Tuesday, April 21, 2015

Golongan Orang Yang Mustajab atau Makbul Doanya

berdoa
Firman Allah SWT yang bermaksud :


Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul.
(Surah Al-Baqarah: 186 )

Doa ibu bapa kepada anak-anaknya tidak ada hijab di sisi Allah. 

Swt kerana redha Allah Swt kepada anak-anak adalah bergantung kepada redha kedua ibu bapanya. Oleh itu anak0abak tidak boleh sama sekali menderhaka kepada kedua ibu bapanya.

Daripada Abu Hurairah ra bahawa Rasulullah saw sabda :"Ada tiga doa yang diterima Allah secara langsung iaitu doa orang yang dianiaya, doa seorang musafir dan doa orang tua terhadap anaknya."
(Hadis Riwayat Tirmizi, Ahmad dan Daud)

Doa Orang Musafir sampai ia kembali dari perjalanannya

Seorang musafir dengan tujuan baik semata-mata kerana Allah Swt seperti menuntut ilmu, menziarahi saudara, atau keluar rumah mencari rezeki halal adalah perbuatan yang dikasihi Allah, lalu Allah Swt memakbulkan doanya.

Doa Orang Yang Dianiaya

Allah Swt amat murka kepada sesiapa dikalangan hambanya yang melakukan kezaliman kepada hambaNya yang lain. Orang yang berlaku zalim dan suka menganiaya orang lain akan mendapat balasan daripadaNya. Doa mereka yang dizalimi dimakbulkan oleh Allah Swt. Daripada Ibnu Umar , Rasulullah saw bersabda :"Hendaklah kamu waspada terhadap doa orang yang dizalimi. Sesungguhnya doa itu akan naik ke langit amat pantas seumpama api marak ke udara." (Hadis Riwayat Hakim - Sanad Hasan) 

Dari Khuzaimah bin Thabit ra Rasulullah saw bersabda :"Hendaklah kamu waspada terhadap doa orang yang dizalimi. Allah Swt berfirman :"Demi kemuliaan dan keagunganKu, Aku pasti akan menolongmu walaupun setelah masa yang lama."
(Hadis Riwayat Tobrani - Sanad Hasan) 

Doa Orang Yang Berpuasa Sampai Ia Berbuka Puasa

Puasa adalah satu amalan yang sangat disukai oleh Allah Swt sehinggakan pahala orang yang berpuasa hanya Allah Swt sahaja yang memberikan ganjaran dan malaikat sendiri tidak tahu berapa banyak pahala yang hendak dicatitkan dalam sebuah hadis qudsi :"Puasa itu milikKu dan Akulah yang membalasNya."

Doa Seorang Pemimpin Yang Adil

Seorang pemimpin yang adil tidak akan sesekali membelakang kepentingan rakyat dan lebih mengutamakan kepentingan rakyat berbanding daripada kepentingan sendiri. Maka hal ini tidak hairanlah jika Allah memakbulkan doa seorang pemimpin yang adil ini. Ini kerana segala penat lelahnya berkerja semata-mata untuk rakyat dan agama.

Doa Seorang Sahabat Kepada Saudaranya yang berpisah saling bertemu dan berkasih sayang.

 Persahabatan yang terbina berlandaskan islam dan hanya semata-mata kerana Allah Swt. Persahabatan yang terjalin adalah anugerah yang perlu kita pelihara sehingga ke syurga. Tidak masuk syurga orang yang memutuskan silaturrahim sesama islam. Maka marilah bersama-sama kita membina ukhuwah dan hubungan baik sesama sesama islam. Ini kerana semua islam itu bersaudara. Daripada Abu Hurairah ra bahawa Rasulullah saw bersabda :"Doa seorang sahabat kepada sahabatnya yang lain kerana Allah dalam tempat yang berjauhan di terima Allah Swt ." (Hadis Riwayat Muslim)

Doa Anak Yang Soleh kepada kedua ibu bapanya. 

Daripada Abu Hurairah ra berkata Rasulullah saw bersabda :"Apabila matinya atau meninggal dunia anak adam akan terputuslah semua amalnya kecuali tiga perkara itu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat, dan anak soleh yang selalu mendoakannya." (Hadis Riwayat Muslim)

No comments: