HARTA nikmat yang dipinjamkan ALLAH untuk kita manfaatkan.
Segala-galanya berasal daripada ALLAH dan akan dikembalikan kepadaNYA.
Kita bertanggungjawab untuk memelihara, melindungi dan berkongsi dengan
yang berhak. ALLAH menjelaskan : "Orang yang menafkahkan (hartanya),
baik pada waktu lapang mahupun sempit dan orang yang menahan marah dan
memaafkan (kesalahan) orang. ALLAH menyukai orang yang berbuat
kebajikan (surah Ali Imran 3:134)
Senangnya Sedekah
Islam menggalakkan budaya bermurah hati sehingga termaktub dalam salah satu daripada lima rukun Islam iaitu ZAKAT.
Selain itu sedekah juga menunjukkan kemurahan hati. Ramai yang
menganggap sedekah biasanya dalam bentuk material seperti wang, harta
dan kebendaan.
Bukan hanya itu!! Sedekah boleh dalam bentuk:
* Sebentuk senyuman
* Berkhidmat untuk orang lain
* Mengalih objek daripada jalanan
* Memberi panduan atau nasihat
Beri yang terbaik!
Kemurahan hati dilihat sebagai satu pelaburan yang bijak pada masa
hadapan. Kemurahan hati boleh membuka jalan ke syurga kerana dengan
setiap perbuatan yang mulia mendatangkan pahala yang besar dari ALLAH.
Kemurahan hati bukan memberikan sesuatu yang tidak lagi berguna dan
tidak diingini lagi tapi dalam memberi sesuatu yang kita suka dan
sayang.
ALLAH berfirman : " Wahai orang yang beriman! Belanjakanlah sebahagian
daripada hasil usaha kamu yang baik-baik, dan sebahagian daripada apa
yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu. Dan janganlah kamu sengaja
memilih yang buruk daripadanya (lalu kamu dermakan atau kamu jadikan
pemberian zakat), padahal kamu sendiri tidak sekali-kali akan mengambil
yang buruk itu (kalau diberikan kepada kamu) kecuali dengan memejamkan
mata padanya (surah al-Baqarah 2:267)
Maka sebaik-baik pemberian ialah barang yang kita sayang.
Memberi untuk Menerima
Tuhan menerangkan dalam Al-Quran bahawa pemberian yang disertai sifat
murah hati, dengan niat kerana ALLAH, DIA akan menggantikannya. ALLAH
mengetahui apa-apa yang ada dalam hati manusia.
Yakinlah sifat murah hati akan terbalas. ALLAH memberi jaminan :
"Katakanlah :'Sesungguhnya Tuhanku melapangkan rezeki dan menyempitkan
bagi sesiapa yang dikehendakiNYA. Apa-apa saja yang kamu dermakan,
ALLAH akan menggantikannya dan DIAlah sebaik-baik Pemberi rezeki'"
(Surah Saba' 34 : 39)
Sifat keekut tidak boleh ada dalam sanubari umat Islam kerana ALLAH
telah menjamin bahawa harta kita tidak akan habis atau luak jika kita
berikan kepada orang lain.
Malahan ALLAH akan menambah keberkatan dan pemberian kita akan diganti dan ditambah.
Kita akan bahagia apabila mampu memberi kebahagiaan kepada orang lain.
Kita akan menerima pertolongan selepas kita menolong orang lain. Kita
akan bertambah ilmu dengan berkongsi ilmu dengan orang lain. Inilah
yang dinamakan konsep "MEMBERI UNTUK MENERIMA".
No comments:
Post a Comment