![](https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEgyNXBZSqaQyX7Z6DF-BaDmB1Sc0svoCTeJ2HLCyM9JlCjlItMsUdQ0FV-xwZxjXEboBffszTzW6ru9KF1qpgU_6BT-223iwDnEHA3bOc_jWNGPFpKYyqLCEZ1fx77txsLNvSYsJ6kGrAyM/s200/hajidarus2.jpg)
SOALAN BOCOR ATAU INTEGRITI YANG BOCOR
Haji Darus Awang. AAP., AMP.
Haji Darus Awang. AAP., AMP.
Petang tadi anak saya yang kelapan bertanya: “pa betul ke soalan sains
bocor, Shira dengar kawan-kawan beritahu soalan sains bocor”. Satu
soalan pendek tetapi sukar juga untuk menjawabnya. Saya hanya beritahu:
“esok Shira pergi aje ke sekolah, kalau ada periksa jawab elok-elok”.
Anak pun mengangguk sahaja dengan penjelasan yang tidak menepati
pertanyaan.
Begitulah dunia kanak-kanak hari ini. Mereka juga bermaklumat. Mereka
boleh akses maklumat di hujung jari seperti orang dewasa. Anak kelapan
saya memiliki kemahiran yang luar biasa dalam ilmu IT ini. Apa-apa
sahaja barang elektronik seperti telefon bimbit, laptop atau apa jua
gajet, mampu digunakanannya. Kita terkial-kila membaca “command” atau
buku manual, tetapi anak hanya tekan sana sini sudah selesai.
Sudah lapan daripada sembilan anak saya menduduki UPSR. Seingat saya
baru kali ini kes soalan UPSR bocor. Soalan PMR dan SPM pernah bocor
satu ketika dulu. Semasa Cambridge yang menyediakan soalan peperiksaan
untuk negara kita, tidak pernah ada kes kebocoran soalan kerana
tingginya integriti orang putih. Kanak-kanak yang masih mentah terpaksa
berdepan dengan tekanan psikologi yang tinggi, Terutama jenis ibubapa
yang terlalu mengharapkan kejayaan cemerlang dan luar biasa dari anak
sekecil ini.
Saya sebenarnya tidak pernah pedulikan peperiksaan UPSR ini. Sedikit pun
saya tidak ambil peduli berapa A yang bakal diperolehi oleh anak-anak.
Ayat-ayat mudah saya katakan pada anak-anak jika semua A pun bukan boleh
terus masuk universiti. Semua subjek dapat A pun akan masuk tingkatan
satu terlebih dahulu. Begitu juga dengan PMR. Saya juga tidak memberikan
apa-apa tekanan pada anak-anak.
Jadi, anak-anak saya secara santai menduduki peperiksaan UPSR dan PMR.
Sebabnya saya dan isteri tidak sedikit pun memberi tekanan kepada
mereka. Mereka terlalu kanak-kanak untuk dipaksakan dengan kejayaan yang
bukan-bukan. Sejujurnya saya mahu anak-anak membesar dengan cara semula
jadi (natural), seperti zaman saya membesar dahulu. Biar mereka hidup
dengan realiti zaman kanak-kanaknya.
Sistem pendidikan di negara ini telah meragut dan merampas zaman
kanak-kanak secara keseluruhannya. Bertambah malang jika kedua ibubapa
juga berperangai menekan anak-anak untuk lulus cemerlang. Pada mereka
anak-anak yang cemerlang peperiksaan adalah kebanggaan kedua ibubapa,
walaupun akhlaknya kurang cemerlang. Yang penting mereka berjaya dengan
barisan semua A atau “straight A”. A adalah pengukur kecemerlangan
walaupun akhlak tidak menjadi.
Perlu diingat, anak-anak bukan robot. Anak-anak kita adalah manusia yang
punya jiwa dan perasaan. Jika mereka masih kanak-kanak, maka perasaan
keanak-anakan itulah yang menjadi realiti hidup mereka. Sistem
pendidikan kita hari ini mengajar kanak-kanak menjadi tua sebelum
masanya. Zaman kanak-kanak mereka dirampas secara zalim dan kejam
bersandarkan kecemerlangan akademik dan “straight A”.
Saya mendidik anak-anak dengan cara purba dan konservertif iaitu
membiarkan kesemua anak-anak membesar secara ‘natural” seperti saya
dibesarkan. Saya biarkan mereka bermain hujan dan panas. Mereka boleh
bermain di longkang sambil tangkap ikan longkang dan banyak lagi
kehidupan kanak-kanaknya dilayan seadanya. Mereka hidup santai dan
ceria. Apabila mendudki peperiksaan mereka tetap berjaya cemerlang.
