DEMI masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh, dan berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran. (al-`Asr: 1-3)
Di antara banyak angka, ada dua angka
yang menarik iaitu 4 dan 0. Kenapa? Ya, angka 4 jika dicantum 0 menjadi
‘40’. Selalunya angka 40 ini disinonimkan pula dengan sesuatu, iaitu
‘kehidupan baru bermula ketika usia kita 40.’ Istilah ini
ditranlatasikan dari bahasa Inggeris iaitu ‘life is begin at 40.’
Biasanya, daripada aspek harta pun manusia sudah mula stabil pada usia
ini, seiring dengan kematangan usia kita sendiri.
Cuba kita terobos nilai dan konotasi
angka 40 ini dari perspektif Islam. Di dalam sebuah hadis Nabi Muhammad
SAW, baginda antara lain menyatakan: “Sesiapa yang berusia 40 tahun, amalan kebajikannya belum mengatasi amalan kejahatannya, maka bersedialah ia ke neraka Allah.” (Riwayat Tabrani, menurut ahli hadis ini daif, namun masih boleh diterima kerana maksudnya mendorong kebaikan). Maka, berhati-hatilah pada usia 40, kerana ia adalah penentu sudahnya sebuah kehidupan.
Secara literal, maksud hadis di atas memberi ingat kepada kita agar menjadikan angka 40 sebagai titik perubahan (turning point) dalam kehidupan. Pendeknya, menjelang usia 40 maka setiap manusia wajar memuhasabah diri, lalu
menjalankan koreksi (membaiki diri). Adakah selama ini kita lebih
cenderung kepada kebaikan atau sebaliknya.Adakah selama 39 tahun lalu
diari kehidupan kita dipenuhi catatan positif lebih banyak dari lakaran
negatif. Secara spesifiknya, solat lima waktu kita sudahkah genap atau
masih banyak lompangnya, cara kita berpakaian benar-benarkah mematuhi
piawaian syariat, sedekah dan zakat sudahkah menjadi agenda kita,
tuntutan fardu kifayah seperti solat berjamaah, memenuhi majlis ilmu di
rumah Allah dan sebagainya lagi sudahkah tertunai semuanya?
Ini kerana, jika selama usia 39 tahun
kita masih gagal memenuhinya dengan amalan yang baik, maka dikhuatiri
diri terus merasa selesa dengan perkara negatif. Jika selama ini kita
suka mengujungi kelab-kelab malam misalnya, andaikan pada usia mencecah
40 masih belum berubah, maka mungkin sampai keusia tualah kaki masih
mahu ke sana. Alangkah malangnya, kerana masa terbuang begitu sahaja.
Masa yang sepatutnya diperuntukkan untuk keluarga, membantu anak-anak
mengulangkaji pelajaran dan sebagainya pupus ditelan muzik yang bingit.
Sebab itulah, Islam amat menekankan agar
umatnya sentiasa memuhasabah diri. Mari kita kaji lagi, rupa-rupanya di
dalam sejarah juga mencatatkan, bahawa Nabi Muhammad SAW sendiri
menerima wahyu yang pertama pada usia baginda 40 tahun. Sejarawan
menyatakan, dengan turunnya wahyu maka itulah batas antara zaman
jahiliyah dan zaman Islam. Turunnya wahyu menandakan bermulanya zaman
Islam. Sejak itulah, Islam terus berkembang dan menggantikan era
jahiliyah yang mendominasi umat Arab sebelum itu.
“Dua nikmat yang manusia sering lalai dan alpa, iaitu kesihatan dan waktu (atau usia) yang Allah berikan.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Sebab itulah, bagi mereka yang selama
ini terus berulit dengan jahiliyah (sukakan perkara yang negatif) perlu
menjadikan usia 40 sebagai garis pemisah. Paksalah diri untuk kembali ke
pangkal jalan. Tinggalkan segala kejahatan dan kejarlah kebaikan.
Jadikanlah 40 itu sempadan diri, antara kejahatan dan kebaikan. Antara
kemalasan dengan kerajinan. Antara kepongahan dan ketenangan. Antara
kekacauan dengan kebahagiaan.
Nabi Muhammad SAW juga meninggalkan pesan, kata baginda: “Dua
nikmat yang manusia sering lalai dan alpa, iaitu kesihatan dan waktu
(atau usia) yang Allah berikan.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Memang benar, selalunya sebelum mencecah
usia 40 kebanyakan manusia masih merasa begitu kuat dan hebat. Wanita,
potongan badan masih anggun, pinggang masih ramping. Jika lelaki
misainya masih melintang, jalannya pula tegak dada membidang. Jarang
benar kita mengunjungi klinik atau hospital, kerana jantung masih kuat
dan darah tinggi masih terkawal. Makan apa pun semuanya sedap, semuanya
lazat.
Tiba-tiba, merangkak sahaja usia 40 maka
segala macam penyakit pun datang menerpa. Kencing manis tumpang
bertandang, sakit pinggang tumpang berteduh. Migrain menjadi teman
bersembang, darah tinggi tumpang sekaki. Jantung sudah pandai merengek,
kaki pula asyik berdengket (gout). Maka, mulalah episod sakit-sakit
dalam diari kita. Ditempias hujan sudah tidak tahan, asyik demam siang
dan malam. Kepala sudah selalu pening, maka mulalah dunia terasa
berpusing. Makan apa pun mulai hambar rasanya.
Sebab itulah, usia sebelum 40 amat
bermakna untuk kita bazirkan. Sebaliknya, ia perlu dimanfaatkan sebaik
mungkin. Pada ketika itulah, peluang untuk kita membina diri dan
keluarga terbuka luas. Maka, rancanglah masa hadapan dengan jelas.
Sasarkanlah angka 40 sebagai titik keseimbangan diri. Maka, pasti kita
tersengih sepanjang hari apabila usia kita melewati angka 40 kelak,
kerana ketika itu kita sudah mampu menuai segala hasil yang kita canai.
Anak-anak sudah ke universiti, punya rumah dua biji, kita dan isteri
sudah pun naik haji, simpanan dalam bank sudah mencecah ribuan digit dan
sebagainya lagi. Itulah perkara yang kita patut sangat semat dalam
diri.
Sebelum noktah mengambil tempat, umat
Islam wajib sentiasa menilai diri. Adakah selama ini kita sudah berada
di zon yang diredai Allah atau sebaliknya. Jika kita sudah berada di zon
‘hijau’, maka bersyukurlah. Teruslah konsisten dengan amalan yang baik,
mudah-mudahan usia 40 akan terus menakah ke angka-angka seterusnya
dengan penuh catatan kebaikan. Bak kata Umar Al-Khattab: semaklah diri
setiap malam sebelum kita disemak Tuhan di hari pengadilan.
Wallahua’lam.
Nota: Artikel ini disediakan untuk ruangan Mengurus Harta, majalah MIDI
No comments:
Post a Comment