Hidup yang punyai segala kebendaan, hari dilalui tiada masalah,
sentiasa gembira, apa juga impian mudah saja tercapai, itulah kehidupan
yang menjadi dambaan semua orang. Tiada orang yang memiliki kehidupan
sempurna kerana yang sempurna hanyalah Allah SWT.
Mungkin kita hanya boleh merasai dan memiliki beberapa perkara
sahaja yang kita mahukan kerana itulah fitrah kehidupan di dunia.
Walaupun sedikit atau separuh saja kemahuan diperoleh, namun ia boleh
membentuk hidup yang sejahtera.
Segmen Usrati yang bersiaran Khamis minggu lalu, jam 5.15 petang di
IKIMfm bersama Ustazah Norhafizah Musa membincangkan mengenai hakikat
kehidupan yang mungkin tidak seperti kita harapkan.
Ada yang nampak luarnya lengkap segala-galanya, kereta bersusun,
rumah ibarat istana, beroleh untung perniagaan berjuta ringgit, namun
tidur malamnya tidak lena, hati sering dirundung gelisah. Ada pula
kurang dari segi pakaian, makan pun ala kadar, namun hati kaya, selalu
gembira dan urusan sering dipermudahkan.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya setiap kamu akan
diuji dari segi kehilangan nyawa, harta benda, hati yang gelisah,
kesakitan dan penderitaan untuk menguji sejauh mana keimanan dan
kesabaran kamu."
Jangan takut hilang apa dimiliki
Setiap yang dimiliki akan hilang, yang disayangi ditinggalkan.
Jangan pernah di antara kita ada dalam hati istilah takut hilang
segala-galanya kerana hakikatnya memang kita akan hilang semuanya, apa
yang menjadi milik kekal hanyalah amalan yang ikhlas.
Rasulullah SAW sanggup memberi dan berkongsi sebahagian besar apa
yang dimilikinya. Rasulullah SAW sanggup memberi kain baharu dibelinya
untuk dibuat jubah baharu menggantikan jubahnya yang lusuh dan koyak
kepada orang lain.
Konsep hidup sebenarnya, kita bukan pemilik, tetapi peminjam. Kita
meminjam hak Allah SWT. Semuanya kita pinjam dan tidak ada satu pun yang
menjadi milik kita. Rezeki umpamanya, selalu saja ada hak orang lain
dalam harta kita miliki.
Konsep pinjam, kita kena pulangkan semula. Sampai masa ia akan
hilang daripada kita sama ada harta benda atau orang yang disayangi.
Jadi, apa yang berlaku dalam hidup ini jangan terlalu dikenangkan kerana
ia ada fitrah yang perlu diterima dengan fikiran terbuka.
Nabi SAW mengajar bagaimana seharusnya kita bersederhana dalam apa
juga keadaan. Islam menyarankan sebaik-baik perkara diletakkan pada
batas pertengahan iaitu bersederhana. Jika kita terlalu menuntut apa
yang sepatutnya kita dapat, maka kita akan sering gelisah, tidak puas
hati serta terlalu berkira-kira.
Hidup seperti itu memang memenatkan. Justeru, sebaiknya kita
berlapang dada dengan takdir yang berlaku dalam hidup supaya dapat
memiliki hidup yang sejahtera. Berikanlah diri ruang untuk bernafas
dengan tenang dengan memahami konsep hidup secara tepat.
Renung ujian Tuhan
Sekali sekala kita renungkan kisah mereka yang pernah diuji oleh
Allah SWT, menghadapi kehidupan memeritkan supaya daripada pengalaman
itu kita dapat mengambil semangat, membina keyakinan dan memperkuatkan
pertahanan diri.
Cara itu, kita mampu memperkasa jiwa dan fikiran untuk kekal
positif serta menjadi sekuat besi. Andainya putus asa menjengah, itu
lumrah kerana kita hanya manusia biasa. Tetapi kita boleh menjadi
manusia luar biasa andai meneladani jiwa yang ada pada Rasulullah SAW
iaitu jiwa tenang.
Belajar bertenang, apabila berdepan masalah, tarik nafas terlebih
dulu dan cuba menenangkan diri. Jangan bertindak gopoh atau cepat panik
sebaliknya berusaha bertenang. Apabila bertenang otak akan berfungsi
dengan baik.
Mari kita mencontohi golongan salafusoleh. Jika ada perkara yang
membuatkan mereka tidak puas hati dan bersedih, tidak ada tempat
sebaik-baiknya untuk mengadu selain Allah SWT. Ini kerana sifat Allah
SWT, tidak pernah menghampakan hamba-Nya.
Allah SWT tidak pernah jemu mendengar aduan dan keluhan hamba-Nya
walaupun untuk perkara yang sama berjuta kali pun, berbanding manusia
yang apabila mendengar perkara yang sama akan cepat marah dan memberi
maklum balas mengecewakan.
Kita harus bersabar untuk mengharapkan reda Allah SWT dan sifat
sabar itu juga boleh memberi ketenangan kepada jiwa. Orang yang jiwanya
damai, hatinya sentiasa tenang. Jangan putus asa walaupun kita dalam
proses untuk bertenang.
Biasakan diri berfikir
Biasakan diri berfikir seminit dua sebelum bercakap atau memberi
maklum balas. Barulah apa yang bakal keluar daripada mulut dan fikiran
kita itu betul. Binalah kekuatan diri, fahami konsep hidup dan hakikat
tiada yang kekal dalam dunia ini.
Setiap ujian ada hikmah di sebaliknya, kita perlu yakin dan berdoa
supaya Allah SWT menggantikan kesusahan dengan kesenangan dan
penderitaan dengan kebahagiaan. Jangan gopoh meniti hari dalam kehidupan
ini.
* Penulis ialah penyampai dan Penerbit Rancangan Kanan IKIMfm
No comments:
Post a Comment