Wednesday, April 24, 2019

NILAI PAHALA SOLAT SUBUH

SEDAR atau tidak, antara kesilapan sering dilakukan bagi pelaku ibadat pada malam hari ialah meninggalkan perkara yang diutamakan dalam syariat.

Ada yang berusaha bangun pada malam hari untuk beribadat seperti bersolat, berzikir, membaca al-Quran. Semua itu adalah amalan yang sangat terpuji dan dituntut agama.

 Bagaimanapun, jika tiada perancangan, kemungkinan ada yang tertinggal solat Subuh secara berjemaah dan lebih menyedihkan lagi meninggalkan terus solat fardu Subuh.

Itu antara kesilapan yang amat memalukan di sisi Allah SWT. Pahala solat fardu lebih besar seperti yang dijanjikan Allah SWT berdasarkan sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang solat Isyak berjemaah, maka dia seolah-olah bangun (bersolat) separuh daripada malam dan sesiapa yang solat subuh Subuh berjemaah, maka dia seolah-olah telah bangun bersolat sepanjang malam.” (Riwayat Muslim)

Hadis itu menerangkan keutamaan solat fardu secara berjemaah adalah lebih besar pahalanya terutama bagi solat Isyak dan Subuh.

Ia satu teguran kepada sesiapa yang meninggalkan solat berjemaah pada waktu Subuh khususnya kepada orang lelaki.

Maka timbul persoalan bagaimana dengan orang yang ‘sibuk’ mengerjakan solat malam, tetapi tertidur selepas itu malah meninggalkan solat Subuh?

Ada sebuah riwayat athar daripada sahabat: “Allah SWT tidak menerima amalan sunat sehinggalah dia menunaikan yang fardu.” (Riwayat al-Baihaqi)

Imam Ibnu Taimiyyah dalam mensyarahkan riwayat itu menyatakan, apa sahaja bentuk ibadat sunat yang dilakukan tidak akan diberikan pahala sehingga seseorang itu menunaikan ibadat fardunya. (Majmu’ Fatawa Syeikh al-Islam Ahmad bin Taimiyyah; Jilid 7, Ms: 491)

Hal itu dilihat sebagai ancaman dan teguran bagi jaguh ibadat malam berjaga-jaga supaya amalan yang dilakukannya secara bersusah-payah selama ini ditolak mentah-mentah oleh Allah SWT.
Namun, ia bukan penyebab atau alasan untuk melemahkan semangat seseorang yang melaksanakan ibadat malam.

Justeru, menunaikan setiap ibadat sama ada fardu atau sunat hendaklah disertakan dengan ilmu dan niat yang ikhlas di samping perancangan rapi sebelum melaksanakannya.

Ada kaedah dan cara menguruskannya. Bagi sesiapa yang baru berjinak-jinak untuk solat malam, maka boleh jadikan 45 minit atau 30 minit sebelum Subuh untuk melaksanakannya.
Sebaliknya, seseorang yang sudah menjadi rutin dan kebiasaan melakukan solat malam, terpulanglah baginya membahagikan malam sama ada tiga perempat, separuh ataupun sepertiga malam seperti yang dinyatakan daripada al-Quran.

Oleh itu, sempena Ramadan yang bakal tiba, jadikan ia sebagai satu latihan untuk mendidik jasmani dan rohani.

Selain itu, solat sunat sebelum fajar (Subuh) juga antara ibadat sunat yang Rasulullah SAW sangat menjaganya sepanjang hidup Baginda.

Dua rakaat solat itu sangat besar pahala dan fadilatnya di sisi Allah SWT. Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Dua rakaat sebelum fajar (solat sunat Subuh) lebih baik daripada dunia dan seisinya” (Riwayat Muslim)

Pada bulan Ramadan nanti, apabila seseorang sudah bangun untuk bersahur dan sambil menanti menjelangnya waktu Subuh, maka sediakan masa yang pendek sahaja untuk menunaikan ibadat itu.
Mudah-mudahan ibadat itu menjadi amalan tambahan yang boleh menampung kelompongan amalan fardu dan sangat rugi bagi yang meninggalkannya.  Selain itu, lebih baik jika dapat solat Subuh berjemaah di masjid.

TIGA KEBAIKAN UNTUK KE SYURGA

DALAM satu hadis, Muaz bin Jabal bersama-sama Nabi SAW dalam satu perjalanan.

Pada satu pagi, beliau berada dekat dengan Baginda dan bertanya: “Wahai Rasulullah, khabarkanlah kepadaku amalan yang akan memasukkanku ke dalam syurga dan menjauhkanku dari neraka?”

