PUTRAJAYA – Malaysia yang selama ini tidak pernah mengalami fenomena puting beliung, kini bersiap sedia menghadapinya.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Datuk Che
Gayah Ismail berkata negara mengalami lapan kejadian puting beliung
tahun lalu, masing-masing empat di darat dan empat di laut yang juga
dikenali sebagai ‘belalai air’.
Beliau berkata fenomena puting beliung, ribut petir kuat, taufan dan
angin kencang merupakan kesan daripada perubahan iklim serta pemanasan
global.
“Sebelum ini puting beliung amat jarang berlaku di negara kita. Tetapi
tahun lalu ia berlaku. Kemungkinan ia akan berulang atau sebaliknya
tidak boleh diramalkan kerana Malaysia masih belum mempunyai kepakaran
meramalkannya,” katanya kepada Bernama sempena sambutan Hari Meteorologi Sedunia 2015
Sehubungan itu Che Gayah berkata MetMalaysia sedang berusaha membawa
pakar dari Jepun untuk melatih lebih ramai pegawai cuaca tempatan
mengenai kaedah terbaik untuk membuat ramalan tentang puting beliung.
“MetMalaysia juga kemungkinan akan menghantar pegawai ke Amerika
Syarikat yang mempunyai ramai pakar, pengalaman serta peralatan canggih
berkaitan puting beliung,” jelasnya.
Sambutan Hari Meteorologi Sedunia disambut setiap 23 Mac yang kali ini bertemakan ‘Iklim: Pengetahuan Untuk Tindakan’.
Beliau berkata tema itu membolehkan negara anggota Pertubuhan
Metereologi Sedunia merangka pelan tindakan dan mitigasi untuk
menghadapi perubahan iklim.
Che Gayah berkata sempena hari sambutan, MetMalaysia akan melancarkan
“myCuaca” iaitu aplikasi telefon pintar yang menyediakan ramalan dan
amaran cuaca harian, gempa bumi dan tsunami serta imej terkini bagi
satelit dan radar.
Beliau berkata aplikasi tersebut boleh dimuat turun menerusi Google Play dan Apps Storesecara percuma.
Pelancaran aplikasi itu merupakan anjakan MetMalaysia yang antara lain
bertujuan meningkatkan kemudahan, kecekapan dan ketelusan sistem
penyampaian maklumat serta perkhidmatan kepada rakyat melalui penggunaan
teknologi aplikasi mudah alih, katanya.
- BERNAMA
No comments:
Post a Comment