Antara keistimewaan Islam yang agung ini adalah jalan pulang ke pangkuan agama ini amat luas terbuka dan tidak membebankan. Peluang seorang insan kembali ke pangkuan keampunan dan keredaan Allah tidak pernah disekat oleh sebarang jarak waktu, latar diri, keturunan, atau harta.
Sesiapa yang ingin pulang ke pangkuan Allah tidak pernah dihalang oleh
agama ini disebabkan jenis dosanya atau keturunan, usianya yang lanjut,
atau apa sahaja.
Seseorang yang ingin kembali kepada Allah diterima oleh kerahmatan-Nya
dengan syarat insan tersebut menyesali kesilapannya, benar-benar memohon
keampunan dan berazam tidak mengulangi kesalahan lalu.
Jika kesalahan itu sesama insan lain, dia memohon maaf dari yang
dizalimi. Jika tidak mampu, bimbang mudarat yang lebih besar jika
permohonan maaf dibuat, serahkan sahaja urusannya itu kepada Allah dan
Allah Maha Mengetahui kadar kemampuan hamba-hamba-Nya.
Firman Allah dalam surah Ali ‘Imran 135-136:
(maksudnya)
(maksudnya)
Dan mereka yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri
sendiri, mereka ingat kepada Allah lalu memohon ampun dosa-dosa mereka –
dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah –
dan mereka juga tidak meneruskan (perbuatan buruk) yang mereka telah
lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya).
Orang- orang yang demikian sifatnya, balasannya adalah keampunan dari
Tuhan mereka, dan syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa
sungai, mereka kekal di dalamnya; dan yang demikian itulah sebaik-baik
balasan (bagi) orang-orang yang beramal.
Islam bukan seperti sesetengah ajaran yang menyuruh seseorang yang
berdosa membuat pengakuan di hadapan orang agama, atau melakukan upacara
yang menyeksa diri demi penghapusan dosa seperti melukakan diri atau
berjalan atas bara api atau membuat bayaran penebusan.
No comments:
Post a Comment