SUNNAH adalah segala sesuatu yang diriwayatkan
daripada Rasulullah SAW berkaitan percakapan, perbuatan mahupun senyap
diamnya (persetujuan) oleh Nabi Muhammad SAW.
Ia juga bererti sesuatu yang pelakunya mendapat ganjaran pahala dan tidak berdosa bagi yang meninggalkannya.
Di antara perbuatan sunah yang jarang dilakukan kaum muslimin adalah sebagai berikut.
1 Mendahulukan kaki kanan ketika memakai selipar
DIRIWAYATKAN daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW
bersabda yang bermaksud: Jika kamu memakai sandal/selipar, maka
dahulukanlah kaki kanan dan jika melepaskannya dahulukanlah kaki kiri.
Jika memakainya, maka hendaklah memakai kedua-duanya atau tidak memakai
kedua-duanya sama sekali. (riwayat Bukhari dan Muslim)
Dapatlah difahamkan memakai kasut/sepatu juga atau lain-lainnya
hendaklah dimulakan dengan yang sebelah kanan, kerana ada keberkatannya.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Apabila seseorang daripada kamu
makan, maka hendaklah ia makan dengan tangan kanannya, hendaklah ia
minum dengan tangan kanannya, hendaklah ia mengambil dengan tangan
kanannya dan hendaklah ia memberi dengan tangan kanannya." (riwayat
al-Hasan bin Sufiyan)
Daripada keterangan hadis-hadis yang lain, Nabi SAW telah mengamal
dan membuktikan disiplin lebih luas iaitu meliputi kaki kanan, lambung
kanan dan sebelah kanan. Nabi SAW memulakan langkahnya dengan kaki kanan
dan melangkah kaki kiri apabila memasuki tandas dan melangkah kaki kiri
apabila keluarnya. Baginda mendahulukan kaki tangan sebelah kanan
apabila bersuci untuk wuduk dan menyisir rambut atau memakai kasut dan
seumpamanya. Solat juga diakhiri dengan memulakan salam ke sebelah
kanan. Displin didahulukan kanan adalah lambang gerak-geri para mukmin
dalam semua aktiviti harian mereka yang mulia.
2 Menjaga dan memelihara wuduk
DIRIWAYATKAN daripada Thauban r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda
yang bermaksud: Istiqamahlah (konsistenlah) kamu semua (dalam
menjalankan perintah Allah) dan kamu tidak akan pernah dapat menghitung
pahala yang akan Allah berikan. Ketahuilah bahawa sebaik-baik perbuatan
adalah solat, dan tidak ada yang selalu memelihara wuduknya kecuali
seorang mukmin." (riwayat Ahmad dan Ibnu Majah)
3 Bersiwak (menggosok gigi dengan kayu siwak)
DIRIWAYATKAN daripada Aisyah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda yang
bermaksud: Siwak dapat membersihkan mulut dan saranan untuk
mendapatkan reda Allah." (riwayat Ahmad dan an-Nasai)
Rasulullah SAW juga bersabda yang bermaksud: Andai kata tidak
memberatkan umatku necaya aku memerintahkan mereka untuk bersiwak setiap
kali hendak solat. (riwayat Bukhari dan Muslim)
Bersiwak disunahkan setiap saat, lebih-lebih lagi ketika hendak
berwuduk, bersolat, membaca al-Quran, ketika mulut berbau, pagi ataupun
petang, ketika bangun daripada tidur dan hendak memasuki rumah. Bersiwak
merupakan perbuatan sunnah yang hampir tidak pernah dilakukan oleh
kebanyakan orang kecuali yang mendapat rahmat daripada Allah SWT dan
mendapatkan pahala yang sangat besar dan mulia.
4 Solat istikharah
DIRIWAYATKAN daripada Jabir r.a. bahawa ia berkata: Rasulullah SAW
mengajarkan kepada kita tatacara solat istikharah untuk segala urusan,
sebagaimana Baginda mengajarkan surah-surah al-Quran kepada kami.
(riwayat Bukhari)
Oleh itu, lakukanlah solat ini dan berdoalah dengan doa yang sudah lazim diketahui dalam solat istikharah.
5 Berkumur-kumur dan menghisap air ke hidung
DIRIWAYATKAN daripada Abdullah bin Zaid r.a. bahawa Rasulullah SAW
berkumur-kumur dan menghisap/menghirup air ke hidung secara bersamaan
daripada satu ceduk air dan itu dilakukan sebanyak tiga kali (ketika
berwuduk). (riwayat Bukhari dan Muslim)
6 Berwuduk sebelum tidur dan tidur dengan posisi miring ke kanan
DIRIWAYATKAN daripada Al-Barra bin Azib r.a. bahawa Rasulullah SAW
bersabda yang bermaksud: Jika kamu hendak tidur, maka berwuduklah
seperti hendak solat, kemudian tidurlah dengan posisi miring ke kanan
dan bacalah: Ya Allah, aku pasrahkan jiwa ragaku kepada-Mu, aku
serahkan semua urusanku kepada-Mu, aku lindungkan punggungku kepada-Mu,
kerana sayang sekali gus takut kepada-Mu, tiada tempat berlindung
mencari keselamatan daripada (murka-Mu) kecuali kepada-Mu, aku beriman
dengan kitab yang Engkau turunkan dan dengan nabi yang Engkau utus."
Jika kamu meninggal, maka kamu meninggal dalam keadaan fitrah. Dan
usahakanlah doa ini sebagai akhir perkataan kamu. (riwayat Bukhari dan
Muslim)
7 Sujud syukur ketika mendapat nikmat atau terhindar daripada bencana
SUJUD ini hanya sekali dan tidak terikat oleh waktu. Diriwayatkan
daripada Abu Bakrah r.a. ia berkata: Jika Rasulullah SAW mendapatkan
sesuatu yang menyenangkan atau disampaikan khabar gembira, maka Baginda
langsung sujud dalam rasa bersyukur kepada Allah." (riwayat Abu Daud,
Tirmizi dan Ibnu Majah).
8 Berlumba-lumba untuk mengumandangkan azan, bersegera menuju solat, serta berusaha untuk mendapat saf pertama
DIRIWAYATKAn daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW
bersabda yang bermaksud: Andai kata umat manusia mengetahui pahala di
sebalik azan dan berdiri pada saf pertama kemudian mereka tidak
mendapatkan bahagian kecuali harus mengadakan undian terlebih dahulu
nescaya mereka membuat undian itu. Andai kata mereka mengetahui pahala
bergegas menuju masjid untuk melakukan solat, nescaya mereka akan
berlumba-lumba melakukannya.
Andai kata mereka mengetahui pahala solat Isyak dan Subuh secara
berjemaah, nescaya mereka datang meskipun dengan merangkak. (riwayat
Bukhari dan Muslim)
9 Berdoa ketika memakai pakaian baharu
DIRIWAYATKAN daripada Abu Said al-Khudri r.a. ia berkata: Rasulullah
SAW jika mengenakan pakaian baharu, maka Baginda menamakan pakaian itu
dengan namanya, baju, serban, selendang ataupun jubah, kemudian Baginda
membaca: Ya Allah, hanya milik-Mu semua pujian itu, Engkau telah
memberiku pakaian, maka aku memohon kepada-Mu kebaikannya dan kebaikan
tujuannya dibuat dan aku berlindung kepada-Mu daripada keburukannya dan
keburukan tujuannya dibuat." (Riwayat Abu Daud dan Tirmizi).
10 Mengucap salam kepada semua orang Islam
DIRIWAYATKAN daripada Abdullah bin Amru r.a. ia menceritakan: Seorang
lelaki bertanya kepada Rasulullah SAW: Apa ciri keislaman seseorang
yang paling baik? Rasulullah SAW menjawab: Kamu memberikan makanan
(kepada orang yang memerlukan) dan mengucapkan salam kepada orang yang
kamu kenal dan orang yang tidak kamu kenal. (riwayat Bukhari dan Muslim)
Diriwayatkan daripada Anas r.a. bahawa ia menuturkan: Rasulullah SAW
berjalan melalui kumpulan kanak-kanak, lalu Baginda mengucapkan salam
kepada mereka semua. (riwayat Muslim)
Ibnu Rajab menuturkan: Orang yang beramal sesuai ajaran Rasulullah
SAW, meskipun amal itu sangat kecil, maka itu akan lebih baik daripada
orang yang beramal tidak sesuai dengan ajaran Rasulullah SAW walaupun
dia sangat bersungguh-sungguh.
Ya Allah, jadikanlah kami orang-orang yang mengikuti sunnah Rasul-Mu
dan mengikuti jejaknya. Ya Allah, kumpulkan kami dan kedua orang tua
kami dan kaum muslimin semuanya ke dalam syurga-Mu, wahai Tuhan Yang
Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Amin Ya Rabbal Alamin.
No comments:
Post a Comment