Ramai yang berdoa tetapi adakah kita pasti doa kita diterima oleh
Allah? Sama seperti solat hajat, kita hanya buat solat hajat hanya
apabila memerlukan sesuatu. Tidak semua, mungkin hanya sesetengah
daripada kita sahaja. Contoh yang paling mudah jika kita mengisi borang
untuk mendapatkan sesuatu, permohonan tersebut tidak semestinya terus
diterima. Ia perlu melalui proses tertentu. Sama juga seperti doa. Kita
selalu mengeluh kerana doa kita tidak diterima oleh Allah. Tetapi
pernahkah kita terfikir berkenaan dengan adab berdoa?
Terdapat beberapa waktu berdasarkan beberapa riwayat di mana doa kita jarang ditolak oleh Allah.
Antaranya :
Doa Ketika Hujan Lebat
Rasulullah bersabda : "Dua doa yang tidak pernah ditolak iaitu doa
ketika waktu azan dan doa ketika waktu hujan". Hujan membawa rahmat
kepada manusia dan kehidupan lain. Manusia perlukan air untuk diminum
dan tumbuhan perlukannya untuk tumbesaran. Imam Nawawi memberitahu doa
pada waktu ini jarang ditolak kerana turunnya rahmat terutama curahan
hujan pertama di awal musim.
Doa Ketika Mendirikan Solat Fardu
Sabda Rasulullah ini menggambarkan afdalnya berdoa saat ini :
"Berdoalah pada waktu mustajab doa iaitu sewaktu pasukan tentera
bertempur, waktu mendirikan solat dan ketika hujan turun." (Riwayat Abu
Daud)
Doa Apabila Bilal Selesai Azan
Kita sepatutnya melazimi diri berdoa pada waktu ini sementara menunggu
iqamat yang akan diucapkan oleh bilal. Dengan demikian, doa kita tidak
akan ditolak oleh Allah berdasarkan apa yang disebut oleh Rasulullah.
Baginda bersabda : "Doa tidak akan ditolak di antara azan dan iqamat."
(Riwayat Abu Daud dan al-Baihaqi)
Doa Ketika Sujud
Rasulullah bersabda : "Seorang hamba paling hampir kepada Tuhannya
adalah ketika dia sujud, maka kamu perbanyakkanlah doa." (Riwayat Muslim
An-Nasa'i, Abu Daud dan Ahmad). Ketika bersujud kepada Allah, dahi
kita mencecah lantai, maka Rasulullah memberi tunjuk ajar kepada kita
supaya memperbanyakkan berdoa kerana waktu ini kita terlalu hampir
dengan Allah.
No comments:
Post a Comment