Sebelum ini, telah disebutkan kepada kita bahawa dengan zikrullah itu
hati kita akan tenang dengan perkara-perkara dunia. Ia membawa maksud
selagi hati kita dapat terhubung dengan Tuhan, nescaya diri kita tidak
dapat dipengaruhi dengan perkara-perkara dunia yang melalaikan serta
menyusahkan. Begitulah yang kita diberitahu. Namun, bagaimana boleh
dihubungkan kedua-duanya iaitu dengan zikrullah, boleh kita dapat
ketenangan dunia? Bagaimana zikrullah itu boleh menenggelamkan rasa
bimbang, risau, cemas dan takut kita kepada perkara dunia? Mana
tidaknya, sakit, miskin, hilang jawatan, dimaki atau dicerca orang, dan
berbagai lagi musibah dunia, bukankah ia menyusahkan? Bukankah itu
menggugat hati sehingga datang bimbang, cemas dan takut? Oleh itu
marilah kita perhatikan hubungkait antara keduanya agar benar-benar kita
faham bagaimana zikrullah boleh menjadi penawar kepada kesusahan dunia.
Di
sini, zikrullah itu membawa pengertian mengingati Allah dalam ertikata
yang hati itu dapat menghayati sifat-sifat dan peranan Tuhan. Dibawakan
contoh, katakan seorang itu miskin. Dia selalu kesempitan wang. Dia nak
makan pun susah. Nak belanja-belanja keluarga pun susah. Tapi, oleh
kerana hatinya sudah menghayati Tuhan, dia dapat merasakan Tuhan Maha
Pemberi Rezeki. Pada Tuhan, dia bertawakal. Dengan bersandarkan pada
sifat Tuhan Maha Pemberi Rezeki, dia jadi yakin. Dia jadi orang yang
boleh tenang menghadapi kemiskinan. Dia tahu rezeki Tuhan itu luas dan
Allah tidak akan mensia-siakan hambaNya. “InsyaAllah, Tuhan ada, Dialah
yang Maha memberi rezeki”, kata hati kecilnya. Dia berusaha juga tapi
dia tidak bergantung pada usahanya. Bagi dia rezeki Tuhan ada di
mana-mana dan sudah ditetapkan bahagian untuk orang sepertinya.
Contoh
lain, seorang itu jatuh sakit. Sakit itu menyusahkan. Boleh jadi tidak
tenang dengan sakit apatah lagi makan minum serta tidur selalu
terganggu. Malah kerja harian juga terganggu dan di waktu tertentu
hendak bersembahyang pun terganggu juga. Namun, seorang yang
berzikrullah, dapat merasakan Tuhan yang memberi sakit dan Dialah yang
menyembuhkan. Rasa itulah yang memberi penawar kepada kesusahan sakitnya
selama ini. Dia jadi tenang atas kerana yakin Tuhan yang memberi sakit
dan Tuhan jugalah yang akan menyembuhkan. Sudah pasti keyakinan itu
menjadikan dia faham maksud Tuhan memberi sakit kepadanya. Sudah pasti
juga dia faham bahawa kalau Tuhan kehendaki, bila-bila masa Tuhan boleh
sembuhkan. Tinggal lagi yang menjadi soal bukan tempoh lama atau sekejap
masa sakit, atau soal ringan atau berat ujian sakit. Soalnya adalah
sejauhmana kuat hubungannya dengan Tuhan sehingga sakit itu boleh
menjadi hiburan kepadanya. Sakit bukan sakit lagi tetapi dirasakan
sebagai hiburan dari Tuhan kepada hambanya.
Yang paling besar
juga, kesusahan dalam miskin dan sakit itu boleh dihadapi dengan tenang
kerana dia sudah merasa dirinya itu dimiliki Tuhan. Inilah sebahagian
daripada zikrullah. Rasa dimiliki Tuhan ini membuatkan seseorang itu
menyerah hati dan dirinya kepada Tuhan. Dia merasakan Tuhan boleh buat
apa sahaja terhadap dirinya kerana dia adalah milik Tuhan. Sebagai hamba
Tuhan yang dimiliki Tuhan, terpulanglah kepada Tuhan nak sakitkan, nak
miskinkan atau nak susah-susahkan hidupnya di dunia. Berhak bagi Tuhan
berbuat begitu. Hatinya boleh berkata, “tidak sekali-kali bagi seorang
hamba boleh menolak apa sahaja ketentuan dari Tuhannya.” Berbahagialah
orang yang boleh merasakan sedemikian. Di situlah datangnya ketenangan
kepada orang seperti itu. Asasnya adalah zikrullah tadi.
Begitulah
kisahnya, jika seseorang sudah dapat menghayati sifat Tuhan. Hatinya
akan sentiasa dalam ketenangan bilamana menghadapi perkara-perkara dunia
yang melalaikan serta menyusahkan. Hatinya tidak cacat atau terpengaruh
dengan dunia tersebut disebabkan kuat rasa-rasa hatinya dengan Tuhan.
Banyak lagi contoh yang boleh disebutkan di sini tetapi cukuplah dengan
dua contoh di atas untuk panduan kita bersama. Sekian.
(Iaitu)
orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan
"zikrullah". Ketahuilah dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati
manusia. Orang-orang yang beriman dan beramal soleh, beroleh kebahagiaan
yang amat menggembirakan dan tempat kembali yang sebaik-baiknya.
(Ar-Rad: 28-29)
Dialah
yang menurunkan Sakinah (ketenangan) ke dalam hati orang-orang yang
beriman supaya mereka bertambah iman dan yakin berserta dengan iman dan
keyakinan mereka yang sedia ada; pada hal Allah menguasai tentera langit
dan bumi (untuk menolong mereka) dan Allah adalah Maha Mengetahui, lagi
Maha Bijaksana. (Al-Fath: 4)
No comments:
Post a Comment