Sunday, November 16, 2014

Apa yang kita sibuk?

 
Ada yang ketawa keriangan. Ada yang menangis kesedihan. Ada yang senang hidup penuh kemewahan. Ada yang derita hidup penuh kesempitan. Ada yang teruja nikmati bahagia. Ada yang resah ditimpa masalah. Ada yang tabah hadapi musibah.
Ada yang miskin dan terus menjadi miskin. Ada yang kaya dan semakin bertambah kaya. Ada yang pernah jatuh, hari ini bangkit semula. Ada yang dahulu tiada apa-apa, hari ini dihormati dan disanjung manusia. Ada yang dahulu dipandang mulia, hari ini menjadi hina. Ada yang dahulu megah ditampuk kuasa, hari ini menjadi rakyat biasa. Ada yang dahulu bicaranya sombong dan bongkak, hari ini bagaikan pengemis menagih simpati merangkak-rangkak.


Kehidupan sentiasa bergerak
Ada pelbagai cerita dan warna. Selagi adanya kehidupan selagi itulah cerita-cerita sebegini akan terus berjalan. Ahli sukan bercakap mengenai sukan. Tukang masak bercakap soal masakan. Usahawan bercakap perihal perniagaan. Guru-guru bercakap soal pendidikan. Artis bercakap soal seni lagu dan lakonan. Ahli politik bercakap soal pemerintahan. Tidak kurang juga yang asyik berbincang bagaimana lagi mahu mengumpul kekayaan.

Selama nyawa masih dipanjangkan, selama itulah kita semua akan sibuk dengan kehidupan. Meneruskan kehidupan yang entah sampai bila. Anak-anak pergi ke sekolah bagi meneruskan kehidupan menimba ilmu dan membentuk diri. Ibu bapa terus bekerja membanting tulang mencari rezeki bagi menyara anak-anak dan isteri. Graduan universiti sibuk mencari peluang pekerjaan. Anak muda bujang sibuk pula mencari pasangan. Masing-masing sibuk mengatur kehidupan diri sendiri.

Dunia hari ini seakan-akan tiada bezanya antara siang dan malam. Kesibukan manusia seperti tiada henti. Siang dan malam penuh dengan aktiviti. Ada kesibukan yang menjemput pahala.

Ada juga kesibukan yang mengundang dosa. Dalam kesibukan itu, ambil sedikit masa untuk bertanya diri, berbaloikah aku sibuk selama ini? Ada orang yang kesibukannya bukan setakat fikir mengenai diri sendiri, bahkan memikirkan juga hal orang lain.


Ringankan tangan
Tidak boleh melihat orang lain dalam kesusahan. Ringan tulangnya membantu. Kebaikan yang dihulur tidak hanya berlegar di kawasan setempat, malah merentasi sempadan negeri ke peringkat antarabangsa.

Ada orang yang resah hatinya melihat orang lain jauh dari hidayah, lalu digerakkan usaha dakwah. Kehidupannya sibuk dengan dakwah. Menyeru orang lain ke arah kebaikan dan jika ada kemungkaran dicegahnya mengikut kemampuan. Segala ruang dan kudrat digunakan untuk dakwah, mengajak manusia kepada sunnah Rasulullah SAW. Dakwah menyebabkan dirinya sibuk.

Ada orang yang tidak sanggup membiarkan kebenaran dan keadilan dicabul dan dinodai. Hidupnya sibuk dengan perjuangan menegakkan keadilan dan membanteras kezaliman. Biar dirinya diseksa dan di penjara, namun semangat perjuangan tetap membara bebas merdeka.

Berjuang bukan untuk dirinya, namun demi kesejahteraan umat dan generasi berikutnya. Ada orang hidupnya penuh kesibukan sehingga menjadikan dirinya lupa Tuhan. Kewajipan diabaikan. Agama dan dirinya berjauhan. Tidak sempat untuk hadir solat jemaah dan kelas pengajian. Baginya setiap minit adalah duit. Semakin dicari semakin rasa hendak lagi.


Dosa, pahala
Sibuknya mengumpul harta dengan apa sahaja cara. Halal dan haram tiada beza baginya. Kesibukan menyebabkan dia terlupa adanya soal pahala dan dosa. Kesibukan ini tidak akan berakhir sehinggalah berakhirnya kehidupan. Pengakhiran sebuah kehidupan yang hakikatnya menjadi permulaan kepada sebuah kehidupan. Telah sampai ke destinasi. Kehidupan akhirat yang kekal abadi. Di sana kesibukan kita di dunia akan dinilai.

Tidak ada yang akan diabai. Satu demi satu. Beruntunglah bagi mereka yang kesibukannya di dunia membawa ke syurga. Rugi dan rugilah mereka yang kesibukannya tidak membawa apa-apa makna bahkan lebih rugi jika kesibukan itu menghumbannya ke lembah neraka. Tiada lagi erti penyesalan. Akhirat tempat menerima balasan.

Dalam kesibukan mengatur kehidupan, berhenti sejenak untuk bertanya diri. Berbaloikah apa yang aku lakukan hari ini? Berbaloikah kesibukan dan kepenatan yang aku tanggung selama  ini?

Selagi ada peluang untuk hidup, lakukan muhasabah. Buat penambahbaikan. Aturkan kehidupan selari dengan matlamat penciptaan. Berperanan sebagai seorang hamba dan khalifah. Suburkan bumi dengan benih kebaikan. Hulurkan jasa kepada manusia. Biar kita sibuk kerana ALLAH. Biar kita letih kerana agama. Biar semua kesibukan dan keletihan menjadi penyebab untuk kita nikmati kerehatan dan kenikmatan syurga.

Jika kita ditanya: "Apa yang kau sibuk sangat?!". Jawablah: "Aku sibuk kerana aku masih hidup. Hidup untuk kumpul pahala kerana mati boleh datang bila-bila."

No comments: