaka, masalah wali, aurat antara si anak dan bapa dan berbagai masalah lagi.

Walaupun kita hidup dalam dunia moden yang penuh dengan cabaran  tapi ingatlah hukum Allah masih merangkumi setiap sudut kehidupan kita dari dulu, kini dan selamanya.