Kesemua yang menduduki UPSR, PMR dan SPM berjaya dan cemerlang.
Kesemua mereka masih di bangku sekolah. Lima orang yang telah mendudki
SPM, kini berada di universiti dalam dan luar negara di dalam pelbagai
bidang profesional seperti perubatan, arkitek, kejuruteraan dan
pensyarah. Yang sulung sedang menghabiskan pengajian sarjana. Saya tidak
pernah menekan mereka di peringkat UPSR dan PMR. Jika mereka mahu
tusyen saya hantar, jika mereka tidak mahu, belajar sahaja di rumah.
Mereka bebas memilih untuk belajar kelas tusyen dan tiada paksaan.
Saya hanya fokus ketika di peringkat SPM. Di peringkat ini saya ingatkan
mereka supaya lebih fokus pada masa depan. SPM adalah penentu untuk
memasuki lebuhraya pendidikan peringkat tinggi. Bermula dengan diploma
hingga ke peringkat doktor falsafah (Phd), itulah jalur pendidikan
peringkat tinggi. Saya selalu ingatkan bahawa universiti berada di dalam
diri, bukan di sekolah yang mereka duduki.
Sebab itu, sedikit pun saya tidak pernah ambil kisah tentang sekolah
berasrama penuh. Ada anak-anak yang dapat memasuki asrama penuh untuk
pengambilan tingkatan satu dan empat, tetapi mereka tidak pergi. Setakat
ini, hanya anak ke empat memasuki tingkatan empat di asrama penuh dan
anak ketujuh memasuki ketika tingkatan satu. Bukan kehendak saya dan
isteri, tetapi itu kehendak dan pilihan mereka sendiri.
Maknanya kejayaan bukan di sekolah, tetapi di dalam diri mereka sendiri.
Mereka yang mengurus kejayaan dengan bimbingan dan sokongan kita
sebagai ibubapanya. Saya dan isteri sentiasa sibuk dengan tugasan kerja
rasmi, Di waktu antara maghrib dan isyak ketika di bilik solat, saya
bertanyakan tentang persekolahan mereka. Itu sahaja masa yang saya ada
untuk memberi dorongan kepada mereka. Tetapi setiap malam kami bersolat
hajat untuk kejayaan ahli keluarga. Inilah kekuatan luar biasa yang
tiada tolok bandingnya.
Apabila terdengar cerita dan terbaca berita di dalam media sosial
tentang soalan bocor, terfikir oleh saya soalan bocor atau integriti
segelintir orang yang diamanahkan itu yang bocor. Kenapa boleh bocor.
Apabila bocor mesti ada orang yang kena dipertanggungjawabkan di atas
kebocoran ini. Kes seperti ini tidak sepatutnya berlaku. Kes ini lebih
kepada bocor atau ketirisan integriti mereka ini. Antaranya pencetak
soalan, segelintir pegawai di Lembaga Peperiksaan KPM dan juga pegawai
yang diamanahkan di Bilik Kebal setiap Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).
Saya bukan menuduh, tetapi kebocoran pasti bermula dari salah satu
lubang di situ.
Agak lama saya bekerja di KPM Putrajaya. Sedikit sebanyak
perkara-perkara dasar seperti ini saya tahu juga. Isunya lebih kepada
integriti pegawai yang diamanahkan menggubal soalan, pencetak yang
diamanahkan mencetak soalan dan pegawai yang diamanahkan menjaga Bilik
Kebal. Mereka ini perlu dipertanggungjawab terlebih dahulu. Mereka telah
mengharubirukan suasaa ketenangan murid yang sedang menduduki UPSR.
Kurang sungguh integriti segelintir mereka yang diamanahkan terhadap
perkara-perkara yang sulit seperti soalan peperiksaan ini.
Namun begitu, kelihatan anak saya rileks dan santai sahaja. Sebabnya
tiada apa-apa tekanan dari kami sebagai ibubapa kepadanya. Kami biarkan
dia membesar dengan dunia kanak-kanaknya tanpa dirampas dengan
meletakkan harapan yang menggunung tingginya. Sedangkan dia hanya
seorang kanak-kanak. Saya mahu kesemua anak saya menikmati zaman
kanak-kanaknya sebaik mungkin. Harapan yang terlalu tinggi menjadi
tekanan kepada anak-anak kita. Mereka akan stress. Bertambah stress jika
peperiksaan ditangguhkan.
Kredit: Haji Darus Awang. AAP., AMP.,
No comments:
Post a Comment