Nota Editor : Kisah benar ini telah dikongsikan di Facebook Group Autisme Malaysia oleh Ustaz Haidar Mahmud.
Kami kongsikan semula di sini dengan izin dari penulis asal dengan
harapan ia turut memberi manfaat dan pengajaran kepada kita. Benarlah,
di sebalik kekurangan itu terselit suatu kelebihan yang tidak dimiliki
oleh ramai manusia normal.
Assalamualaikum dan salam sejahtera warga AM sekalian. Ini kisah saya
dan seorang anak yang sangat istimewa. Istimewa di mata saya , istimewa
di sisi tuhan.
Kisahnya bermula begini.
Januari 2015 :
Sesi persekolahan 2015 baru bermula. Saya memulakan tugas bagi tahun
yang kedua di sebuah sekolah yang berkonsepkan aliran tahfiz dan
akademik. Hari ini pelajar baru datang mendaftarkan diri bersama ibu
bapa masing-masing. Sedang saya melihat dan membantu tugas pendaftaran.
Mata saya tertumpu pada seorang pelajar yang sedang duduk di dalam dewan
taklimat. Dari pemerhatian saya pada tingkah laku dan reaksi muka
pelajar itu, saya dapat rasakan ada sesuatu yang lain pada diri pelajar
tersebut.
Pertengahan Januari 2015 :
Ternyata telahan saya betul.petang itu, saya telah menerima sekeping
kertas yang disampaikan kepada saya melalui seorang pelajar. Saya
membukanya lalu terus melihat dan membaca. Surat akuan pelajar OKU.
Surat yang mengesahkan bahawa pelajar tersebut menghidap penyakit
autisme.Pihak sekolah juga baru maklum mengenai perkara ini.Timbul
pertanyaan dan tanggapan yang pelbagai di kalangan kami guru-guru yang
baru tahu mengenai hal ini. Bagaimana dia boleh lepas ujian kemasukkan?
Dia tidak membahayakan orang lain kah? Boleh kah dia belajar di sini?
Dan pelbagai lagi persoalan yang timbul.
Semenjak hari itu, saya mula memberi sedikit perhatian pada pelajar
tersebut. Saya turut menasihatkan pelajar lain agar tidak mengganggu
atau bergurau berlebihan dengan beliau. Adakalanya saya datang melihat
beliau ketika waktu prep. Saya perasan pelajar-pelajar lain suka
mengusik beliau dengan memanggil manggil nama beliau tanpa sebarang
tujuan.
Namun,apa yang melegakan hati saya adalah ketika melihat dia begitu
gembira bermain badminton di waktu petang bersama rakannya yang lain.
Walaupun pukulannya tidaklah begitu betul namun jelas terlihat
keseronokan di wajahnya.
25 Februari 2015
Saya telah dipanggil untuk bersama guru kelas yang lain bagi
membincangkan status pelajar yang telah lulus untuk memasuki kelas
hafalan al-quran.Dari 7 orang pelajar,5 orang telah lulus. Salah seorang
daripadanya adalah pelajar tersebut. Saya masih hairan dan tertanya
tanya bagaimana pelajar ini membaca quran. Ini kerana sewaktu ujian al
quran, saya tiada di sekolah.
Oleh kerana kelas saya agak ramai pelajar berbanding kelas yang lain,
maka guru guru lain terlebih dahulu memilih pelajar untuk masuk ke
kelas mereka. Sampai kepada giliran pelajar ini, seorang guru telah
dicadangkan untuk mengambil pelajar ini memasuki kelas beliau. Namun
ditolak dengan lembut kerana khuatir tidak mampu membawa pelajar ini
dengan baik. Lalu saya tergerak hati untuk tawarkan diri mengambil
pelajar ini memasuki kelas saya.
Di dalam kelas, beliau hanya duduk di kerusi dan menghadap alquran di
depannya. Tidak banyak bercakap dan suaranya juga agak perlahan. Saya
memberitahunya untuk menghafal juzuk 30. Jika sudah hafal,esok boleh
baca dengan saya.
26 Februari 2015 :
Seperti kebiasaan di waktu pagi, saya akan memasuki kelas seawal jam 7
pagi dan menunggu pelajar datang kepada saya untuk membaca hafalan yang
telah dihafal pada malam tadi. Setelah beberapa orang pelajar membaca
dengan saya, saya memanggil pelajar tersebut untuk membaca hafalannya
jika dia sudah sedia. Tiada sebarang respon. Saya menganggap mungkin dia
belum hafal, maklumlah baru sahaja masuk ke kelas tahfiz.
Selepas rehat. Pelajar-pelajar saya sudah kurang bersemangat untuk
mengulang bacaan. Semuanya kelihatan letih kerana mereka berpuasa pada
hari ini. Puasa sunat khamis. Setelah menunggu agak lama, saya memanggil
pelajar istimewa ini untuk duduk di tepi saya. Saya bertanya sudah
hafal ke? Dia menjawab sesuatu namun saya tidak dapat menangkap butir
bicaranya kerana terlalu perlahan.
Lalu saya terus menyuruh dia membaca surah an-naba’. Surah pertama
juzuk 30. Dia pun memulakan bacaannya tanpa melihat mushaf al quran di
depan saya. Satu muka dia selesai baca. Boleh tahan kata hati saya. Muka
surat kedua, dia telah selesai membaca surah an-naba’ secara hafalan.
Hebat juga. Saya sangkakan dia hanya menghafal satu surah tersebut,
ternyata saya silap. Pelajar ini meneruskan hafalannya dengan membaca
surah an-naaziat . Saya mengambil keputusan untuk melihat dan
membiarkannya meneruskan bacaan hafalannya. Dari satu surah ke satu
surah, dia dapat menyambung dan meneruskan bacaannya dengan penun
lancar. Sangat sedikit kesalahan bacaannya. Saya kira tidak lebih dari
lima. Ada ketikanya dia tersangkut pada satu ayat, hati saya berkata
mungkin sampai surah ini sahaja dia hafal. Sekali lagi telahan saya
meleset. Dia membetulkan semula bacaannya dan meneruskan kembali
hafalannya.
Waktu itu, pelajar lain sudah mula melihat-lihat ke arah beliau.
Mungkin kerana mereka tertanya-tanya kenapa lama sangat atau mereka
melihat reaksi saya yang tertunduk tunduk rapat ke mulut pelajar ini
untuk mendengar bacaannya yang agak perlahan.
Di saat beliau membaca ayat terakhir dari surah an-nas, surah
terakhir juzuk 30. Mata saya sudah mula berkaca kaca. Secara spontan
saya terus mengambil tangannya lalu saya salam dan mencium tangan
beliau. Hari ini perasaan saya bercampur campur. Gembira,teruja sedih
dan insaf. Pelajar istimewa ini telah mengajar saya satu pengajaran
hidup yang sangat bermakna. Jangan pernah sesekali kita menghina dan
merendahkan seseorang kerana sifat luarannya, kerana kemungkinan insan
yang kita hina itu amat istimewa dan mulia di sisi tuhan.
Saya membuka helaian juzuk 29. Saya kata pada beliau. Esok boleh mula
hafal juzuk 29. Tanpa dipinta, beliau mula membaca surah al-mulk
seperti sudah dihafalnya. Bertambah terkejut saya. Sudah hafal juzuk 29
juga ke? Saya memberhentikan bacaannya dan berkata.” Esok, insyaAllah.”
No comments:
Post a Comment