Monday, August 24, 2015

Nasib wanita kalau tidak jaga badan


http://www.sinarharian.com.my/polopoly_fs/1.317975.1411084604!/image/image.jpg_gen/derivatives/landscape_624/image.jpg

Lelaki memang cukup mahu menjaga pemandangan matanya. Dan hajat mereka amat disokong kuat oleh wanita.

Untuk mengindahkan pemandangan mata lelaki, ramai wanita sanggup ikat perut, makan tengah hari hanya kulit epal dan makan malam hanya kulit pau.

Segala nafsu makan dikorbankan demi memuaskan mata lelaki. Lelaki jangan sesekali dibiarkan melihat karot (lobak merah) berjalan apabila berselisih  di jalanan. Manakala di rumah pula, suami jangan dibiarkan menyangka dirinya bermimpi melihat almari berjalan tatkala melihat isteri melangkah ke bilik air awal pagi.

Itulah sebesar-besar pengorbanan oleh wanita untuk lelaki.

Sebab itu, sudah jadi lumrah bagi kebanyakan isteri untuk menyediakan peruntukan khusus beli jamu, tonik, susu atau apa sahaja yang dikhabarkan boleh bantu mereka jaga bentuk badan.

Apa sahaja yang diiklan, mereka sanggup telan asal mata suami tidak berasa bosan. Ada juga yang sanggup berbelanja lebih masuk kelas aerobik, yoga atau tai-chi kerana bimbang apabila pir sudah bertukar jadi epal, akan timbul rasa benci dalam hati suami.

Alangkah mulianya hatimu wahai isteri!

Bagi yang tidak bekerja, tidak ada pendapatan sendiri, duit belanja dapur disimpan sedikit demi sedikit untuk beli acai beri!

Buatlah apa sahaja asal badan kekal langsing, perut jangan buncit. Buatlah apa sahaja asal suami memandang berasa ghairah, matanya tidak sakit!

Itu pada isteri, suami bagaimana pula?

Itulah sikap kebanyakan suami. Hanya cenderung untuk memerhati isteri, diri sendiri tidak dipeduli. Mari kita perhatikan di sekeliling, berapa ramai suami yang berjalan membawa labu sayung ke sana ke sini setiap hari, apakah mereka pernah mengadu susah hati?

Ada atau tidak mereka diberi kata dua oleh isteri, sama ada mahu pilih dia atau labu sayung itu?

Rasanya tidak. Itulah sebabnya ramai suami yang tidak kisah akan perubahan bentuk badannya tatkala usia semakin meningkat. Ini kerana dia tahu bagaimanapun rupanya berubah, isteri akan tetap setia, tetap sayang

Dan menepati polisi ketidakadilan dunia, apabila perut lelaki buncit, mereka tidak pernah dipersalahkan sebaliknya dikatakan kerana isteri pandai masak, pandai jaga selera suami. Namun apabila perut isteri pula yang buncit, dia sendirilah puncanya, tidak pandai jaga badan.

Aduhai isteri, sudah nasib kalian!

No comments: