Monday, September 22, 2014

DUGAAN UNTUK MAK

Tak sedar masa berlalu, dah 4 tahun mak terlantar tanpa dapat bergerak, tanpa kata-kata hanya tangisan mak kedengaran setiap kali dia inginkan sesuatu atau bila dia rasa tak selesa.  Tubuh mak kini terlalu kurus berbanding dengan tubuhnya sebelum penyakit yang dihadapinya menyapa.

Entahlah....kata doktor mak terkena serangan strok, saluran utama darah ke otak tersumbat.  Tapi naluri aku kuat menyatakan mak bukan terkena strok tapi kerana kesilapan dari segi perubatan.  Walaupun mak mengidap penyakit darah tinggi dan pernah suatu ketika tekanan darahnya mencapai 200, mak hanya pening untuk beberapa hari.  Tapi kali ini tekanan darah mak hanya 170, mak pening dan muntah-muntah, malam dimasukkan ke wad, esoknya mak dah tak sedarkan diri lagi. Aku dimaklumkan setibanya mak di hospital, dia telah diberi suntikan.  Aku pernah diberitahu bahawa orang yang tekanan darahnya naik mendadak hanya diberi rehat untuk menurunkan tekanan darahnya.  Pernah doktor yang merawat mak bagitau mak mungkin boleh bertahan selama 1 1/2 tahun sahaja.  Aku hanya diam kerana bagi aku 'DOA' adalah senjata orang Islam di samping usaha-usaha yang lain.

Dua minggu aku bergilir-gilir menjaga mak dengan adik bongsu ku di salah sebuah hospital di Selangor. Aku tinggalkan anak-anak di Kedah.  Sebenarnya mak ke sana kerana menjaga cucu-cucunya kerana adik iparku koma dihospital. Dua hari mak dimasukkan ke hospital, adik iparku meninggal.  Dugaan datang bertalu-talu. Kami berusaha untuk memindahkan mak ke hospital di Alor Setar dan akhirnya sehari sebelum puasa 2010 kami dapat membawa mak balik. 2 minggu mak dirawat di sini dan akhirnya doktor membenarkan kami membawa mak balik kerana tiada perubahan pada mak. Walaupun mak tak mampu berkata-kata tapi dia masih mengingati peristiwa lama. Dengan bahasa 'isyarat' mak sering bertanya tentang anak-anak. 
Menjaga mak yang sakit memerlukan kekuatan mental dan fizikal dan juga kesabaran yang tinggi dan aku juga memerlukan sokongan daripada suami dan anak-anak.+

Ya Allah... aku tahu hayat mak tak lama dan sebolehnya aku nak menjaganya hingga ke hujung usianya.  Berikan aku kekuatan Ya Allah.

Kata orang air mata ibu terhadap anak
  • ketika hendak bersalin
  • ketika selamat bersalin
  • ketika anak sakit
  • ketika anak kelaparan
  • ketika anak kesusahan
  • ketika anak derita
  • ketika anak berjaya
  • ketika anak meninggal dunia
  • di dalam setiap doanya
Dan air mata anak terhadap ibu ialah
  • ketika ibu meninggal dunia

No comments: