Wahai diri...
Apakah engkau sedar bahawa di hadapanmu sedang menanti dua tempat, iaitu
syurga dan neraka? Engkau pasti akan menemui salah satu dari keduanya.
sama ada engkau menyukainya atau tidak, ia pasti akan menemuimu jua...
Namun, mengapa engkau masih sibuk dengan kelazatan dan dorongan nafsu
serta gemar melakukan maksiat dan kederhakaan? Bukankah engkau pasti
akan dipertanggungjawabkan ke atas dosa-dosa dan kesalahanmu itu?
Tidakkah engkau tahu bahawa segala sesuatu yang pasti datang itu amat
dekat kedudukannya?
Sedangkan yang dinamakan jauh itu apa-apa yang mungkin tidak akan
datang. Bila engkau dihumbankan ke dalam neraka kerana perbuatan
jahatmu, itupun sesuatu yang amat dekat, kerana ia janji yang pasti akan
datang. Hanya menunggu saat dan ketibaannya saja. Ingatlah wahai
diri...ingatlah!
Tidakkah engkau menginsafi apa yang telah difirmankan oleh Allah dalam Al-Qur'an yang bermaksud:
"Telah hampir kepada manusia(masa) perhitungannya sedang mereka
berpaling dari kelalaian. Tiada kepada mereka peringatan (Al-Qur'an)
dari Tuhannya melainkan mereka dengar dan mereka permain-mainkan. Sedang
hati mereka lalai.." (al-anbiya':1-3)
Wahai diri...
Engkau tentu sudah sedia maklum bahawa sunnatullah itu tidak akan
berubah. Segala sesuatu ini pasti ada yang menyebabkannya. Kebahagiaan
di dunia kerana beramal, maka seperti itu jugalah kebahagiaan akhirat.
Ketahuilah bahawa Tuhan dunia dan Tuhan akhirat itu hanya satu, yakni
Allah S.W.T. Sesungguhnya tiap-tiap manusia tidak akan memperolehi
sesuatu, melainkan apa-apa yang telah diusahakannya. Jika engkau telah
membuang banyak masamu untuk urusan dunia, maka berapa banyak pulakah
masa engkau gunakan untuk menyelesaikan masalah akhiratmu?
Sudahkah engkau sediakan bekalan yang engkau perlukan dalam menghadapi
kehidupan akhirat yang kekal abadi? Ketahuilah kehidupan akhirat itu
adalah kehidupan yang sebenarnya. Janganlah sampai engkau tertipu oleh
kehidupan dunia yang sementara. Janganlah engkau menyangka engkau kelak
akan mendapat kesejahteraan di akhirat, sekalipun engkau membawa bekal
yang cukup!!
Ingatlah...
Kehidupan yang kekal abadi itu sangat memerlukan bekal yang banyak,
berupa amalan-amalan yang baik serta ketaqwaan yang besar. Apabila
persediaanmu tidak lengkap, engkau akan mengalami kesengsaraan yang
tidak ada tolok bandingnya di neraka jahannam!!
Sekali lagi...Ingat dan insaflah...!!
Bahawa kepanasan dan kedinginan siksa neraka itu hanya akan dapat di
atasi dengan benteng iman yang kukuh serta pertahanan yang kuat dengan
ketaatan menjalani perintah Allah S.W.T.
Kiranya besar sungguh pemberian Allah yang telah dilimpahkanNya kepadamu
kerana engkau telah ditunjuki jalan kehidupan yang selamat untuk kau
lalui. Lalulah jalan perjuangan ini dengan sungguh-sungguh sekalipun
penuh dengan duri dan rintangan. Apabila jalan perjuangan itu pahit,
janganlah engkau merintih kerana di hujung perjalananmu menunggu syurga
yang manis.
Ingatlah...
Agama Islam itu mutiara yang tidak terhingga nilainya. Keimanan itu
pemberian yang tidak terkira besarnya. Sedang penghidupan itu adalah
jalan perjuangan yang penuh dengan ujian.
Apabila engkau insaf serta sentiasa muhasabah (menilai) diri di setiap
malam dan siang, akan mudahlah engkau untuk mengumpulkan persiapanmu.
Sekalipun persiapan itu engkau kutip dicelah-celah kehidupan duniamu
yang sukar, apabila engkau sabar, seribu harapan menanti dihujung
perjalanan hidupmu!
Insaf dan sedarlah wahai diri...!
Ingatlah...bahawa setiap yang bernyawa itu pasti mati !
No comments:
Post a Comment