![](https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEgmtl0cwmnSgwMTUFLit9ff2gEnaFev16DL3ozBNYIJf7MdJQGHBG-Lj87sYSWL3W8Nzjtqdww2NjGvbFyL4Pw3EoqMU7AEGELO2bwaAIsfvVwp1se4Seef6l3ipu0aEKX0qE-DVJUh1qQ/s1600/Untitledcvb.jpg)
![](https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEhAHS7OHoANt_X-m19EVldYEfV8poVv40ku_kVAigxBpxIs7t9w7ZvmVZ5Mz9-rm6JQjfEmjVWh3NsiJUoqB_mUzPf1SuCSMErWc3Of2b7bFZuebCgeLL79jxk-Aa7qLWRemF_2W0u3b1c/s1600/Untitled980.jpg)
Sedih bila baca kisah adik ni...., selalunya kita beranggapan bahawa kita tidak sesempurna orang lain, tapi ketahuilah bahawa di luar sana masih ramai lagi insan-insan yang serba kekurangan. Bersyukurlah dengan apa yang kita ada dan memberilah kepada mereka yang memerlukan tika kita masih berkesempatan kerana tangan yang memberi lebih baik dari tangan yang menerima, insyaallah
DUNGUN – “Mak saya miskin, tak mampu nak beli alat tulis.
Jadi, saya pinjam dengan kawan-kawan. Impian saya kalau ada duit, saya cuma nak
beli alat tulis untuk memudahkan saya buat kerja sekolah.”
Demikian luahan hati adik Intan Syafiqah, 11, seorang murid
miskin yang terpaksa meneruskan persekolahan dalam serba kepayahan kerana
ibunya, Kembang Mohd, 54, yang berstatus ibu tunggal, tidak mampu untuk
menyediakan kemudahan diperlukannya.
Lebih menyedihkan apabila anak bongsu daripada empat beradik
itu kadangkala tidak membawa wang saku ke sekolah sehingga berminggu-minggu dan
hanya bergantung harap kepada Rancangan Makan Tambahan (RMT) untuk mengisi
perut yang kosong.
Syafiqah berkata, kadangkala terdetik di hatinya untuk
menikmati makanan lazat dan kemudahan persekolahan mencukupi seperti murid
lain, namun dia hanya memendamkan hasrat itu setelah memikirkan ketidakmampuan
ibunya.
“Duit ibu ada cuma untuk beli beras sahaja. Jadi, tak bawa
duit ke sekolah pun tak apa, yang penting saya dapat meneruskan persekolahan.
“Cuma saya sedih sebab tak ada alat tulis yang lengkap
seperti kawan lain. Nak minta dengan ibu, dia tidak mampu beli,” kata murid
tahun lima SK Delong itu.
Kakaknya, Intan Shahirah, 13, yang bersekolah di SMK Padang
Pulut turut menghadapi situasi sama apabila dia gagal menjelaskan yuran
asramanya.
Menurutnya, dia tetap tabah menghadapi situasi itu walaupun
sebagai pelajar perempuan, kegagalan menjelaskan yuran asrama sedikit sebanyak
menjejaskan keyakinannya untuk belajar.
“Kadang-kadang sahaja saya bawa wang saku ke sekolah.
Kebanyakannya, saya pergi sekolah dengan poket kosong.
“Yuran asrama pula banyak tertangguh. Nak suruh ibu bayar
pun dia tidak bekerja, hanya mengharapkan wang bantuan bulanan untuk bayar
yuran. Duit itu juga untuk beli keperluan asas lain. Jadi, saya tak boleh minta
lebih daripada ibu,” katanya.
Sementara itu, Kembang berkata, akibat kemiskinan hidup, dia
bersama dua anaknya terpaksa tinggal di rumah kosong peninggalan bekas
suaminya, biarpun rumah tersebut sebenarnya tidak layak dijadikan kediaman
kerana tidak mempunyai kemudahan air dan elektrik.
Menurutnya, dia cuba sedaya upaya untuk keluar daripada
situasi memeritkan itu, namun tidak berkemampuan kerana tidak mempunyai
pendapatan tetap.
“Saya cuma dapat duit bantuan JKM sebanyak RM200 sebulan.
Dengan duit itulah, saya buat belanja anak sekolah dan beli beras.
“Jumlah itu tidak mencukupi, nasib baik sekali-sekala ada
jiran tampil menghulurkan makanan. Jika tidak, kami tiga beranak pasti mati
kelaparan,” katanya.
Kembang juga berkata, dia amat berharap ada insan bersimpati
untuk membantu terutama bagi membaiki rumah peninggalan didiami mereka tiga
beranak itu yang tidak mempunyai pintu dan tingkap bilik air, selain bilik air
serta tandas tidak sempurna.
“Saya sudah beberapa kali memohon bantuan rumah daripada
pihak berkenaan, namun sehingga kini permohonan itu masih tidak mendapat maklum
balas sewajarnya.
“Kini saya hanya mampu berdoa agar suatu hari nanti,
kehidupan kami sekeluarga akan berubah,” katanya.
No comments:
Post a Comment