![](https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEipgecvydOw-XKWn4ImovDseNVceEUVlFmyuzoeOHUFLZNMdSwVVlj3cDXAJg1NY9ygMiUJ68QhGSbTZIpCEpM3YhZIxqVXQTRnF-Kt6RarjHSBWU9KD0H0Hu296fYEPRIuORt6mj4HicI/s1600/Kematian.jpg)
Pertama: Mereka yang dapat mengucapkan syahadah menjelang kematian sebagaimana
ditunjukkan dalam banyak hadis sahih, antaranya Rasulullah SAW bersabda yang
bermaksud: “Barang siapa yang ucapan terakhirnya ‘Laa ilaaha illallah’, maka
dia masuk syurga.” (Hadis Hasan)
Ke-2: Kematian yang disertai dengan basahnya kening dengan keringat atau
peluh berdasarkan hadis Buraidah bin Hushaib r.a: Dari Buraidah bin Khusaib RA
bahawa ketika dia berada di Khurasan sedang membesuk seorang sahabatnya yang
sakit dia mendapatinya sudah meninggal tiba-tiba keningnya berkeringat maka dia
berkata: “Allahu Akbar!, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Kematian seorang mukmin disertai keringat di keningnya.” (Hadis Sahih)
Ke-3: Mereka yang (baik-baik dan soleh) meninggal dunia pada malam Jumaat
atau siangnya berdasarkan sabda Rasulullah SAW: “Tidaklah seorang Muslim
yang meninggal pada hari Jumaat atau malam Jumaat melainkan Allah melindunginya
daripada seksa kubur.”
Ke-4: Meninggal dalam keadaan syahid di medan perang sebagaimana ertinya: “Dan
janganlah sekali-kali kamu mengira bahawa orang-orang yang terbunuh di jalan
Allah mati, tetapi mereka hidup diberi rezeki di sisi Tuhan mereka. Mereka
bergembira dengan kurnia yang diberikan Allah kepada mereka dan memberi khabar
gembira kepada orang yang belum mengikuti mereka di belakang janganlah mereka
takut dan sedih. Mereka memberi khabar gembira dengan kenikmatan dari Allah dan
kurniaNya dan bahawa Allah tidak mensia-siakan balasan bagi orang-orang beriman.”
(QS Ali Imran:169-171)
Rasulullah SAW juga pernah bersabda: “Orang yang
syahid mendapatkan enam perkara: Diampuni dosanya sejak titisan darahnya yang
pertama; diperlihatkan tempatnya dalam syurga; dijauhkan dari seksa kubur;
diberi keamanan dari goncangan yang dahsyat di hari kiamat; dipakaikan mahkota
keimanan; dinikahkan dengan bidadari syurga; diizinkan memberi syafaat bagi
tujuh puluh anggota keluarganya.”
Ke-5: Mereka yang meninggal dunia ketika berjuang di jalan Allah (bukan
terbunuh) berdasarkan sabda Rasulullah SAW: “Apa yang kalian nilai sebagai
syahid antara kalian? Mereka berkata: Ya Rasulullah, siapa yang terbunuh di
jalan Allah, maka dia syahid. Beliau berkata: Jadi sesungguhnya syuhada’ umatku
sedikit.” Mereka berkata: “Lalu siapa mereka Ya Rasulullah?” Baginda bersabda:
“Barang siapa yang terbunuh di jalan Allah syahid, barang siapa yang mati di
jalan Allah syahid, barang siapa yang mati kerana wabak taun syahid, barang
siapa yang mati kerana penyakit perut syahid dan orang yang tenggelam syahid.”
Ke-6: Mati kerana satu wabak penyakit taun berdasarkan beberapa hadis antaranya: Rasulullah SAW bersabda: “Wabak taun adalah kesyahidan bagi setiap Muslim.”
Ke-7: Mereka yang mati kerana penyakit dalam perut berdasarkan hadis di atas.
Ke-8 dan ke-9: Mereka yang mati kerana tenggelam dan terkena runtuhan berdasarkan
sabda Nabi SAW: “Syuhada ada lima: yang mati kerana wabak taun, kerana
penyakit perut, yang tenggelam, yang terkena runtuhan dan yang syahid di jalan
Allah.”
