Tulisan Pn Roza ini mengingatkan saya waktu zaman persekolahan dahulu tahun 80-an. Dalam kelas hanya seorang sahaja pelajar yang mengenakan tudung. Pelajar-pelajar Islam lain masih lagi memakai seluar pendek ketika waktu sukan termasuk aku. Malu rasanya bila mengingati zaman persekolahan dulu. Ya Allah....ampuni aku....aku jahil
Izinkan saya memulakan catatan kali ini
dengan satu pertanyaan ringkas, ”duhai wanita solehah … apakah ertinya
sehelai tudung buat dirimu?”.
Saya terkenang kisah lampau. Kami
melihat wanita bertudung mewakili golongan ustazah. Itupun tudung tiga
segi yang di cerut di dagu. Golongan penghujung usia pula menyelempang
kain selendang setelah bergelar hajjah.
Kami tidak hairan apabila melihat kaum
keluarga hampir termasuklah ibu sendiri menyarung baju kebaya atau
pakaian lain yang kelihatan seksi.
Tiada yang pelik.
Masa berubah. Kami merasa janggal
apabila memasuk persekolahan menengah. Pertama, sudah ada ustazah
bertudung labuh. Beliau bersungguh memarahi kami yang tergesa-gesa
masuk ke kelas dalam keadaan berkemeja-T serta seluar sukan separas
peha.
”Astagfirullahalazim … ini bukan pakaian orang Islam”.
Kemudian kami bergegas ke bilik air
menyalin baju kurung dan memakai tudung bagi mengikuti mata pelajaran
pengajian Islam. Ada ustazah menerangkan,
Islam sangat menghormati wanita dan
meletakkan martabat mereka di tempat yang tinggi. Semasa zaman
jahiliyah, wanita di pandang hina sehingga anak-anak perempuan di bunuh
sebaik sahaja dilahirkan ibunya.
Ustazah meneruskan kata-katanya, ”wanita
dahulu tidak bersekolah dan kurang ilmu. Lalu janganlah kita hairan
melihat ibu dan nenek menutup aurat ketika sembahyang”.
Hari ini, saya percaya kita semua diajar
ilmu agama. Kita sudah tidak mempunyai alasan. Seruan Islam sudah
jelas. Nanti, kamu harus sampaikan pula kepada anak-anak perempuan yang
bakal dilahirkan, Insya Allah.
Sungguh, kami mendengar tetapi dalam
keadaan terpinga-pinga. Ia kenyataan yang tidak pernah dinyatakan. Namun
ada pelajar termasuk hati. Kesannya, sudah ada pelajar perempuan mula
menjahit tudung sendiri. Dibakarnya hujung kain dengan lilin. Allah ya
Allah … kami melihat wajah tulus penuh taqwa memancar sinar.
Fenomena bertudung labuh di sekolah mula terserlah. Namun, ia bukan mudah. Seorang rakan pelajar dengan wajah sedih bercerita,
Emak gusar melihat saya bertudung labuh.
Kata emak, ”awak mahu berdakwah? Nanti apa sahaja yang orang biasa buat
jadi tidak kena di mata awak”.
Kami terdiam.
Ketika itu masyarakat ketakutan apabila
melihat wanita bertudung labuh berjalan berkumpulan. Peliknya tidak
mengapa jika wanita Islam memakai baju mini atau berfesyen terbelah di
bahagian dada dan kain belah sampai ke peha.
Allahu Akbar!
Hari ini, pemakaian tudung bagaikan
suatu budaya. Setiap wanita beragama Islam dan dilahirkan sebagai Islam,
pasti memiliki sekurang-kurang sehelai tudung di rumah, Insya Allah.
Ada menyarungnya kerana menghormati
majlis keagamaan, meraikan suasana pejabat atau mempunyai perasaan malu
terhadap tetamu yang di pandang alim dan warak. Misalnya, seorang rakan
bercerita,
Kami kagum melihat anak-anak perempuan
serta isteri rakan sekerja menutup aurat dengan sempurna apabila kami
menziarahi mereka. Namun kembali asal apabila kami pulang. Agaknya
mereka menghormati isteri saya yang bertudung labuh.
Lalu perniagaan kain tudung tumbuh
bagaikan cendawan selepas hujan. Ia ditampilkan dengan pelbagai gaya dan
warna. Malahan, mereka yang tidak arif dan bukan Islam turut serta
menjualnya. Apakah mereka faham tentang syariat pakaian wanita Islam?
Barangkali, inikah yang dinyatakan dalam surah An-Nahl ayat 95. Firman Allah yang bermaksud:
Dan janganlah kamu jadikan
pesanan-pesanan dan perintah Allah sebagai modal untuk mendapat
keuntungan dunia yang sedikit; sesungguhnya apa yang ada di sisi Allah
(dari balasan yang baik), itulah sahaja yang lebih baik bagi kamu,
kalaulah kamu mengetahui.
Duhai wanita yang mendambarkan rahmat
Allah. Apakah tujuan sebenar diri mu bertudung? Apakah sekadar menutup
kepala atau terpegun dengan pelbagai fesyen berbagai warna? Mungkinkah
kerana ikut-ikutan teman.
Barangkali, bandaraya Rasulullah SAW
telah menutup mata saya kepada warna-warni gilang-gemilang ciptaan
Tuhan. Barangkali juga saya sudah semakin tua lalu tidak mengemari
warna-warna terang menarik perhatian ramai.
Biarlah saya begitu. Namun, sebelum
menutup mata biar saya meninggalkan pesanan sebagaimana yang
ditinggalkan oleh ustazah kepada saya. Mudah-mudahan ada yang terbuka
hati atau masuk ke hati suatu ketika nanti.
Duhai wanita yang mendambarkan anak
soleh dan solehah … marilah kita berusaha menjadi teladan kepada
anak-anak perempuan, menantu dan cucu sebagai muslimah sebenar.
Barangkali kita tidak pandai berhujah tetapi cukuplah berbicara dengan
penampilan muslimah kita.
Nyatakan kepada mereka bahawa pakaian
wanita Islam tidak menampakkan susuk badan, bersaiz longgar yang boleh
terus di bawa sembahyang. Wanita Islam tidak meliuk-lentukkan tubuhnya
di hadapan bukan mahram. Tidak memakai pakaian yang menjolok mata
menarik perhatian ramai.
Mahukah kita nanti duhai wanita yang
dikasihi Allah, di soal dan diseksa oleh malaikat dengan berkata,
”mengapa kamu berpakaian tetapi seolah-olah berbogel?”
Naúzubillahiminzalik. Mudah-mudahan kita
bertudung dan menutup aurat dengan penuh ketakwaan kerana Allah. Biar
tidak cantik fesyen di mata manusia namun sempurna di sisi Allah SWT.
Subhanallah! Alhamdulillah! Allahu Akbar!
No comments:
Post a Comment