Baginda menjawab: “Demi sesungguhnya kamu bertanyakan kepadaku sesuatu yang agung padahal sungguh ia adalah perkara mudah bagi orang yang Allah jadikan mudah baginya iaitu: Kamu menyembah Allah dan tidak menyekutukannya dengan sesuatu apa pun, kamu mendirikan solat, menunaikan zakat, berpuasa pada bulan Ramadan dan berhaji ke Baitullah.”

Kemudian Baginda bersabda lagi: “Mahukah kamu aku tunjukkan pintu-pintu kebaikan? Pintu-pintu itu adalah puasa, ia adalah perisai (daripada api neraka). Sedekah, ia akan memadamkan dosa-dosa sebagaimana air memadamkan api dan solat seseorang pada pertengahan malam.”

Kemudian Baginda membacakan ayat: “Mereka menjauhkan diri dari tempat tidurnya (kerana solat malam), serta mereka berdoa kepada Rabbnya dengan rasa takut (tidak dimakbulkan) dan harap (agar dimakbulkan), dan mereka menafkahkan sebahagian daripada rezeki yang Kami berikan kepada mereka. Seorang pun tidak mengetahui apa yang disembunyikan untuk mereka iaitu (bermacam-macam nikmat) yang menyedapkan pandangan mata sebagai balasan terhadap apa yang mereka kerjakan.” (Surah al-Sajdah, ayat 16-17)

Kemudian Baginda bertanya: “Mahukah kamu aku tunjukkan pokok bagi segala perkara agama, tiangnya dan puncaknya?” Muaz menjawab: “Tentu wahai Rasulullah!” Baginda bersabda: “Pokok bagi (segala) perkara adalah Islam, tiangnya adalah solat, sedangkan puncaknya adalah jihad.”

Kemudian Baginda bertanya: “Mahukah aku khabarkan kamu dengan sesuatu yang menguasai semua itu?” Muaz menjawab: “Tentu wahai Nabi Allah!”

Maka, Baginda memegang lidahnya dan bersabda: “Tahanlah (lidah) kamu ini.” Muaz bertanya: “Wahai Nabi Allah! (Apakah) sungguh kita akan dipertanggungjawabkan terhadap apa yang kita katakan?”

Baginda menjawab: “Moga ibumu kehilanganmu wahai Muaz! Tidaklah manusia itu disungkurkan ke dalam neraka di atas muka atau hidung mereka melainkan disebabkan apa yang lidah mereka (ucapkan).” (Hadis riwayat Imam al-Tirmizi)

Dalam hadis itu, ketika Nabi SAW menyatakan antara pintu kebaikan itu adalah puasa sama ada ia puasa wajib atau sunat. Puasa itu dianggap sebagai perisai kerana dengan berpuasa, kita pasti dapat menjaga akhlak dan tingkah laku.

Jika tidak berpuasa, kita tidak rasa ada perkara yang dapat mengawal diri kita. Seperti kita melaksanakan puasa wajib pada bulan Ramadan. Sudah pasti, pada hari berkenaan kita sedaya upaya menjaga mulut daripada berkata-kata perkara sia-sia.

Ia sama dengan seseorang yang sedang mengerjakan ibadat haji atau umrah. Apabila seseorang itu sudah berniat mengerjakan umrah dan berihram dengannya, maka dia akan menjaga segala-galanya. Mulut ketika itu hanya mahu mengucapkan talbiah atau bertasbih.

Begitu juga apabila Nabi SAW menyatakan kepada Muaz hal kedua yang menjadi pintu kebaikan buat diri manusia iaitu amalan sedekah. Sekiranya kita sering mengeluarkan sedekah, ia dapat menghapuskan dosa kita.

Pintu kebaikan ketiga yang dinyatakan Rasulullah SAW adalah seorang yang bangun pada tengah malam untuk bersolat. Biasanya, golongan itu akan bangun pada tengah malam kira-kira jam 4 atau 5 pagi untuk menunaikan solat sunat.

Sebelum tidur, mereka sudah berniat untuk bangun bertahajud. Maka, secara automatik, mereka akan bangun walaupun untuk menunaikan solat sunat dua rakaat.

Sebarang ganjaran kebaikan yang Allah SWT hendak berikan kepada hamba-Nya pada hari akhirat kelak tidak diketahui. Ganjaran itu pastinya sesuatu yang tidak pernah terbayang dan tergambar pada fikiran kita.