Ke-10: Matinya seorang wanita dalam nifasnya disebabkan melahirkan anaknya:
Dari Ubadah bin Shamit RA bahawa Rasulullah SAW menjenguk Abdullah bin Rawahah
RA dan berkata: Beliau tidak berpindah dari tempat tidurnya lalu berkata: “Tahukah
kamu siapa syuhada’ dari umatku?” Mereka berkata: “Terbunuhnya seorang Muslim
adalah syahid.” Baginda berkata: “Jadi sesungguhnya para syuhada’ umatku,
terbunuhnya seorang Muslim syahid, mati kerana wabak taun syahid, wanita yang
mati kerana janinnya syahid (ditarik oleh anaknya dengan tali arinya ke syurga).”
Ke-11 dan ke-12: Mereka yang mati kerana terbakar dan sakit bengkak panas yang menimpa
selaput dada di tulang rusuk, ada beberapa hadis yang terkait yang paling
masyhur: Dari Jabir bin ‘Atik dengan sanad marfu’: “Syuhada’ ada tujuh
selain terbunuh di jalan Allah: yang mati kerana wabak taun syahid; yang
tenggelam syahid; yang mati kerana sakit bengkak yang panas pada selaput dada
syahid; yang sakit perut syahid; yang mati terbakar syahid; yang mati terkena
runtuhan syahid; dan wanita yang mati setelah melahirkan syahid.”
Ke-13: Mereka yang mati kerana sakit TB berdasarkan hadis: Rasulullah SAW
bersabda yang bermaksud: “Terbunuh di jalan Allah syahid, wanita yang mati
kerana melahirkan syahid, orang yang terbakar syahid, orang yang tenggelam
syahid, dan yang mati kerana sakit TB syahid, yang mati kerana sakit perut
syahid.” (Hadis Hasan)
Ke-14: Mereka yang mati kerana mempertahankan hartanya yang hendak dirampas. Dalam
hal itu ada beberapa hadis di antaranya: Rasulullah SAW bersabda: “Barang
siapa yang terbunuh kerana hartanya (dalam riwayat: barang siapa yang hartanya
diambil tidak dengan alasan yang benar lalu dia mempertahankannya dan
terbunuh,) maka dia syahid.”
Ke-15 dan ke-16: Mereka yang mati kerana mempertahankan agama dan dirinya: Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa yang terbunuh kerana hartanya syahid, barang siapa yang terbunuh kerana keluarganya syahid, barang siapa yang terbunuh kerana agamanya syahid, barang siapa yang terbunuh kerana darahnya syahid.”
Ke-17: Mereka yang mati dalam keadaan ribath (berjaga-jaga di perbatasan) di
jalan Allah. Ada dua hadis dalam hal itu salah satunya: Rasulullah SAW
bersabda: “Ribath sehari semalam lebih baik dari berpuasa dan qiyamullail
selama sebulan, dan jika mati maka akan dijalankan untuknya amalan yang biasa
dikerjakannya, akan dijalankan rezekinya dan diamankan dari fitnah.”
Ke-18: Mati ketika melakukan amal soleh berdasarkan hadis Rasulullah SAW bersabda
yang bermaksud: “Barang siapa yang mengucapkan: ‘Laa ilaaha illallah’
mengharapkan wajah Allah lalu wafat setelah mengucapkannya maka dia masuk
syurga, barang siapa berpuasa satu hari mengharapkan wajah Allah lalu wafat
ketika mengerjakannya maka dia masuk syurga, barang siapa yang bersedekah
dengan satu sedekah mengharapkan wajah Allah lalu wafat ketika mengerjakannya
maka dia masuk syurga.”
Ke-19: Mereka yang dibunuh oleh penguasa yang zalim kerana memberi nasihat
kepadanya: Rasulullah SAW bersabda: “Penghulu para syuhada’ adalah Hamzah
bin Abdul Mutalib dan seseorang yang mendatangi penguasa yang zalim, lalu dia
memerintahkan yang baik dan melarang dari yang mungkar lalu dia dibunuhnya.”
Hadis dikeluarkan oleh Al-Hakim dan disahihkannya, dan Al Khatib.
Semoga kita dimatikan di dalam Khusnul Khotimah dan
dijauhkan kematian di dalam Suul Khotimah. Amien, Ya Rabbal ‘Alamin...
Wallahua'lam.
No comments:
Post a Comment