Wednesday, June 29, 2016

PECUTAN AKHIR


1. Ramadhan Al Mubarak semakin ke penghujung. Insan beriman pasti mula diterpa rasa sedih dan sayu mengenangkan Ramadhan bakal pergi sedang ia membawa sejuta rahmat.

2. Namun, di penghujung inilah tersimpan sebesar-besar anugerah Allah swt buat ummat Muhammad ini. Manakan tidak, Nabi saw sendiri akan melipatganda amal ibadahnya di sepuluh akhir Ramadhan.
عَنْ عَائِشَةَ رَضِىَ اللهُ عَنْهَا قَالَتْ : كَانَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَ سَلَّمَ يُجَاوِرُ فِي اْلعَشْرِ اْلأَوَاخِرِ مِنْ رَمَضَانَ وَ يَقُوْلُ : تَحَرُّوْا لَيْلَةَ اْلقَدْرِ فِي اْلعَشْرِ اْلأَوَاخِرِ مِنْ رَمَضَانَ .
“Daripada A’isyah Rha berkata : Adalah rasulullah saw. selalu beriktikaf pada sepuluh akhir Ramadhan dan baginda saw. bersabda ; Rebutlah bersungguh-sungguh peluang untuk mendapatkan Lailatul Qadar pada malam-malam sepuluh akhir Ramadhan.” (Riwayat Imam Bukhari)

3. Tapi anehnya situasi di Malaysia ini ialah kebanyakan masjid surau mengalami susut nilai menjelang akhir Ramadhan. Saf semakin berkurangan. Sedang masa hanya tinggal tidak berapa hari sahaja lagi. Persoalannya, dah puas hati ke pencapaian amal kita di Ramadhan ini?

4. Selayaknya kita membuat 'pecutan akhir' dengan terus memecut kencang bagi menggondol anugerah yang menanti kerana kita telah berada di selekoh akhir sebelum ke garis penamat. Masih lekakah kita?

5. Bagaimana Al Quran kita? Sudah berapa juzuk kita baca? Bukan kah kita target khatam di bulan Ramadhan ini? Bagaimana sedekah kita? Ramai yang memerlukan di luar sana. Bukankah kita tahu bersedekah itu pahala dan Ramadhan ini menggandakan pahala kita? Wirid zikir? Solat qiamulail? Iktikaf? Semoga kita masih berkesempatan memperbaiki kualiti Ramadhan kita dengan hari yang masih berbaki.

No comments: