Thursday, June 16, 2016

Doa Ramadhan: Demi sebuah harapan.

Menarik tentang Ramadhan, ayat-ayat berkaitan bulan ini dihimpunkan di satu tempat dalam Al-Quran iaitu dalam surah Al-Baqarah. Bermula daripada ayat 183 hingga kepada ayat 187. Semuanya berkisarkan Ramadhan dan puasa.

Walaubagaimanapun terselit satu ayat (186) berkaitan doa. Ini menjadikan Ramadhan turut sinonim dengan doa selain puasa, tarawikh dan qiam. Bahkan ada yang menamakan bulan ini sebagai bulan doa.

Berikut adalah ayat tersebut:-
Perkenan doa adalah tawaran istimewa Allah buat mereka yang berada dalam bulan Ramadhan. Antara isi yang boleh difahami daripada ayat ini ialah seperti berikut:-
1. Allah sentiasa lapang untuk mendengar permintaan hambaNYA. Bahkan Allah tidak menetapkan waktu tertentu untuk berdoa kepadaNYA.
2. Allah menyatakan diriNYA begitu dekat dengan hamba-hambaNYA, sekaligus menjadikan doa kita terus sampai kepadaNYA.
3. Allah berjanji akan terus memperkenankan permintaan hamba-hambaNYA jika mereka berdoa.

Walaubagaimanapun, ayat ini mensyaratkan sesuatu setelah berdoa iaitu:-
1. Menyahut perintah Allah.
2. Beriman kepada Allah.

Kemuncak ayat ini, kesan daripada doa, ia menjadikan seseorang itu yarshudun iaitu sentiasa dalam kebaikan dan kebenaran. Hakikatnya seorang Muslim itu tidak sentiasa baik atau benar melainkan dengan hidayat Allah. Maka, untuk mencapai kedua-dua perkara ini, mereka perlu sentiasa berdoa.

Secara falsafahnya, doa adalah simbol pengharapan yang tertinggi buat manusia. Bagi mereka yang bergelar muslim atau mukmin, mereka wajib meyakini tiada perkara boleh berlaku tanpa izin Allah. Mereka juga wajib yakin Allah mampu melakukan apa sahaja walaupun kelihatan mustahil di mata manusia. Oleh kerana itu, mereka perlukan doa dalam kehidupan kerana doa itu adalah 'harapan'.

Bertepatan dengan Ramadhan, bulan ini menambahkan lagi keberkatan doa, menjadikannya lebih 'kuat'. Maka tidak hairanlah banyak peristiwa sejarah penting berlangsung dalam bulan ini atau kesan daripada bulan ini. Antaranya perang Badar, persiapan perang Khandak, perang Tabuk, pembukaan Mekah, pembukaan Andalus, kemenangan Salahudin ke atas tentera Salib, perang Ain Jalut dan Perang Ramadhan antara negara Arab dan Israel.

No comments: