SEDAR atau tidak, antara kesilapan sering dilakukan bagi pelaku
ibadat pada malam hari ialah meninggalkan perkara yang diutamakan dalam
syariat.
Ada yang berusaha bangun pada malam hari untuk beribadat
seperti bersolat, berzikir, membaca al-Quran. Semua itu adalah amalan
yang sangat terpuji dan dituntut agama.
Bagaimanapun, jika tiada
perancangan, kemungkinan ada yang tertinggal solat Subuh secara
berjemaah dan lebih menyedihkan lagi meninggalkan terus solat fardu
Subuh.
Itu antara kesilapan yang amat memalukan di sisi Allah SWT.
Pahala solat fardu lebih besar seperti yang dijanjikan Allah SWT
berdasarkan sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang solat Isyak
berjemaah, maka dia seolah-olah bangun (bersolat) separuh daripada malam
dan sesiapa yang solat subuh Subuh berjemaah, maka dia seolah-olah
telah bangun bersolat sepanjang malam.” (Riwayat Muslim)
Hadis itu menerangkan keutamaan solat fardu secara berjemaah adalah lebih besar pahalanya terutama bagi solat Isyak dan Subuh.
Ia satu teguran kepada sesiapa yang meninggalkan solat berjemaah pada waktu Subuh khususnya kepada orang lelaki.
Maka
timbul persoalan bagaimana dengan orang yang ‘sibuk’ mengerjakan solat
malam, tetapi tertidur selepas itu malah meninggalkan solat Subuh?
Ada sebuah riwayat athar daripada sahabat: “Allah SWT tidak menerima amalan sunat sehinggalah dia menunaikan yang fardu.” (Riwayat al-Baihaqi)
Imam
Ibnu Taimiyyah dalam mensyarahkan riwayat itu menyatakan, apa sahaja
bentuk ibadat sunat yang dilakukan tidak akan diberikan pahala sehingga
seseorang itu menunaikan ibadat fardunya. (Majmu’ Fatawa Syeikh al-Islam Ahmad bin Taimiyyah; Jilid 7, Ms: 491)
Hal
itu dilihat sebagai ancaman dan teguran bagi jaguh ibadat malam
berjaga-jaga supaya amalan yang dilakukannya secara bersusah-payah
selama ini ditolak mentah-mentah oleh Allah SWT.
Namun, ia bukan penyebab atau alasan untuk melemahkan semangat seseorang yang melaksanakan ibadat malam.
Justeru,
menunaikan setiap ibadat sama ada fardu atau sunat hendaklah disertakan
dengan ilmu dan niat yang ikhlas di samping perancangan rapi sebelum
melaksanakannya.
Ada kaedah dan cara menguruskannya. Bagi
sesiapa yang baru berjinak-jinak untuk solat malam, maka boleh jadikan
45 minit atau 30 minit sebelum Subuh untuk melaksanakannya.
Sebaliknya,
seseorang yang sudah menjadi rutin dan kebiasaan melakukan solat malam,
terpulanglah baginya membahagikan malam sama ada tiga perempat, separuh
ataupun sepertiga malam seperti yang dinyatakan daripada al-Quran.
Oleh itu, sempena Ramadan yang bakal tiba, jadikan ia sebagai satu latihan untuk mendidik jasmani dan rohani.
Selain
itu, solat sunat sebelum fajar (Subuh) juga antara ibadat sunat yang
Rasulullah SAW sangat menjaganya sepanjang hidup Baginda.
Dua
rakaat solat itu sangat besar pahala dan fadilatnya di sisi Allah SWT.
Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Dua rakaat sebelum fajar (solat sunat
Subuh) lebih baik daripada dunia dan seisinya” (Riwayat Muslim)
Pada
bulan Ramadan nanti, apabila seseorang sudah bangun untuk bersahur dan
sambil menanti menjelangnya waktu Subuh, maka sediakan masa yang pendek
sahaja untuk menunaikan ibadat itu.
Mudah-mudahan ibadat itu
menjadi amalan tambahan yang boleh menampung kelompongan amalan fardu
dan sangat rugi bagi yang meninggalkannya. Selain itu, lebih baik jika dapat solat Subuh berjemaah di masjid.
No comments:
Post a Comment