"Andai ku tahu.
Kapan tiba ajalku,
Ku akan memohon
Tuhan tolong panjangkan umurku..."
Tema perkongsian minggu lalu menerusi Islam Itu Indah bersama Ustaz
Pahrol Mohd Juoi yang membawa peringatan bahawa kematian itu pasti,
tetapi waktunya masih misteri. Menjentik hati cukupkah amal buat bekal di alam yang kekal?
Sudahkah nikmat diguna untuk taat dalam mengecap hidup yang berkat?
Ujian datang silih berganti selagi belum tiba yang bernama 'mati'.
Seiring musibah, datangnya bersama hikmah.
Sememangnya ujian itu pahit, terimalah dengan jiwa pasrah berserta
hati yang berpegang teguh dengan tauhid. Pesan Ustaz Pahrol lagi,
hakikat sebenar musibah apabila kita jauh daripada Allah SWT dan Allah
SWT bawa kita kembali dekat dengan-Nya untuk meraih jannah.
Musibah juga adalah saluran untuk merintih dan munajat pada Allah
SWT ketika kita leka mengingati-Nya. Suatu paksaan untuk dekat
dengan-Nya. Dan hikmah terbaik di balik musibah adalah lahirnya manusia
yang bijaksana dengan mengingati mati dan membuat persiapan untuk
kehidupan selepas mati.
Ajal tidak ditangguh
Jelas ajal tidak ditangguh kerana Allah SWT berfirman yang
bermaksud: "Maka apabila ajal sudah datang, mereka tidak dapat
menangguhnya (walaupun) satu detik dan tidak juga dapat
mendahulukannya." (Surah al-A'raf, ayat 34)
Bertuah bagi manusia yang terpilih untuk mengetahui waktu
kematiannya seperti berpenyakit kronik, menerima hukuman mati dan
sebagainya kerana mereka boleh membuat persiapan serta persediaan
sebaiknya.
Berkemungkinan juga tempoh masa yang diperuntukkan lebih pendek di
sisi ketetapan Tuhan Yang Maha Berkuasa. Usia sememangnya ketentuan
Tuhan yang dirahsiakan tetapi masih ada usaha daripada kita untuk
memanjangkan usia.
Panjangkan usia dengan memanjangkan kuantiti masa pada usia,
usahakan juga untuk memanjangkan kualiti usia dan panjangkan amal jariah
dengan amalan yang terus hidup walaupun kita telah tiada.
Bermodalkan harta, ilmu, akhlak, keperibadian, agama, tenaga dan
masa; usia mampu dipanjangkan. Panjang umur bermaksud kekalnya sebutan
dan pujian yang baik selepas kematian seseorang seolah-olah dia masih
hidup.
Jika diperhatikan dalam beberapa keterangan Nabi SAW, umur boleh
panjang dengan sebab doa, silaturahim, berbuat baik dengan ibu bapa,
jiran tetangga dan semua jenis amal kebajikan.
Daripada Anas bin Malik, dia mendengar Nabi SAW bersabda: "Barang
siapa yang suka dibentangkan baginya rezekinya dan dilewatkan ajalnya,
maka hendaklah dia menghubungkan silaturahim." (Riwayat al-Bukhari).
Kualiti usia boleh diperoleh menerusi amalan solat berjemaah
seperti sabda Rasulullah SAW daripada Abdullah bin Umar: "Solat
berjemaah lebih afdal daripada solat bersendirian sebanyak 27 kali
ganda."
Perbezaan kualiti umur
Itu yang membezakan kualiti umur hamba Allah berusia 40 tahun yang
menghabiskan usianya dengan solat bersendirian dengan hamba Allah
berusia 20 tahun yang istiqamah menunaikan solat secara berjemaah.
Setiap langkah ke masjid untuk solat berjemaah meningkatkan darjat dan
langkah pulang menghapuskan dosa.
Diriwayatkan daripada Muslim, Rasulullah SAW bersabda: "Barang
siapa yang solat Isyak berjemaah maka seolah-olah dia telah solat
setengah malam, barang siapa solat Subuh berjemaah, maka seolah-olah dia
telah melaksanakan solat malam satu malam penuh." (Riwayat Muslim)
Petua panjang usia juga dengan memanjangkan amal, ilmu, jasa di
samping mengamalkan adab dalam Islam. Siapa tidak kenal Imam Nawawi,
pendek umurnya tetapi 'panjang' ilmu dan abadi jasanya. Imam Syafie,
Imam Ghazali tidak sempat pencen istilah orang sekarang, namun impak
perjuangannya melangkaui dekad dan abad.
Contoh lain, Umar ibn Aziz memerintah hanya kira-kira dua tahun
sahaja tetapi keunggulannya mengatasi khalifah Umayyah sebelum dan
selepasnya. Itu pencen kubur, saham akhirat; walaupun jasad sudah tiada,
namun amalan masih hidup dan berterusan.
Beruntunglah pada mereka yang bergelar guru, pendidik mahupun
murabbi kerana mereka adalah legasi penyambung tugas Rasulullah SAW.
Mereka memperoleh kebaikan ilmu yang dimanfaatkan, doa anak soleh dan
amal jariah berpanjangan yang datang sebagai pakej bersama anak didik
yang diberinya tunjuk ajar.
Selain itu, rahsia kejayaan orang yang panjang umur adalah dengan
banyaknya bersedekah. Mereka tahu tujuan hidup dan mati. Mereka mencari
tujuan pada setiap tindakan. Sesungguhnya dunia akan sentiasa
menyediakan jalan kepada orang seumpama ini.
Manfaat harta
Harta yang dimiliki usah disimpan, disalurkan ke jalan Allah SWT
sebagai sedekah juga berupaya melipatgandakan usaha amalan. Harta yang
menjadi milik sebenar kita adalah yang dikeluarkan di jalan Allah SWT
dan harta yang disimpan itu milik orang lain selepas ketiadaan kita.
Rasulullah SAW menggalakkan umat Baginda bersedekah walaupun hanya
sebelah buah kurma. Ini terbukti melalui hadis baginda, daripada 'Adi
bin Hatim: "Siapa yang sanggup mendinding dirinya dari api neraka.
Walaupun dengan (bersedekah) sebelah buah kurma, maka hendaklah dia
lakukan (segera). Bersedekahlah walau hanya sebelah kurma kerana ia
lebih bernilai dari bergedung-gedung harta."
Umar Ibn Aziz pernah mengungkapkan, mati adalah satu permulaan
kepada hidup yang tidak mati-mati lagi iaitu alam akhirat. Manusia
diciptakan untuk hidup selamanya. Hidup selepas mati itulah hidup yang
hakiki.
Sesungguhnya mati itu tidak diketahui tetapi pasti. Kematian akan
melenyapkan seluruh kenikmatan, bersiap sedialah menghadapi kematian
yang pasti akan hadir. Biarlah kematian itu hidup dalam diri kita kerana
ingat mati akan 'menghidupkan' kita. Orang yang ingat mati akan
menyegerakan taubat sebelum terlambat.
* Penulis ialah penyampai dan Penerbit Rancangan Kanan IKIMfm
No comments:
Post a Comment